Lafaz cerai Sultan Kelantan ditangguh



Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan @ utusan. com

KOTA BHARU 30 Jun – Perbicaraan pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad hari ini ditangguhkan berikutan permohonan plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman meminda pernyataan tuntutannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdullah Man membenarkan penangguhan setelah Nik Rorhana, 60, selaku plaintif mengemukakan permohonan meminda pernyataan tuntutan yang difailkannya berhubung lafaz cerai pasangan tersebut.

Dalam prosiding secara tertutup itu, Abdullah turut menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula permohonan berkenaan.

Peguam plaintif, Zainul Rijal Abu Bakar ketika ditemui pemberita bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan mengenai pindaan tersebut untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah.

“Kes akan disebut semula pada 25 Julai ini dan semua saksi tidak dipanggil (hari ini) kerana ada permohonan yang dibuat oleh pihak plaintif,” katanya ringkas.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar keterangan tiga lagi saksi plaintif setelah tiga saksi termasuk Nik Rorhana selesai memberi keterangan pada 13 Jun lalu.

Pada 21 Mac lalu, Elia Suhana, 31, melalui peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan mengemukakan permohonan untuk membatalkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Tuanku Ismail terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac lalu.

Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak tiga terhadap Elia Suhana pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Terdahulu, Elia Suhana bersama beberapa pengawal peribadinya dan Fakhrul tiba di mahkamah tepat pukul 9 pagi ini, manakala Nik Rorhana tiba tiga minit kemudian.

Fakhrul ketika ditemui berkata, selain permohonan penangguhan itu, satu lagi prosiding dilakukan di kamar hakim iaitu berkenaan hak lawatan Elia Suhana terhadap baginda namun tidak memberi ulasan lanjut.

Mengulas mengenai permohonan plaintif hari ini, katanya, mahkamah telah memberi arahan kepada plaintif untuk membayar kos kehadiran kerana penangguhan dibuat pada saat akhir dan tidak ada makluman bertulis dikemukakan.

“Mahkamah telah membenarkan mereka memasukkan permohonan itu tapi plaintif diarahkan membayar kos kehadiran kerana penangguhan dibuat saat akhir dan kos akan ditaksir ketua pendaftar mahkamah.

“Kita akan hadir semula pada 25 Julai bagi mengetahui keputusan sama ada mahkamah akan membenarkan atau tidak permohonan untuk meminda pernyataan tuntutan dan pada masa sama kita akan masukkan notis taksiran kos itu,” jelas beliau.

Sementara itu, mengenai kegagalan Elia Suhana berjumpa dengan baginda selepas beberapa percubaan, katanya, tindakan telah diambil berkaitan permohonan penghinaan mahkamah.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan komen