Abuya (Ashaari) tidak akan hidup balik

Jimadie Shah Othman
Mei 21, 10
5:30pm

Pelbagai pihak diminta menghentikan spekulasi kononnya kematian bekas pemimpin pergerakan Al-Arqam Ashaari Muhammad mewujudkan perbalahan dalaman antara pengikut dan anggota keluarganya.

Anak lelaki sulungnya, Fakhrur Razi berkata tiada sebarang perbalahan berlaku antara anggota keluarga dan pengikutnya seperti yang didakwanya cuba digambarkan dalam laporan media.

“Apa yang dibacakan oleh adik ipar saya Sheikh Lokman Hakim (Abdul Rahim Pfordten) itulah pandangan kami.

“Kami cuma mahu teruskan sebuah model ekonomi untuk umat Islam. Harap semua pihak hentikan spekulasi. Anggota keluarga kami masih bersedih (atas pemergian Ashaari),” katanya

Dalam satu kenyataan semalam, Sheikh Lokman antaranya menjelaskan, pihaknya mengambil langkah selamat dengan menyatakan “menyatakan Abuya pulang jika kita teruskan perjuangan” kerana bimbang syarikat Ashaari, Global Ikhwan Sdn Bhd lesu dan kehilangan pekerja

Menurut Sheikh Lokman, persembahan pentomen bertajuk ‘Kalahkan nafsu Abuya pulang’ bukan bermaksud Ashaari akan hidup balik, sebaliknya “kembali ke negara asal dari mana dia datang”.

Keluarga dan pengikut Ashaari atau Abuya hari ini dilaporkan mula berbalah berhubung kepercayaan kononnya Ashaari tidak meninggal dunia dan akan kembali dalam masa terdekat.

Sheikh Lokman – juga menantu Asaari- semalam turut dilaporkan mengakui kepercayaan itu tidak benar dan disebarkan semata-mata untuk menenangkan emosi pengikut Abuya demi menyelamatkan empayar perniagaan Global Ikhwan.

Bagaimanapun, Penasihat Ekonomi dan Korporat Global Ikhwan, Dr Aziz Hashim dilaporkan mempertahankan kenyataannya kelmarin bahawa Abuya cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Fakhrur Razi yang kini memangku tugas ayahnya sebagai pengerusi Global Ikhwan menjelaskan, pelbagai usaha seperti penganjuran konsert mengenang kematian Abuya hanyalah untuk “memotivasikan pengikutnya”.

“Program sebegini biasa. Kita biasa buat untuk memberikan kesedaran kepada orang orang ramai,” katanya.

Diminta mengulas desakan seorang anak saudara Ashaari – Mohd Fakhruddin Abdullah – supaya seorang isterinya Hatijah Aam ditahan kerajaan bagi “mengelak penyelewengan terus berleluasa”, Fakhrur Razi berkata:

“Itu hak dia. Tetapi tidak mungkin polis akan ambil tindakan berdasarkan pandangan seorang individu.

“Pihak polis lebih faham (keperluan menahan seseorang),” katanya yang mendakwa Hatijah menjadi perancang utama, termasuk mengeluarkan ‘fatwa’ kononnya Asaari tidak meninggal dunia.

Hatijah ketika dihubungi pagi ini bagaimanapun hanya memilih ‘diam seribu bahasa’ dan enggan memberikan sebarang ulasan.

BERITA LANJUT MENGENAI PERKARA DIATAS TERDAPAT DIRUANGAN KOMENTAR INTRI INI DI BAWAH INI;

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Abuya (Ashaari) tidak akan hidup balik

  1. jalanakhirat berkata:

    NGO sedia bantu kerajaan pantau kegiatan Al-Arqam
    Mei 21, 10 6:01pm

    Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedia membantu kerajaan memantau kegiatan kumpulan Al-Arqam yang dikhuatiri akan memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

    Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata dakwaan pengikut kumpulan itu yang kononnya bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat adalah kepercayaan karut dan khurafat.

    “Ini bukan lagi kebebasan berfikir malah jelas menyalahi fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. Kerajaan perlulah mengambil tindakan tegas kepada kumpulan ini dan kita akan bantu kerajaan di mana-mana bahagian yang boleh kita bantu. Secara jelasnya ini adalah apa yang dikatakan jenayah akidah,” katanya di Kuala Lumpur.

    Mohd Nakhaie yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan, turut menyeru lain-lain NGO untuk bersama memainkan peranan dengan memberi penerangan kepada masyarakat supaya tidak terjebak dengan ajaran sesat tersebut.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar semalam bahawa pengikut Ashaari atau lebih dikenali sebagai Abuya, kembali mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pemimpin Al-Arqam itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

    Konsert itu diadakan empat hari selepas Ashaari meninggal dunia di Hospital KPJ Ipoh Specialist pada 13 Mei lalu akibat jangkitan paru-paru.

    Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, kumpulan tersebut adalah antara kumpulan yang telah difatwakan sebagai kumpulan ajaran sesat.

    “Apa yang disebutkan sebagai tidak mati dan ghaib itu berkaitan dengan soal akidah sebenarnya. Majlis Agama Islam perlulah memantau mengenai penyelewengan kumpulan tersebut yang mempunyai pegangan yang menimbulkan keraguan.

    “Sememangnya dalam Islam, perkara ghaib adalah perkara yang perlu kita percayai. Tetapi bagi yang mati hidup semula, itu adalah kepercayaan karut,” katanya yang turut melahirkan kesediaan membantu kerajaan.

    Beliau turut menggesa kerajaan supaya serius dalam pemantauan selain memberikan penjelasan kepada masyarakat khususnya orang Islam supaya akidah mereka tidak dipesongkan oleh kumpulan tersebut.

    Zaid turut mencadangkan supaya kerajaan menjemput tokoh agama bagi mengadakan perbincangan dengan wakil kumpulan Al-Arqam bagi membolehkan perkara yang menimbulkan keraguan di kalangan anggota kumpulan tersebut dapat diselesainya mengikut ajaran Islam yang betul.

    Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata selain NGO, orang ramai juga diminta berperanan untuk membantu kerajaan dengan melaporkan kegiatan keagamaan yang menyalahi fatwa.

    Katanya, PPIM sentiasa menyokong sebarang usaha ke arah penyatuan umat Islam dan sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha membendung kegiatan-kegiatan yang akan memesongkan akidah umat Islam.

    Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim pula berkata, tindakan yang diambil kerajaan adalah tepat bagi memastikan kegiatan kumpulan Al-Arqam dapat dilumpuhkan.

    “Yang membimbangkan kita, jika tidak dipantau dan diambil tindakan tegas, ia akan mempengaruhi masyarakat di luar khususnya belia yang tidak tahu susur galur perjalanan kumpulan ini.

    “Kita sedia membantu kerajaan memberi penjelasan kepada masyarakat supaya mereka tidak terpengaruh dengan ajaran sesat kumpulan ini kerana ia membabitkan penyelewengan akidah,” katanya.

    – Bernama

  2. Read more berkata:

    I’ll immediately seize your rss as I can’t find your email subscription link or e-newsletter service. Do you have any? Kindly allow me recognise so that I may just subscribe. Thanks.

Tinggalkan komen