Tok Ku Paloh al Aidrus



DALAM halaman Agama Utusan Malaysia , nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.

Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.

Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).
Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.

Pendidikan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.

Perjuangan

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.
“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.
“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah ‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.
Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.
Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.

Salasilah Tok Ku Paloh

SALASILAH AL IDRUSI

1 Sayyiduna Muhammad saw

2 Fatimah al-Zahra’

3 Imam Husain

4Imam Ali Zainal Abidin

4 Imam Ahmad al-Baqir

5 Imam Ja’afar al-Sadiq

6 Ali Arawdi

7 Muhammad al-Naqib

8 Isa

9 Ahmad al-Muhajir

10 Syeikh Abdullah

11 Syeikh al-’Alawi

12 Muhammad

13 Ali

14 Ali Khala’ Qasam

15 Muhammad Sahibul Mirbad

16 Muhammad Faqih Muqaddam

17 Alwi

18 Ali

19 Syed Muhammad Maula Dawilah

20 Qutubuzzaman Muhammad Abdul Rahman al-Saqaf

21 Qutubul Irfan Abu Bakr al-Sakran

22 Qutubus Syumus Abdullah al-Idrus

23 Qutubul Irsyad Abdullah al-Haddad

24 Ali Zainal Abidin

25 Syeikh Mustafa

26Zainal Abidin

27 Syed Muhammad

28 Syed Muhammad Zainal Abidin

29 Qutubuzzaman Syed Abdul Rahman al-Idrus (Tukku)

30 Syed Abu Bakr

31 Syed Abdullah

32 Qutubuzzaman Syed Muhammad al-Idrus (Ayahku)

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

21 Responses to Tok Ku Paloh al Aidrus

  1. wan Rajipah says:

    di ceritakan aku juga keturunan tok ku paloh.tapi saya di johor ni…nak sangat cari di mana saudara2ku .tolong ya….kalau ingin ketemu saya …contactlah agar terus kita kenal saudara2 kita.

  2. KyMie says:

    aku keturunan tok paloh…

  3. Engku Fatimah Salwati says:

    Ibu mentua saya ialah cucu Tok Ku Paloh dan masih tinggal di Kampung Paloh, Kuala Terengganu. Daripada beliau saya banyak mengetahui sejaran hidup Tok Ku Paloh dan dapat juga melihat barang-barang tinggalan beliau yan tidak ternilai.

    • huzaifah says:

      boleh beri saya, silsilah keturunan tok ku paloh ?

      • Dr Harlina Ali Hanafiah says:

        Boleh beri number handset.Saya adalah seorang Dr Gigi di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang ada mengikut sedikit amalan Tok Ku Paloh melalui cucu Cik Leh Keramat.Nama saya Dr Harlina Ali Hanafiah

      • HUZAIFAH says:

        ni nombor saya : +201158239815

  4. HUZAIFAH says:

    ni nombor saya : +201158239815

    • jalanakhirat says:

      Asalamualaikum

      Huzaifah,

      Berikut adalah salasilah Tok Ku Paloh yang saya perolehi daripada arwah guru saya di Pahang ketika saya menuntut dengannya.

      SALASILAH AL IDRUSI

      1 Sayyiduna Muhammad saw

      2 Fatimah al-Zahra’

      3 Imam Husain

      4 Imam Ali Zainal Abidin

      4 Imam Ahmad al-Baqir

      5 Imam Ja’afar al-Sadiq

      6 Ali Arawdi

      7 Muhammad al-Naqib

      8 Isa

      9 Ahmad al-Muhajir

      10 Syeikh Abdullah

      11 Syeikh al-’Alawi

      12 Muhammad

      13 Ali

      14 Ali Khala’ Qasam

      15 Muhammad Sahibul Mirbad

      16 Muhammad Faqih Muqaddam

      17 Alwi

      18 Ali

      19 Syed Muhammad Maula Dawilah

      20 Qutubuzzaman Muhammad Abdul Rahman al-Saqaf

      21 Qutubul Irfan Abu Bakr al-Sakran

      22 Qutubus Syumus Abdullah al-Idrus

      23 Qutubul Irsyad Abdullah al-Haddad

      24 Ali Zainal Abidin

      25 Syeikh Mustafa

      26 Zainal Abidin

      27 Syed Muhammad

      28 Syed Muhammad Zainal Abidin

      29 Qutubuzzaman Syed Abdul Rahman al-Idrus (Tukku)

      30 Syed Abu Bakr

      31 Syed Abdullah

      32 Qutubuzzaman Syed Muhammad al-Idrus (Ayahku)

      Wasalam.

      • Huzaifah says:

        ya sayyid ,minta nama fb boleh ?

      • Huzaifah says:

        bagaimana pula dengan silsilah ini,dari :http://ms.wikipedia.org/wiki/Saiyid_Abdur_Rahman_bin_Saiyid_Muhammad_al-Aidrus.

        Latar Belakang
        Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.

        Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).

        Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.

        Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

        Keturunan Rasulullah SAW

        Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar.

        Dengan itu nyatalah Tokku Paloh itu bukan saja berketurunan Rasulullah SAW yang mulia malah mendapat didikan dan asuhan dalam keluarga yang kuat beragama. Semua adik-beradiknya juga mempunyai keahlian dalam hal-ehwal agama dan di antara yang terkenal ialah Sayyid Zain (dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar), Sayyid Ahmad (bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Sayyid Mustaffa (seorang ulama yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan salah seorang dan empat pembesar yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan negeri sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada Ogos 1896.

        boleh beri balas…?

      • jalanakhirat says:

        Asalamualaikum

        Huzaifah

        Salasilah yang saya titipkan di atas adalah salasilah kerohanian Tok Ku Paloh, salasilah kerohanian ini lebih mudah difahami mereka yang menuntut ilmu kerohanian yang menjadi amalan Tok Ku Paloh daripada keturunan yang mewarisinya..

        Salasilah yang tuan maksudkan mungkin salasilah keturunan atau sulbi, lantaran itu salasilah yang saya beri dengan yang tuan nyatakan adalah berbeza walau pun kedua duanya boleh diterima pakai.

        Maaf FB saya tak aktif, Apasal No tel tuan lain macam, buat masa ini tuan menetap di mana ?. Apakah tuan mengamalkan ilmu kerohanian Tok Ku Paloh ?.

        Wasalam

      • Huzaifah says:

        buat masa sekarang ,saya belajar di mesir

      • Syed Omar al-seggaf says:

        assalamualaikom tuan sayyid ana ingin mengamalkan torikat tokku paloh dimana bolih ana berjumpa murshid nya

  5. Huzaifah says:

    salasilah keturunan yang saya mahukan,salasilah sulbi tu apa ya ?

    • jalanakhirat says:

      Asalamualaikum

      Huzaifah

      Sulbi itu adalah salah satu diantara ruas tulang belakang di bahagian sebelah bawah, Dari air tulang sulbi inilah melahirkan keturunan hasil daripada perhubungan suami isteri.

      Apakah tuan keturunan Tok Ku Paloh ?. Atau sedang membuat kajian mengenai keturunan Tok Ku Paloh ?.

      Guru saya Al Marhum Qutubuzzaman Syed Muhammad al-Idrus (Ayahku) adalah cicit kepada Tok ku Paloh.

      Soalan saya yang maseh tidak tuan jawab apakah tuan mengamalkan ilmu kerohanian Tok Ku Paloh ?.

      Wasalam.

  6. jalanakhirat says:

    Asalamualaikum

    Apakah yang di maksudkan dengan salasilah kerohanian ( tariqat) dan mengapa salasilah tariqat itu penting ?

    Seseorang yang di anggap mursyid ialah seseorang yang telah berguru sebelumnya dengan gurunya terdahulu dan sehinggalah bersusun sampailah kepada tabi’in kepada sahabat dan akhirnya bertemu kepada Rasulullah s.a.w. dan mestilah di dokumenkan dalam bentuk bertulis dan di sahkan oleh gurunya yang terdahulu dengan ‘memberi izin’ bagi menjalankan atau menyebarkan tariqat tersebut serta mahsyur sanadnya mengikut adab tariqat.

    Salasilah ini penting kerana beberapa sebab iaitu :

    i. bagi menentukan seseorang murid menerima keberkatan (kesan ruhaniah) atau limpahan ruhani yang bersambung dengan syeikhnya itu terus bersambung sehinggalah persambungannya itu benar-benar dari puncanya yang sebenar dan teratasnya iaitu Rasulullah s.a.w. Sekiranya salasilahnya terputus atau tiada memiliki sanad salasilah yang sah maka bagaimana seseorang itu dapat menerima limpahan keberkatan imdad bir ruhaniah dari segala masya’ih yang terdahulu sehingga Rasulullah s.a.w yang dengannya menyampaikan kita kepada jazbah fillah(tarikan kepada Allah iaini zuk fana’fillah dan baqo’billah).

    ii. Bagi yang terputus wasilah ruhaniahnya maka terputuslah apa yang di panggil rabithah mursyid(pertalian mursyid).Jika tiada baginya rabithah mursyid maka tiada terpelihara perjalanannya itu daripada tercedera terhadap gangguan musuh-musuh bathin seperti iblis, syaitan jin dan segala perkara yang membahayakan perjalanan ruhaninya khususnya dalam meniti perjalanan di alam malakut.Sebab itu kita dengar bahaya-bahaya penipuan di alam ruhani yang sering kita dengar seperti membesarkan diri mengakui diri sudah capai ke mertabat wali,mertabat sultanul auliya, sudah dapat tahap yang tinggi dan suka menggelar diri , taa’sub , sudah pandai menilik dan di katanya sudah dapat kasyaf , pandai mengubat kerana sudah disangkanya dapat maunah dan akhirnya melalutlah kepada gila dan sebagainya. Sedangkan rukun bagi seseorang mursyid atau khalifah itu ialah sangat merendahkan diri (tawadhu’) bagaimana pula dia nak mengaku dirinya lebih atau macam-macam lagi.Satu perkara lagi sifat orang yang terputus sanadnya suka kondem orang lain yang nyata kondemnya itu tidak jujur dan terlalu taasub dengan amalannya saja kononnya amalannya yang sah , betul dan orang lain itu semuanya tak betul kalau betul pun tak sempurna macam dia punya. Sebenarnya 2 perkara ini selalu dilakukan bagi orang yang lalai dalam zikrullah atau memang sudah ada cacat dalam perjalanannya.

    iii. Sebagai bukti atau hujjah yang sah bahawa seseorang itu mendapat izin dari syeikhnya yang terdahulu bagi menyebarkan ajaran tariqatnya itu kerana sanad salsilah yang mahsyur dan mutashil dengan Rasulullah s.a.w. itu seumpama otoriti yang sangat berwibawa tanpa dapat di pertikaikan lagi dari sudut keizinan dan kelayakannya dalam memimpin murid.Dan inilah adab yang amat penting dalam tariqat.

    iv. Salasilah juga adalah suatu keesahan yang menyatakan bahawa tiada berlaku perubahan atau pindaan atau saduran darihal penyampaian ilmu Tariqat itu sendiri dan lazimnya salasilah ini di kepilkan bersama ajaran-ajaran,adab-adab serta segala keterangan maqam-maqam zikir tariqat yang di rekod bersama dari turun temurun supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau di ciplak dari mana-mana ajaran yang bertentangan dengan asal .

    Wasalam

  7. Huzaifah says:

    wassalam…
    saya x pernah mendapat ijazah amalan kerohanian tok paloh,saya sebenarnya ada berkait dengan salasilah tok paloh ,mursyid itu hanya murid nya lebih mengetahui,saya sangat berharap sayyidi dapat memberikan nama fb supaya lebih saya kenali

  8. Huzaifah says:

    tok paloh ade berapa beradik ?

  9. Assalam adakah Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Saiyid Abdul Rahman Saiyid Alwi Al Hadad orang yang sama ? Maaf sekiranya silap.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s