Sujud para malaikat

Sujud para malaikat

Sujud para malaikat adalah kerana menghormati Nabi Adam a.s. dan bukan menyembah — Iblis tidak mematuhi arahan Tuhan ini kerana merasa dirinya besar dan mempunyai kelebihan berbanding manusia.

Imam Al-Maghari berkata di dalam tafsirnya, selepas Allah s.w.t. mengkhabarkan kepada malaikat berhubung kedudukan Adam yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, lantas Allah memerintahkan mereka sujud sebagai tanda hormat, bukan ibadat sebagai mengiktiraf kemuliaan Adam dan sebagai pernyataan bersalah terhadap apa yang mereka katakan sebelumnya.

Di antara keistimewaan Adam ialah kurniaan ilmu yang banyak, sehingga melemahkan prestasi tahap capaian keilmuan maksimum Malaikat. Allah menambahkan pada ayat-ayat berikut, dengan kemuliaan lain, iaitu arahan kepada sekalian Malaikat supaya bersujud kepadaNya. Ini menambahkan lagi tanda-tanda kemuliaan dan kelebihan pada makhluk bernama manusia yang berasal daripada Adam a.s.

Ibn Jarir di dalam tafsirnya, At-Thabari berkata, seolah-olah ia merupakan peringatan kepada kaum Yahudi yang mendiami Kota Suci Madinah bersama Nabi s.a.w. Kepada mereka diberikan pelbagai nikmat dan peringatan, sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka, kecuali iblis. Ia enggan dan takbur, dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir. (Surah al-Baqarah Ayat 34)

Allah menyebut, `Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat’. Iaitu, ingatlah wahai Muhammad, kepada kaummu, ketika Kami berkata kepada Malaikat. Syeikh Abdur Rahman As-Sa’di berkata dalam tafsirnya, Taisir Al-Karim, ayat ini mengandungi banyak pengajaran, di antaranya ialah mengisbatkan kalam Allah.

Ibn Jauzi mentafsirkan di dalam kitabnya, Zad Al-Masir, bahawa terdapat dua pendapat tentang Malaikat: Pertama, semua Malaikat. Inilah pendapat As-Suddi daripada guru-gurunya. Kedua, mereka segolongan daripada malaikat, seperti riwayat Ibn Abas, tetapi pendapat yang pertama lagi sahih.

`Sujudlah kamu kepada Adam’. Iaitu sujud sebagai penghormatan dan membesarkannya, bukan sujud untuk beribadat. As-Syaukani di dalam Fath al-Qadir berkata, maksud sujud di sini ialah hina dan merendahkan diri, dan kemuncaknya ialah meletakkan wajah di bumi. Inilah juga pendapat Imam an-Nasafi di dalam tafsirnya yang menaqalkan pendapat jumhur ulama.

Terdapat dua pendapat berhubung sifat sujud para malaikat kepada Adam: Pertama, iaitu seperti sifat sujud di dalam solat. Inilah pendapat yang lebih zahir. Kedua, iaitu merendahkan kepala seumpama rukuk. Al-Imam al-Fakhru ar-Razi di dalam kitab, Tafsir al-Kabir berkata, telah ijmak sekalian orang Islam, bahawa sujud tersebut bukan sujud ibadat, kerana sujud ibadat selain Allah boleh membawa kufur.

Al-’Allamah Thahir `Asyur melalui tafsirnya, At-Tahrir Wa At-Tanwir berkata, sujud merupakan penghormatan pertama yang diterima oleh manusia daripada makhluk alam. Dan disandarkan sujud kepada Adam dengan perkataan `lam’ yang bermaksud `bagi’ menunjukkan bahawa mereka ditaklifkan bersujud dengan zatnya dan ia merupakan asal penunjuk `lam ta’lil’, iaitu apabila dikaitkan dengan maksud sujud.

Kemudian beliau menambah, pada ayat ini juga dapat dikeluarkan permasalahan yang cukup menarik tentang penghormatan kepada ilmu dan kelayakan ulama untuk menerima penghormatan dan kemuliaan tersebut, kerana ketika Allah mengajar kepada Adam ilmu-ilmu yang tidak dimiliki oleh malaikat, ia menjadikan Adam contoh utama dalam penguasaan penciptaan kajian dan ilmu yang zahir pada manusia selepasnya, dan pasti akan zahir penciptaan baru, begitu juga ilmu sehingga binasanya alam ini.

`Maka sujudlah mereka, kecuali iblis’. maksudnya, lantas mereka iaitu para malaikat semuanya sujud, kecuali iblis. Ulama menyebut, pengecualian ini ditafsirkan dengan dua pendapat: Pertama, iaitu pengecualian daripada jenis yang sama. Pendapat ini menggolongkan iblis termasuk dalam kumpulan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas’ud dalam satu riwayat dan Ibn Abas, kecuali Allah menukar rupanya menjadi syaitan. Kedua, ia bukan jenis malaikat, tetapi jenis jin. Inilah pendapat Al-Hasan Al-Basri dan Az-Zuhri.

Justeru itu, jadilah pengecualian ini sebagai pengecualian yang terputus. Penulis menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat Al-Quran yang lain, di dalam surah al-Kahfi ayat 50 maksudnya:

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat : Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhaka kepada perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim.

Berhubung nama iblis, terdapat dua pandangan ulama, seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Mawardi di dalam kitabnya, an-Nukat Wa al-’Uyun. Pertama, ia merupakan nama a’jam (bukan Arab). Inilah pendapat Abu Ubaidah, iaitu Mu`ammar bin al-Musanna at-Taimi, az-Zajjaj dan Ibn al-Anbari. Kedua, ia diambil daripada perkataan iblas, yang bermaksud putus asa seperti riwayat Abi Soleh.

Ini kerana, `Ia enggan dan takbur’, iaitu melanggar apa yang diarahkan kepadanya. Syeikh Rashid Redha di dalam tafsirnya, al-Manar berkata, iblis tidak mematuhi arahan Tuhan kerana merasa dirinya besar dan mempunyai kelebihan berbanding manusia. Sifat takbur dan suka menunjuk-nunjukkan sifat kesombongan ini, merupakan tanda-tanda perasaan tinggi diri. Terdapat huruf `sin’ dan `ta’ pada permulaan kalimah takbur, ia menunjukkan bahawa takbur bukanlah tabiat iblis, tetapi ia mampu dan bersedia melakukannya.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Sujud para malaikat

  1. sastro says:

    Manusia adalah makhluk Allah yang dimuliakannya ke atas segala makhluk yang lainnya tetapi manusia itu sendirilah yang telah meletakkan kedudukannya di tempat yang serendah-rendahnya, bahkan lebih rendah dari golongan binatang. nauzubillah..himindzalik. allahuakbar.

  2. bidadari says:

    Manusia adalah makhluk Allah yang dimuliakannya ke atas segala makhluk yang lainnya tetapi manusia itu sendirilah yang telah meletakkan kedudukannya di tempat yang serendah-rendahnya, bahkan lebih rendah dari golongan binatang. nauzubillah..himindzalik. allahuakbar.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s