Dosa nilai kecil besarnya



Dan ketahui olehmu bahawasanya segala Arwah mukmin yang khowas itu dalam syurga. Maka apabila telah dibukakan bagi mereka itu daripada segala hal mereka itu dan segala Maqam mereka itu dalam negeri dunia ini, maka jadilah mereka itu dalam menyesal atas segala dosanya dan bercita atas yang luput mereka itu daripada segala taat pada hal malu ia kepada Allah (kerana) tiada takut ia daripada luput . (Ini adalah) kerana bahawasanya bercitaan(suka) atas luput taat itu tiada terpuji ia melainkan orang yang dalam Maqam Iman dan hijab dan orang yang berjabat atas amal.

Adapun segala orang yang Arif itu, maka tiada sekali-kali berjabat ia atas amal kerana bahwasanya amal itu makhluk dalam tilikNya.

Keterangan Suluk

Eloklah diterangkan serba sedikit berkaitan dengan Ruh sebagaimana yang telah disentuh oleh Tok Pulau Manis di atas. Berkenaan dengannya kita boleh ambil sedikit pengertian dari kenyataan Abu Bakar R.A. Beliau telah ditanya tentang kemana ruh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: “Roh itu menuju ketujuh tempat:-

* 1. Ruh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyin.

* 2. Ruh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

* 3. Ruh para Syuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.

* 4. Ruh para Nabi dan utusan(Rasul) menuju ke Syurga Adnin.

* 5. Ruh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.

* 6. Ruh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.

* 7. Ruh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.”

Ruh orang-orang khowas yang berada di dalam syurga apabila dibukakan hal-ahwal amal ibadat mereka di dunia akan menyesali amal perbuatan mereka kerana semasa di dunia mereka masih banyak meluputkan masa dari amal yang bermanfaat di samping mengerjakan dosa dan maksiat sama ada yang zhohir atau pun yang batin. Pada ketika itu, Ingin sekali mereka menggantikan setiap masa itu dengan amal-amal yang sebaiknya. Namun demikian itu masih menunjukkan bukanlah sesuatu yang terpuji kerana ini membuktikan bahawa mereka masih terhijab dari Allah sebenarnya kerana masih banyak bergantung dan bersandar kepada amal-amal perbuatannya. Inilah yang membezakan kedudukan Iman antara orang-orang khowas dengan orang-orang yang Arif kerana orang-orang Arif tiada sekali-kali berjabat(bergantung) ia atas amal kerana bahwasanya amal itu makhluk dalam tilikNya.

Bila makhluk(amal ibadat atau pahala), maka bukanlah ia yang boleh memberikan sesuatu manfaat dan kebahgiaan yang hakiki. Maka dengan itu, perlu difahami dari pandangan orang-orang Arif ini menunjukkan bahawa masuk syurganya seseorang itu bukanlah kerana amal dan ibadatnya..tetapi semata-mata adalah kerana limpah kurnia anugerah Allah Taala Yang Maha Mengasihani, Maha Adil, Maha Berkehendak dan Menentukan di atas setiap sesuatu dan pada tiap sesuatu itu Allah Yang Menguasai.

Tegasnya dari keterangan ini kita akan memahami salah datu thoriq atau jalan para ahli sufi. Para pendukung Tasauf lebih memberatkan hubungan ruh atau jiwa atau hati mereka dalam melaksanakan hak kehambaannya berbanding amalan zhohir. Mereka lebih banyak bergantung dan bersandar kepada Allah. Mengharapkan limpah kurnia Nur Makrifat melebihi kejahatan mereka kepada diri zhohir mereka sendiri. Mereka terbang ke alam makrifat dengan dua sayap dari khouf dan Roja’. Dengan kerana inilah Tok Pulau meneruskan lagi keterangannya sebelum mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya sebagaimana berikut;

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan sesungguhnya telah dibukakan bagimu akan “Bab Al-Tarqi” (pintu peningkatan) dalam tempat berbahagia; dan telah ditunjukki engkau atas baik sangka dan berpegang pada Allah. Kata Muaalif Sheikh Ibnu Athoillah As-Kandari melalui kalam hikmah yang seterusnya yang bermaksud;

Jangan sampai terasa bagimu besarnya sesautu dosa itu hingga menegahkan ia akan dikau daripada berbaik sangka dengan Allah.

Keterangan oleh Tok Pulau Manis;

Jangan kiranya berbesarkan dosa padamu dengan besar yang menegahkan ia akan dikau daripada berbaik sangka dengan Allah.

Dan adalah demikian itu menunjukkan atas ketiadaan Makrifatmu pada Tuhanmu; kerana bahawasanya orang Arif itu apabila jahat daripada dosa, maka Zikir(ingat dan rujuk) ia akan Allah. Maka apabila telah zikir ia akan Allah, maka dipandangnya anugerahNya dan diperbaiki sangkanya. Maka jadi kecil dosanya daripada pihak Karam(Murah) Tuhan. Maka adalah demikian itu akan sebab bahagia.

Keterangan Suluk

Kalam Hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas adalah berkaitan dengan sifat Roja’ yang mesti dijadikan pakaian hamba-hambanya yang ingin memilik makrifat. Sebagai seorang hamba yang lemah dan dhoif, tentu sekali mereka tidak sunyi daripada terjatuh kepada mengerjakan dosa-dosa yang kecil atau besar; sama ada secara sengaja atau tidak; nyata atau tersembunyi. Setiap kesalahan dosa dan maksiat itu sebenarnya, jika diperhalusi adalah merupakan sebagai satu rahmat dari Allah seperti mana rahmat yang terselindung di sebalik sesuatu musibah atau kesusahan yang menimpa.

Pada orang-orang yang jahil dengan makrifat, mereka akan memandang dosa ini sebagai satu bencana yang besar bagi mereka. Terbayang kepada mereka kesiksaan azab-azab yang akan diterima dari Allah. Lebih parah lagi bagi mereka yang telah sekian lama bergelumbang dalam dosa dan noda akan membuat tanggapan bahawa sisa-sisa hidup mereka jika diisi penuh dengan amal dan ibadat sekalipun tidak akan dapat menebus gunung dan lautan dosa yang telah dilakukan. Tambahan pula bukanlah mereka itu rajin sangat mengerjakan amal dan ibadat yang banyak. Dengan tanggapan salah ini, ada di kalangan mereka yang berputus asa dan terus bersikap..alang-alang mandi biarlah basah..alang-alang berdosa birlah berdosa sampai mati. Seolah-olah tertutup atau mereka tidak mengenal bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Penerima Taubat.

Orang-orang Arif yang cahaya makrifatuLlah sentiasa menyuluhi kehidupan mereka, tidak menganggap sesuatu kesalahan dan dosa itu besar dan tidak akan diampuni Allah. Apabila berdosa mereka terus ingatkan Allah, berzikir kepada Allah, bertawajuh kepadaNya dan bertaubat kepadaNya. Maka Nur makrifatnya menyatakan bahawa inilah anugerah Allah kepada mereka. Allah menganugerahkan hati yang berzikir setelah berdosa, Allah mengurniakan hati yang bertawajjuh kepada mereka. Diperbaiki sangkanya terhadap Allah di mana kelemahan dan kedhoifan mereka sehingga terjerumus ke dalam dosa adalah kerana dengan kehendak Allah jua yang ingin menyedarkan mereka supaya ingat dan berzikir serta bertawajuh kepada Allah. Dengan itu jadi kecil dosa itu dengan sifat Karam(MurahNya) Allah yang sentiasa memberi, membentuk, membimbing, mengampuni, menunjuki jalan dan melimpahkan Kasih SayangNya terhadap hamba-hambaNya melebihi kasih sayang ibu-bapanya malah dirinya sendiri.

Tegasnya, sebesar mana dosa sekalipun, bukanlah sesuatu yang menegah sesorang itu untuk mendekati Allah dan mendapat rahmatnya, malah bagi mereka ahli-ahli makrifat dapat melihat dan menyaksikan dalam keimanan mereka bahawa Allah itu Memiliki Keluasan Anugerah dan KaramNya sebagaimana yang terhimpun dalam makna-makna sambungan Kalam Hikmah di atas sebagaimana berikut;

Maka barangsiapa Makrifat akan TuhanNya, nescaya kecil dosanya itu di samping keluasan KaramNya (kemurahan) Allah

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Maka bahawasanya barangsiapa mengenal TuhanNya, nescaya kecil pada pihak Sifat KaramNya dosanya pada iktibar bahawasanya TuhanNya bersifat Al-Munkotim, Al-Qahar, Al-Qawi, Al-‘Azim. Maka bersamaan Roja’ dan Khaufnya dalam tiap-tiap hal daripada segala ahwalnya dan hanyasanya sah bagimu demikian itu apabila ada engkau Nazhor bagi segala SifatNya; tiada tilik bagi segala fi’ilmu.

Keterangan Suluk

Melalui keterangan Tok Pulau Manis yang menjelaskan bahawa natijah daripada makrifat atau mengenal Allah itu bahawa di pandangnya oleh seorang hamba suatu dosa itu kecil dan akan diampuni Allah bila dihadapkan kepada Sifat-sifat Allah Yang Adil, Yang Berkuasa, Yang Gagah, dan Yang Agung. Hasil dari pandangan dan iktibar Sifat-Sifat Allah ini pula akan memperseimbangi Roja'(Harap pada limpah kurnia Allah) dan Khauf(takut dan gerun dengan KeadilanNya) dalam setiap amal ibadat dan hal-ahwalnya kehidupannya. Namun kesemua itu akan menjadi kenyataan atau sesuatu yang diterima atau diredhoi oleh Allah Taala jika hamba itu menilik dan mengenali kepada segala Sifat-Sifat Allah di samping tidak menilik atau memandang kepada segala perbuatannya hatta dirinya sendiri.

Dengan kerana itu sewajarnya sebagai seorang yang ingin hampir dengan Allah, kita hendaklah mengenali Allah dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Mengenal Zatnya, Sifat-sifatNya, Af’alNya dan AsmaNya.

“Wallahu kholakokum wama ta’malun” dan sesungguhnya Akulah yang menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu lakukan”

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

One Response to Dosa nilai kecil besarnya

  1. Rodiah Yahya berkata:

    SEMOGA ALLAH MELINDONGI KITA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s