Siti Marim as



Seperti yang diketahui, Maryam binti Imrān adalah salah seorang wanita yang mempunyai kisahnya di dalam Al-Qur’ān. Beberapa surah telah menceritakan kisahnya yang mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang kukuh kepada Allah S.W.T. Keimanannya amat kuat serta sentiasa beribadat kepada Allah tanapa jemu. Sekaligus beliau adalah antara calon-calon yang akan dijanjikan syurga.

dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di Dalam Kitab Al-Qur’ān ini perihal Maryam…..
( Surah Maryam: 16 ).

Bapanya adalah seorang pendita Bani Israil yang bernama cImrān bin Matsan. Manakala ibunya bernama Khannah binti Faqudz. Mereka kedua-duanya mempunyai keinginan ataupun harapan yang tinggi untuk mendapatkan seorang cahaya mata setelah lama berkahwin. Tetapi harapan mereka tidak tercapai sehinggalah usia mereka sudah meningkat senja (Jabir Asy- Syal. 1994: 66).

Pada suatu hari sedang Khannah duduk di bawah sebatang pokok pada suatu petang. Sedang asyik dia menyulam, tiba-tiba dia melihat seekor burung berputar-putar di atas sarangnya. Pada paruh burung itu terdapat secubit makanan lalu disuapkan ke dalam mulut anaknya yang berada di dalam sarangnnya. Apabila melihat situasi itu Khannah pun memanjatkan doanya kepada Allah supaya dikurniakan seorang anak lelaki. Dia juga turut berhajat di dalam doanya itu jika dikurniakan anak lelaki akan dihantarnya anak itu ke Baitul Maqdis (Rumah Suci) untuk menjadi penjaga dan pengawal tempat itu diatas rasa syukurnya kepada yang Maha Esa (Jabir Asy- Syal. 1994: 66).

Setelah beberapa lama masa berlalu, dengan kuasa Allah yang Maha Esa Khannah pun mendapati dirinya telah mengandung. Dia pun memceritakan khabar tersebut kepada suaminya serta hajatnya untuk menghantar anak tersebut ke rumah ibadat. Tetapi suaminya tidak begitu bersetuju kerana bimbang anak yang bakal dilahirkan itu adalah perempuan.

Pada suatu hari dengan kuasa Allah jua suaminya cImrān telah meningal dunia sebelum sempat melihat anak mereka yang bakal lahir. Hanya kepada saudara perempuannya sahaja tempat Khannah mengadu kesedihan iaitu Isya’ dan Zakaria bin Bardhiya (Jabir Asy- Syal. 1994: 67).

Kemudian tibalah masa yang ditunggu-tunggu, Khannah telah melahirkan anak dan bayi tersebut adalah perempuan lalu diberikan nama sebagai Maryam. Khannah lalu membungkus anak tersebut dibawanya ke rumah ibadat sepertimana nazarnya. Lalu diserahkan kepada pendita di situ. Masing-masing ingin memelihara bayi itu kerana Maryam adalah anak kepada cImrān merupakan orang yang amat terkenal dan soleh (Jabir Asy- Syal. 1994: 68).

Kemudian Maryam telah dipelihara oleh Zakaria bersama isterinya dengan penuh kasih sayang setelah mereka mengundi dengan pendita-pendita yang lain siapakah yang layak memelihara Maryam. Sehinggalah Maryam dewasa, Zakaria telah membina sebuah kamar khusus untuknya sebagai tempat untuk beribadat kepada Allah S.W.T. (Jabir Asy- Syal. 1994: 68)

Dapat dilihat kekuatan keimanannya dan ibadatnya kepada Allah S.W.T. Sianggnya berpuasa, malamnya beribadat serta bertasbih. Kekuatan imannya terbukti apabila zakaria sendiri menyaksikan apabila dia mahu menghantar makanan kepada Maryam dilihatnya selonggok buah musim panas pada musim dingin dan sebaliknya. Begitulah setiap kali apabila Zakaria pergi ke tempat ibadat Maryam. apabila ditanya dari mana datangnnya buah-buahan tersebut Maryam menyatakan ia datang dari Allah.

Kemudian kisah yang paling besar terjadi kepada Maryam juga adalah apabila beliau telah mengandung walaupun Maryam adalah wanita yang menjaga kesuciannya. Tetapi itu adalah kurniaan Allah yang maha berkuasa.

Seterusnya di dalam Gospel juga turut diceritakan kisah Maryam ataupun lebih dikenali sebagai Mary. Dan di dalam Gospel, dikatakan Maryam amat berhubung rapat dengan isteri Zakaria iaitu Elizabeth. Dan diceritakan juga Maryam tinggal di Nazareth di Galilee kemungkinan bersama ibu bapanya. Kemudian telah betunang dengan Joseph. Sesetengah ahli-ahli ilmuan kristian menyatakan bahawa Maryam menyukai Jospeh yang merupakan keturunan Nabi Daud .

Apabil Maryam mendapat perkhabaran dari malaikat bahawa dia mengandungkan seorang penyelamat ataupun Messiah, lalu Joseph pun diarahkan oleh malaikat untuk mengahwini Maryam.

Terdapat dua asas utama di dalam Kristian di dalam mempercayai tentang Maryam. Iaitu berkaitan dengan ibu kepada tuhan dan juga kesuciannya yang mana amat berhubung rapat dengan Jesus secara jelasnya terdapat di dalam Gospel.

Oleh yang demikian, berdasarkan ringkasan kisah Maryam yang saya ambil dari dua sumber iaitu berdasarkan kisah di dalam Al-Qur’ān dan Gospel itu, maka saya amat beminat untuk melakukan kajian keatas tajuk ini. Kajian ini adalah untuk melihat serba sedikit latar belakang hidup Maryam. Selain itu juga kajian ini juga adalah melihat sejarah hiupnya yang merupakan seorang hamba yang amat taat dan kuat ketaqwaannya kepada Allah S.W.T.

Kajian ini juga, bukan semata melihat kewibawaan Maryam sebagai wanita yang kuat keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah. Malah saya juga amat tertarik untuk meneliti,mengkaji, serta membandingkan apa yang di ceritakan di dalam Al-Qur’ān dan Gospel.

Ini kerana kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian amat mempercayai kisah Maryam ini dan turut dimuatkan di dalam kitab suci yang menjadi panduan. Jadi secara tidak langsung sebagai seorang Islam saya juga amat berminat untuk mendalami lagi tentang Maryam ini. Juga perlu mengkaji dari sudut kepercayaan agama lain yang turut mempercayai kisah ini juga. Ini kerana tidak kesemua kisah yang mereka percaya itu sama dengan apa yang terdapat di dalam kitab suci Al-Qur’ān. Dan kajian terhadap perbezaan tersebut amat perlu dijalankan agar keutuhan Al-Qur’ān tidak akan dirosakkan dengan penceritaan yang telah ditokok tambah di dalam Gospel.

ABSTRAK

Di dalam kajian ini pengkaji telah memfokuskan penceritaan Maryam dari dua perspekif kitab suci iaitu Al-Quran dan juga Gospels. Kajian ini dilakukan adalah bertujuanuntuk menyingkap perbezaan berkaitan penceritaan tentang Maryam atau Mary berdasarkan dua perspektif kitab di atas dan juga analisis berkaitannya. Selain itu pengkaji turut memaparkan persamaan berhubung Maryam yang telah wujud di dalam kedua-dua perspektif tersebut. Bagi mencapai tujuan tersebut, pengkaji telah menggunakan mtodologi kajian ke perpustakaan serta analisis berdasarkan dapatan kajian ke perpustakaan tersebut. Selanjutnya metodologi perbandingan serta sejarah turut dimuatkan di dalam kajian ini berasaskan sumber utama iaitu Al-Quran dan Gospels. Seterusnya dapatan dari kajian ini menunjukkan terdapatnya beberapa aspek ketidaksamaan di antara penceritaan tentang Maryam daripada kedua-dua aspek ini. Malah di dalam Gospels khususnya terdapat percanggahan fakta berkaitan Maryam yang telah dipaparkan. Ini menunjukkan kekeliruan telah berlaku di dalam kitab tersebut. Tetapi walaubagaimanapun terdapat juga persamaan di antara dua perspektif tersebut terutamanya bberkaitan Maryam dan bayi yang telah dilahirkan serta keimanan, kepatuhan, serta ketundukan Maryam kepada Tuhan. Seterusnya apa yang dapat dijelaskan juga berdasarkan kajian ini adalah Maryam merupakan simbol wanita yang dipandang mulia oleh kedua-dua perspektif tersebut. Kajian ini mencadangkan supaya kajian lain dapat dijalankan untuk melihat aspek perbezaan atau persamaan lain di dalam kedua-dua perspektif tersebut berhubung dengan Maryam dengan memggunakan instrument yang lain.

KELAHIRAN MARYAM DALAM PERSPEKTIF AL-QUR’ĀN DAN GOSPELS

Di dalam bab pertama ini akan diperlihatkan ayat-ayat daripada Al-Qur’ān dan juga Gospels yang menerangkan ataupun menceritakan berkaitan dengan Maryam ataupun Mary. Maryam adalah merupakan wanita Islam yang amat taat kepada suruhan Allah S.W.T. Dan beliau adalah merupakan seorang wanita suci yang diberikan keistimewaan oleh Allah S.W.T mengatasi wanita lain yang sezaman dengannya.

Keistimewaan dan kelebihan Maryam tidak dapat disangkalkan lagi melalui ayat-ayat yang terdapat di dalam Al-Qur’ān Nul Karīm antaranya yang dapat dilihat melalui Firman Allah S.W.T : ”Dan (ingatlah) Maryam binti cImrān yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami dan dia membenarkan kalimah Rabbnya dan Kitab-Kitab-Nya dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat”.
(Surah At-Tahrim:12)

Gospels pula adalah kitab suci yang utama dipercayai oleh penganut-penganut Kristian. Perkataan Gospels pada asalnya adalah berasal dari dua suku kata iaitu ‘god spel’ juga boleh diertikan sebagai ‘good tidings’ kemudiannya difahami sebagai ‘God-story’. Dalam istilah Greek ‘euangelion’. Di dalam istilah Greek klasik perkataan Gospels itu bermaksud anugerah yang diberikan untuk kedudukan kepada perkhabaran yang baik. Di dalam New Testament perkataan Gospels bermaksud ‘good tidings’ iaitu `lebih merujuk kepada konsep dosa warisan dan datangnya penyelamat untuk menghapuskan dosa tersebut iaitu Jesus Christ (Hastings. J. 1963:340).

“All have sinned and fall short of the lovy of God”

Maksudnya:
“Semua orang berdosa dan tidak mendapat rahmat Tuhan”
(Romans 3:23)

Secara keseluruhannya Gospels adalah sebuah kitab yang telah dibahagikan kepada dua bahagian besar iaitu Old Testament dan New Testemant. Masing-masing terdiri daripada 39 buah kitab dan 27 buah kitab. Seperti Al-Qur’ān juga, kitab Gospels ini turut sama menceritakan kisah-kisah berkaitan Maryam atau pun Mary. Apa yang dapat dilihat juga, penceritaan tentang Maryam di dalam Gospels adalah diceritakan di dalam dua kitabnya yang utama iaitu Luke dan Matthew. Contoh ayat yang menceritakan tentang Maryam:

Kelahiran Yesus Kristus adalah seperti berikut:Pada waktu Maria, ibu-Nya, bertunangan dengan Yusuf, ternyata ia mengandung dari Roh Kudus, sebelum mereka hidup sebagai suami isteri”. (Luke 1:18)

KELAHIRAN MARYAM

Seperti yang telah diketahui Maryam adalah salah seorang wanita yang amat disanjungi di dalam Islam. Penceritaanya amat banyak di dalam surah-surah tertentu di dalam Al-Qur’ān. Selain itu tidak dinafikan juga penceritaannya turut sama diceritakan di dalam Gospels. Dan bagi penganut Kristian mereka turut sama memandang tinggi Maryam atau lebih dikenali sebagai Mary.

MARIAM MENURUT AL-QUR’ĀN

Berdasarkan beberapa surah dari ayat-ayat Al-Qur’ān di atas dapatlah dilihat pelbagai aspek penting serta menarik di dalam penceritaan berkaitan kisah wanita yang bernama Maryam. Kelebihan tersebut adalah amat baik untuk dilihat betapa mulianya Maryam disisi Allah S.W.T apabila beliau dipilih untuk diceritakan kisahnya di dalam mukjizat terbesar Allah S.W.T iaitu Al-Qur’ān Al-Karīm.

Terlebih dahulu secara sepintas lalu penulis ingin membawakan intipati berkaitan biodata bapa dan ibu Maryam seterusnya membawakan tentang kelahiran Maryam. Menurut Muhammad Ibn Ishāq, nama sebenar ‘Imrān adalah ‘Imrān Ibn Bāsham Ibn Amuūn Ibn Mīshā Ibn Huzqiyā Ibn Ahrīd Ibn Yāwash Ibn Ahriūh Ibn Yāzam Ibn Yahfsāhat Ibn Ayshā Ibn Ayynā Ibn Rahba‘ām Ibn Sulaymān Ibn Dāwūd (Abu Al-Fidā’ Al-Hāfiz Ismail Ibn Kathīr 2005:94). ‘Imarān adalah bapa kepada Maryam. Al-Qur’ān sendiri menyebut bahawa ‘Imrān adalah bapa kepada Maryam. Ini berdasarkan Firman Allah :

“Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti ‘Imrān (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat
(Surah At-Tahriīm 28:12).

Sementara isterinya dan juga merupakan ibu kepada Maryam pula adalah bernama Hanah binti Fāqūd (Jabir Āsysyaāl. 1993: 63). Ada juga pendapat yang mengatakan bahwa ibu Maryam tidak diketahui nama sebenarnya dan tidak ada dinyatakan di dalam Al-Qur’ān mahupun Bible. Nama tersebut adalah rekaan semata-mata ( Parrinder. G. 1997: 60)

Abu al-Qāsim ibn ‘Asākir pula menyatakan nama sebenar Maryam adalah Maryam binti ‘Imrān Ibn Māthān Ibn Al-‘Azir Ibn al-Yawad Ibn Akhnara Ibn Sādūq Ibn Ayāzūz Ibn al-Yāqim Ibn Aybūd Ibn Zaryābil Ibn Shālitāl Ibn Yuhaynā Ibn Barshā Ibn Amūn Ibn Mayshā Ibn Hazqā Ibn Ahāz Ibn Mawthām Ibn ‘Uzriyā Ibn Yūrām Ibn Yūshāfāt Ibn Ayshā Ibn Aybā Ibn Rahba‘ām Ibn Sulaymān Ibn Dāwūd A.S.

Pendapat ini adalah berbeza dengan pendapat Muhammad Ibn Ishāq, tetapi walau bagaimanapun ianya sama dari segi salasilah Dāwūd A.S. Bapanya Īmran ialah imam bagi Bani Israel pada zamannya. Ibunya Hannah binti Fāqūd ibn Qubayl. Sementara itu Zakariyya A.S seorang nabi ketika itu. Isterinya Ashyā ialah saudara perempuan kepada Maryam. Ini adalah merupakan pendapat ulama. Ada pendapat lain turut menyatakan ‘Imrān ialah suami kepada ibu saudara Maryam (Abu Al-Fidā’ Al-Hāfiz Ismail Ibn Kathīr 2005:94).

Selain itu Maryam adalah merupakan satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga Imran. Riwayat tentang kelahirannya adalah dapat dilihat di dalam Al-Qur’ān iaitu pada surah Al- ‘Imrān yang membawa erti ‘keluarga ‘Imrān’ (Azyumardi Azra. 2005: 287).

Keturunan Imran iaitu merupakan sebuah keluarga yang suci lagi baik yang mana telah disebut oleh Allah S.W.T sendiri tentang kelebihan keluarga ini yang terdapat di dalam ayat ke 33-34 surah Al-‘Imrān.

Firman Allah S.W.T :

Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga ‘Imrān, melebihi Segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing). (SurahAl- ‘Imrān: 33)

(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) Yang setengahnya berasal dari setengahnya Yang lain. dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa mengetahui. ( Surah Al- ‘Imrān 3: 34).

Ibn Ishāq menyatakan bahawa Hanna memohon agar dikurniakan seorang anak lelaki, dan kemudian ketika hamil, ia bernazar bahawa anaknya akan diserahkan untuk mengabdikan diri pada Tuhan di Bait Allah di Bait Al-Māqdis di Jerussalem.

Dapat diperlihatkan juga bahawasanya ibunya telah lama kepinginkan seorang anak lelaki. Ketikamana perkahwinan antara ‘Imrān dan isterinya sudah beberapa tahun namun mereka masih tidak dikurniakan anak. Sehinggalah kedua-duanya telah menjadi tua. Namun mereka tidak pernah berputus asa. Dalam keadaan sedemikian pun isterinya tetap dan terus memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Doa tersebut telah dimakbulkan dan isterinya telah merasakan tanda kehamilan pada dirinya.

(ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya Aku nazarkan kepadamu anak Yang ada Dalam kandunganku sebagai seorang Yang bebas (dari Segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadamu semata-mata), maka Terimalah nazarku; Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
( Surah Al- ‘Imrān 3: 35).

Ath-Thabarī menambah bahawa Hanna telah mengalami monopos dan tidak dapat memiliki anak. Maka ketika hamil, dia telah bernazar untuk menghantar anaknya sebagai hamba Allah. Kisah tentang kehamilanya dan juga nazarnya diungkapkan oleh beberapa sejarawan dan mufasir Al-Qur’ān seperti berikut: Diceritakan bahawa Hanna mandul. Suatu ketika ia duduk di bawah sepohon pokok dan melihat seekor burung sedang memberi makan anak-anak di sekelilingnya. Maka timbullah saat itu keinginan Hanna untuk memiliki anak (Scheifer. A. 1998:35).

Ada juga yang menyatakan bahawa Hanna telah berdoa “ Ya Allah, aku bernazar jika Engkau mengurniakan seorang anak, aku akan persembahkan dia sebagai hamba-Mu di Bait Al-Māqdis”. Dan ada juga pendapat yang menyatakan, ‘Imrān telah bertanya kepada Hanna apa yang akan dilakukan jika anak itu perempuan, maka Hanna terus bernazar. Tetapi pendapat ini kurang diterima (Scheifer. A. 1998:35).

Oleh kerana terlalu gembira akan kehamilan tersebut maka bakal ibu tersebut telah bernazar untuk menjadikan anak yang bakal dilahirkan kelak akan berkidmat di Baitul Māqdis dan menjadi hamba yang soleh (Azyumardi Azra. 2005: 287-288). Lantas perkhabaran tersebut telah diceritakan kepada suaminya terhadap apa yang telah dialaminya itu. Maka terpancarlah cahaya kegembiraan di mata suaminya diiringi beberapa titis air mata kegembiraan terhadap berita yang tidak disangka-sangka itu.

Tetapi qāda’ dan qādar adalah ketentuan Allah S.W.T dan setiap yang hidup pasti akan kembali kepadaNya. Di dalam kegembiraan yang penuh nikmat, seakan-akan berada di dalam mimpi, di dalam menunggu-nunggu kehadiran seorang insan yang amat dinanti setelah sekian lama, tiba-tiba segala kegembiraan tersebut bertukar kepada kesedihan. Ini adalah kerana ‘Imrān suami tercinta itu telah kembali kerahmatullah ( Bey Arifin. 1979: 3)

Maka tiggallah isterinya seorang diri yang diselubungi perasaan sedih dan pilu atas kewafatan suami yang tercinta. Di dalam perasaan sedih becampur gembira menanti kelahiran beliau telah merasa saat untuk beliau melahirkan telah hampir tiba. Akhirnya beliau pun melahirkan seorang bayi perempuan bukan bayi lelaki seperti yang diharap-harapkan, untuk dihantar ke tempat suci di Baitul Māqdis sepertimana nazarnya. Walaupun di dalam keadaan yang agak begitu tidak menggembirakan beliau telah memberikan nama kepada anak iaitu Maryam (Maria) yang membawa maksud pengabdi tuhan (Bey Arifin. 1979: 3-4). Hanna berdoa agar anaknya sentiasa dilindungi, dipelihara oleh tuhan zuriat serta keturunananya dari segala godaan syaitan. Perkara ini dapat dirujuk seperti mana ayat berikut:

maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang Yang Aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa Yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki Dengan anak perempuan; dan bahawasanya Aku telah menamakannya Maryam, dan Aku melindungi Dia Dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan Syaitan Yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”. (Surah Al-I’mran 3: 36).

Doa tersebut telah di makbulkan oleh Allah S.W.T . Seperti mana riwayat Imam Ahmad dari sebuah Hadith bahawa ‘Abd al- Razzāq telah menceritakan kepada kami, Ma’mar telah menceritakan kepada kami daripada Al-Zuhriy daripada Ibn Al-Musayyab daripada Abū Hurayrah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “setiap anak Adam yang baru lahir, disentuh oleh syaitan ketika lahirnya itu, lalu dia menangis kerananya kecuali Maryam dan anaknya” ( Abu Al-Fidā ’ Al-Hāfiz Ismail Ibn Kathīr 2005: 95).

Seperti yang telah dijelaskan diatas bahawa bahawa ibu Maryam telah menazarkan Maryam untuk di hantar ke tempat suci. Beliau amat khuatir sekiranya nazar itu tidak dapat dilaksanakan. Beliau amat sedih dan berasa amat gelisah. Tetapi apakan daya, selain bermohon ke hadirat Allah, maka belaiu telah diberi petunjuk oleh Allah S.W.T untuk meneruskan nazarnya itu.

Para mufasir mencatatkan bahawa nama Maryam, yang diberikan Hanna kepada bayinya adalah membawa maksud “orang yang menyembah” iaitu maksud di dalam bahasa Aramaic ketika itu. Jadi itu merupakan interpritasi kepada niat Hanna untuk membayar nazarnya dan menunjukkan masa depan kehidupan Maryam (Scheifer. A. 1998:38) .

Hanna telah meneruskan nazarnya itu atas dua alasan. Pertama bagi memenuhi niat nazarnya untuk mengabdikan Maryam di tempat itu. Kedua mendapatkan perwalian yang tepat bagi anaknya yang telah kehilangan ayahnya dan mendapatkan status khusus iaitu menjadikan satu-satunya anak perempuan Bani Israel yang menjadi pelayan di Baitul Māqdis (Scheifer. A. 1998:38-39) .

Dalam diam-diam pada suatu malam, anak itu dibungkus dengan kain lantas dibawanya ke Baitul Māqdis menuju ke tempat suci. Lantas diserahkan bayi itu kepada pendita-pendita yang berada di situ lalu beliau berkata “ anak perempuan ini saya serahkan kepada tuan-tuan kerana saya sudah bernazar untuk menyerahkan anakku ini semata-mata untuk menjadi pengabdi tempat suci”. Anak itu ditinggalkan disitu dan dia kembali pulang ke kampungnya. Masing-masing ingin memelihara bayi itu kerana Maryam adalah anak kepada I’mran yang amat terkenal dan soleh.

Setelah itu Maryam pun berada di tengah orang-orang suci di rumah suci Baitul Māqdis. Mereka semua ingin sekali mengasuh dan ingin menjaga Maryam dengan pelbagai alasan yang diberikan. Sebaliknya yang paling kuat alasannya adalah seorang tua bernama Zakaria (Nabi Zakaria). Ini kerana isteri Zakaria adalah bersaudara dengan ibu Maryam. Sehubungan itu Maryam telah dijaga oleh Zakaria berdasarkan undian.

Setiap orang daripada pendita-pendita tersebut melemparkan qalām (pen) yang mempunyai pengenalan masing-masing. Kemudian mereka membawanya dan meletakkan pada satu tempat. Mereka meminta seorang budak yang masih kecil mencabut salah satu daripada qalām tersebut. Ternyata ia adalah kepunyaan Nabi Zakariya A.S. Meraka tidak berpuas hati dan meminta undian dijalankan sekali lagi. Undian itu dijalankan dengan melemparkan qalām mereka ke dalam sungai pula. Kemudian qalam siapa yang melawan arus air, dialah yang memenangi undian itu. Lalu mereka semua melemparkannya dan dengan kuasa Allah S.W.T qalām Nabi Zakariya A.S kelihatan melawan arus air sedangkan qalam orang lain dibawa arus air. Tetapi mereka tetap tidak berpuas hati lalu meminta undian dijalankan sekali lagi untuk kali yang ketiga seperti tadi. Walau bagaimanapun qalam Nabi Zakariya tetap melawan arus dan beliau telah memenangi undian tersebut (Abu Al-Fidā ’ Al-Hāfiz Ismail Ibn Kathīr 2005: 94).

Sebelum diputuskan Zakaria yang berhak menjaga bayi itu, para rabbi telah bermesyuarat tentang siapakah yang berhak menjaga Maryam. Lantas Zakaria menjawab bahawa dialah orang yang berhak kerana beliau adalah pakciknya. Menurut ‘Ikrīma, as-Suddī, Qatādah dan Ar-Rabī’ bin Anas, keputusan tentang perwalian ini diambil di sebuah sungai yang bernama Yordan. Sebanyak 27 pen (aq-lām) dilemparkan, dan kesemuanya tenggelam atau telah dibawa arus sungai, kecuali pen yang dimiliki oleh Zakariya yang tidak dibawa arus. Ini merupakan tanda yang jelas dari Tuhan bahawa beliaulah yang paling berhak untuk menjadi wali kepada Maryam (Scheifer. A. 1998:39-40).

Maryam telah dipelihara oleh Zakaria bersama isterinya dengan penuh kasih sayang setelah mereka mengundi dengan pendita-pendita yang lain siapakah yang layak memelihara Maryam. Firman Allah S.W.T bermaksud:

peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), sedang Engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. dan Engkau juga (Wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam). (SurahAl-‘Imrān 3:44).

Setelah peristiwa tersebut maka Zakariyalah yang memelihara Maryam Sehinggalah beliau dewasa, Zakaria telah membina sebuah kamar khusus untuknya sebagai tempat untuk beribadat kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T bermaksud:

maka ia (Maryam Yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya Dengan penerimaan Yang baik, dan dibesarkannya Dengan didikan Yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan Yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana Engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa Yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”. (Surah Al-‘Imrān 3:37).

Sepertimana yang pernah dituturkan oleh Wadhdhāh al-Yaman di dalam puisinya:“ Putri mihrab, jika aku mendatanginya aku tidak dapat melihatnya kecuali aku naik tangga”. Manakala menurut pendapat ulama Zakariya akan masuk sendiri ke tempat ibadat Maryam itu dan akan menguncinya dengan tujuh pintu dari dalam (Scheifer. A. 1998: 40-41).

Ayat -ayat tersebut telah memperlihatkan keistimewaan Maryam sejak dari awal pengkisahannya lagi. Ibunya walaupun sudah tua tetapi dengan kekuasaan Allah S.W.T maka beliau tetap mengandungkan Maryam.

Seterusnya dapat diperhatikan juga bahawa Maryam adalah bukan sebarangan wanita dan merupakan keturunan yang mulia. Ini dapat dilihat apabila nama bapanya iaitu ‘Imrān telah disebut di dalam Al-Qur’ān.

Tahun demi tahun berlalu, dan suatu ketika datanglah musim kemarau telah menimpa Bani Israel. Makanan serta minuman amat susah untuk diperolehi. Ramailah penduduk yang kelaparan. Suatu hari, telah keluarlah Zakaria menemui kaumnya dan berseru: “ Hai Bani Israel, ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku sudah tua dan lemah untuk menanggung anak perempuan Imran. Maka, siapakah di antara kamu yang bersedia memelihara Maryam setelah sepeninggalan ku, mencukupi baginya untuk diberikan makanan dan minuman sehingga dia dapat menyelesaikan ibadatnya kepada Allah sebagaimana nazar ibunya?”. Orang-orang yang hadir di situ bertanya-tanya siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Bagi memutuskan perkara tersebut maka mereka pun akhirnya bersetuju untuk mengadakan undian. Akhirnya berdasarkan pengundian yang mereka jalankan maka ianya telah jatuh atas seorang yang soleh, iaitu sepupu Maryam sendiri iaitu seorang tukang kayu iaitu Yusuf. Maka Yusuf telah menerima keputusan tersebut dengan rela dan hati yang terbuka (Jabir Asy-Syal. 1994:69).

KEMATIAN MARYAM

Sesungguhnya setiap yang hidup pastinya akan mati mengadap yang Maha Esa. Begitulah juga dengan wanita soleh yang bernama Maryam. Walaupun hanya sedikit sahaja maklumat yang diketahui tentang kehidupanya, tetapi Thabarī telah mengumpulkan catatannya juga dari sumber Kristian bahawa Maryam hidup setelah enam tahun Nabi Isa membesar. Dicatatakan juga Maryam telah pulang ke ramatullah pada usia lima puluh tahun atau lebih sedikit. Tetapi walaubagaimana pun pendapat daripada Baidawi menyatakan bahawa Maryam masih hidup dan tekun beribadat sehingga Nabi Isa diangkat ke langit oleh Allah. Rentetan hidupnya ini telah dicatatkan di dalam catatan sejarah berkaitan diangkatnya Nabi Isa ke langit (Scheifer. A. 1998:67).

Menurut Suyūthī , Maryam telah dimakamkan di sebuah gereja terkenal, iaitu di Jasmaniyyah (Gethsemane) di timur Jarussalem berhampiran kaki gunung Az-Zaitūn. Ibn ‘Asākir pula menjelaskan makam Maryam terletak di Damaskus. Ini adalah adalah berdasarkan kata-katanya “ barang siapa ingin melihat makam Maryam binti ‘Imrān dan murid-murid Nabi Isa, datanglah ke makam Al-Farādīs (Al-Dahdāh), dan inilah makam Damaskus” (Scheifer. A. 1998:70).

Sesungguhnya Maryam adalah diantara orang yang akan dijamin masuk ke syurga oleh Allah. Ini dapat dibuktikan juga melalui sabda Nabi S.A.W “ Jika aku harus bersumpah, aku akan bersumpah bahawa tiada seorang pun boleh masuk surga sebelum seluruh umatku yang paling awal kecuali beberapa (bidh ‘at ‘asyar) yakni sebelas sampai sembilan belas orang, diantaranya Ibrahim, Ismail, Ishāq, Ya’qub, Al-Asbāth, Musa, Isa, Maryam putri ‘Imrān ”.

Al-Qur’ān juga turut menceritakan perihal kematian Maryam belalui Firman Allah S.W.T :

Maksudnya: “Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih ‘Isā Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi ‘Isā). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi ‘Isā , sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi ‘Isā kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
(Surah An- Nisa’ 4:157-58)

Oleh yang demikian ternyatalah kelahiran Maryam adalah satu rahmat dari Allah S.W.T. Kelahirannya juga menurut Al-Qur’ān memperlihatkan kekuasaan Allah S.W.T yang mampu memberikan apa sahaja yang Dia mahukan. Kelahiran Maryam juga adalah menjadi khabar gembira kepada ibunya yang amat kepinginkan seorang cahaya mata. Kelahirannya juga memperlihatkan betapa kuatnya keimanan ibunya yang sanggup memberikan anaknya itu untuk menjadi ahli ibadat pada ketika itu. Memperlihatkan doa serta harapannya kepada Allah yang tidak pernah kunjung padam untuk memperolehi cahaya mata.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s