Faham Islam ikut manhaj



Masa zaman saya belajar dahulu ada ustaz bagi tahu pesanan ulamak, “ jangan ambil agama dari mulut khutaba’ / penceramah ”. Apabila saya perhatikan kecelaruan pemikiran umat Islam zaman ini saya rasa pesanan tersebut sangat munasabah. Sebab penceramah sering membuat nukilan tanpa kepastian, tidak tepat dari segi pemakaian dalil, terpengaruh dengan unsur-unsur sentimen yang menjadikan ia tidak objektif dalam menyampaikan ilmu.

Itu mungkin suasana zaman dahulu. Sekarang zaman revolusi maklumat. Kecanggihan media informasi telah membantu melancarkan proses serangan pemikiran. Sumber maklumat yang tidak tertapis ini telah melahirkan manusia yang memiliki pemikiran yang bercampur baur. Ilmu tanpa disiplin, ulamak tanpa warak dan takut………… tidak tahu bagaimana saya boleh sifatkan. Lahirlah golongan manusia jahil yang sangat tahu, lebai lidahnya tetapi hatinya penuh penyakit.

Sebab itu saya sangat percaya kepada tarbiah. Tarbiah berasaskan manhaj fikri (pemikiran) yang muktabar dan murabbi yang alim tentang tabiat nafsu manusia. Murabbi yang mahir dapat membantu seseorang mutarabbi menangkis fahaman-fahaman yang asing dan mendidik nafsunya dengan sifat khasyah (takut) yang menjadikan dia amanah dan berhati-hati. Saya akui ia bukanlah satu perkara yang senang, tetapi saddu wa qaribu (usahakan……..)

Memiliki manhaj pemikiran yang jelas dan muktabar sangat penting di zaman ini. Dengan itu ia dapat memastikan ahli-ahlinya memiliki fahaman yang disahkan betul dari sumber yang dimuktamad. Tanpa manhaj pemikiran yang tertentu, sedang sumber maklumat yang bersimpang siur dan berkecamuk menyebabkan pemikiran organisasi tidak keruan dan bercampur baur.

Dengan pemikiran yang bercampur baur ini, bagaimana organisasi boleh merealisasikan cita-citanya seperti yang digariskan pada awalnya?

Hari ini orang tidak dapat bezakan antara konsep kesejagatan Islam dengan nilai universal barat yang berasakan humanisme. Ia seakan-akan sama pada hal perbezaannya sangat besar. Kesejagatan Islam tidak menghapuskan identiti dan intimaat. Namun kita atas nama Islam menyeru kepada penghapusan identiti bangsa kita. Kita kata, kita orang Islam tak ada Melayu, tak ada Cina dan tak ada India…kita sebenarnya bercakap Islam mengikut fahaman humanisme yang menghapuskan identiti dan intimaat.

Islam ketika datang kepada Arab tidak menghapuskan identiti bangsa Arab, ketika datang ke Turki, tidak hapuskan identiti bangsa Turki, ketika datang ke tanah Melayu, tidak hapuskan identiti Bangsa Melayu dan begitulah di India dan di China. Islam memurnikan budaya setiap bangsa supaya selari dengan hukum Islam dan tidak lebih dari itu.

Humanisme Barat menghapuskan Identiti dan segala intimaat supaya dengan itu mudah mereka menguasai kita. Bila kita sudah menjadi manusia yang tidak ada bangsa, tiada agama, tiada keluarga, seperti yang dikehendaki oleh barat, intima’ kita hanyalah kepada benda dan duit. Manusia bersatu atas satu intima’ sahaja iaitu duit. Tiada lagi perjuangan dan tiada lagi penentangan, kerana manusia yang tiada identiti tidak ada perjuangan lagi bagi mereka.

Saya teringat bagaiamana Syalabi membawa kebebasan kepada Iraq menaiki kereta kebal Amerika. Hari ini Iraq menjadi mayat yang tidak bermaya.

Menang sorak kampung tergadai

Fikrah yang betul (al fahmu al amiq) adalah bekalan yang paling ampuh untuk mengharungi arus perjuangan yang serba ganas dan tidak menentu hala. Fikrah yang betul memberikan seseorang gambaran yang menyeluruh terhadap perjuangannya, pandangan strategik atau pemikiran maqasidi. Ia tidak terjebak dengan persengketaan sampingan sehingga mengorbankan matlamatnya yang terakhir.

Allah s.w.t mahu kita menjadi umat yang mulia dan teratas, umat yang kuat, digeruni, memimpin dan dihormati. Tetapi kita sebaliknya, berhabisan dan bersengketa, menghabiskan segala keupayaan dan potensi, akhirnya apa yang kita dapat? Yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang. Orang kafir juga yang bersorak kemenangan. Kita menang sorak kampung tergadai.

Kita harus sentiasa merenung dan bertanya…sudahnya nanti Islam akan duduk ‘tang mane dan umat Islam jadi lagu mane?’ Lagi mulia ke lagi hina?

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Faham Islam ikut manhaj

  1. zainal berkata:

    kena mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah. Manhaj yang sangat memahami tentang Sunnah Allah, Sunnah Rasullullah dan Alquraan serta Jamaah para sahabat.

  2. Jamaludin bin Nawi berkata:

    Saya mencari salah silah keturunan Sunan Kalijogo/Sunan Muria sehingga ke Diponegoro.

Tinggalkan komen