
Maka segala amal dan segala Hal itu hanya sanya yang menetapkan (meneguhkan) dia di dalam hati oleh wujud Zikir pada Hati dan Lisan. Dan kesempurnaannya (zikir) itu ialah dengan Hudur (hadir hati) dalamnya (zikir). Dan jangan ditinggalkan kerana ketiadaan Hudur tetapi sebut oleh mu akan Tuhan mu atas tiap-tiap hal seperti yang dikata oleh Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) dalam kalam hikmahnya;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana ketiadaan Hudur mu serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada tidak berzikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada kelalaianmu dalam berzikir.
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana ketiadaan Hudur mu serta Allah di dalamnya (zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada ketiadaan wujud zikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada lalaimu dalam wujud zikir akan Dia. (Ini adalah kerana) kerana bahawasanya lalai daripada zikir itu menjauhkan daripada Allah Taala dan berpaling pada KulliahNya (semua halmu kepada Allah) dan lalai dalam zikir itu Hudur pada Juziyyahnya (sesetengah masa atau waktu) dan kerana bahawasanya dalam zikirnya itu menghiasi anggotanya dengan ibadat dan lalai itu menghilangkan akan dia (anggota daripada berbuat ibadat)
Keterangan Suluk (Zikir secara umum)
Menurut guru suluk, Zikir secara umumnya ialah apa sahaja amalan dan perbuatan zhohir dan batin yang membawa seseorang itu kepada mengingati Allah. Amal ibadat dan perbuatan sama ada yang zhohir atau batin yang berlandaskan hukum syarak yang dikerjakan dengan tujuan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhoan Allah dikatakan ianya sebagai zikir. Ini adalah kerana zikir itu terbahagi kepada kepada beberapa bahagian dan martabat seperti Zikir Anggota, Zikir Lisan, Zikir Qalbi dan Zikir Sir serta Zikir yang tenggelam dalam Mazkurnya yang akan dinyatakan oleh Tok Pulau Manis melalui keterangan selanjutnya nanti.
Melalui kalam hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas, seseorang hamba itu dianjurkan supaya sentiasa berzikir dan terus berzikir walaupun hatinya lalai daripada mengingati Allah atau tidak hadir pada hati akan makna-makna dan rahsia zikir(Hudur) semasa melaksanakannya. Inilah adalah kerana perbuatan/amalan berzikir ini walaupun dikerjakan dalam keadaan lalai, ianya sudah dianggap sebagai satu ibadat atau amal kebaikan jika dibandingkan dengan hal-ahwal seorang yang langsung tidak berzikir di mana secara terang dan nyata menunjukkan penderhakaan dan kejahatannya terhadap Allah. Orang yang langsung tidak berzikir adalah mereka yang jauh dari Allah dan kejahatan mereka itu menjauhkan lagi dari Allah kerana dengan kesombongan mereka itu menyebabkan mereka berpaling dari hal-ahwal atau tindak-tanduk kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada TuhanNya.
Berbeza dengan orang yang sentiasa mengerjakan ibadat seperti sholat, puasa, di samping berzikir serta lain-lainnya; walaupun mereka lalai sewaktu mengerjakannya, sekurang-kurangnya ada juga pada waktu atau ketika/saat-saat yang tertentu akan hudur hati mereka dengan Allah atau setidak-tidaknya terhias zhohir anggota dan perbuatannya dengan amal-ibadat yang dituntut oleh syarak. Bukankah boleh dikatakan satu kebaikan pada orang bersholat atau berpuasa berbanding dengan mereka yang langsung tidak sembahyang dan berpuasa?. Demikain juga lidah yang sentiasa basah dengan zikir walaupun hatinya lalai itu terlebih baik dan mulia daripada lidah yang kosong hampa dengan kalimah-kalimah yang suci itu.
Dari kerana inilah, Tok Pulau Manis meneruskan lagi keterangannya yang seterusnya seperti berikut;
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata Wasthi r.a.;
Bermula lalai daripada menyebutnya(zikir) itu terlebih sangat (jahat) daripada lalai dalam zikirnya.
Dan dikata orang bagi Abi Osman An-Nahdi r.a.;
Kami zikir akan Allah dan tiada kami dapat akan manis dan Hudur.
Maka katanya (Abi Osman);
Puji jua oleh kamu akan Allah atas(kerana) menghiasi anggota daripada segala anggota kamu dengan taatnya.
Dan kata setengah mereka itu (kaum sufiah);
Syukurlah engkau akan Allah atas barang yang dikurniakanNya daripada Zikir Lisan dan jikalau melakukan (lidah) kepada tempat mengumpat-ngumpat nescaya tiada ada engkau berbuat dia (zikir). Dan Allah Taala terlebih memuliakan daripada bahawa diHudurkannya hambanya dengan lisannya (walaupun) tiada mengurniai atasnya dengan Hudur hatinya. Dan sebut olehmu dengan lisanmu dan bersungguh-sungguh dirimu dalam Hudur hatimu.
Keterangan Suluk (Tingkatan Pertama; Zikir Lisan)
Ketiga-tiga petikan yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis di atas seakan ingin menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya seorang hamba itu membasahi lisannya dengan berzikir. Terlebih-lebih lagi bagi orang-orang Salik yang ingin berjalan kepada TuhanNya, tuntutan untuk melakukan Zikir ini adalah sangat-sangat ditekankan sebagai senjata dan alat pencuci jiwa semasa dan sepanjang perjalanannya menuju kehampiran. Walaupun lalai atau merasa pahit dan berat untuk berzikir, mereka digalakkan juga untuk mengistiqamahkan Zikir Lisan ini mengikut awarid dan bilangan-bilangan tertentu.
Pandangan di atas juga menegaskan agar para Salik sentiasa bersyukur dengan anugerah dan Kurnia Allah yang sedikit dimana Allah menghiasi anggota zhohir mereka dengan amal taat dan patuh kepada Allah. Lidah yang digunakan untuk berzikir sekurang-kurangnya dapat mengelakkannya daripada mengumpat-umpat dan mengeji orang lain atau ucapan yang sia-sia atau lagho. Inilah wajah-wajah kemuliaan yang dikurniakan Allah kepada mereka yang berzikir walaupun hatinya lalai. Kemampuan untuk berzikir secara lisan tanpa hudur hati ini hendaklah disyukuri agar nanti mendapat kurnia dan anugerah Allah yang lebih lagi sebagaimana firman Allah yang bermaksud; “Dan sekiranya kamu bersyukur, nescaya kami(Allah) akan tambah lagi”.
Dengan kemuliaan kurnia Allah yang sedikit dan kelebihan yang ada pada orang yang bersyukur inilah, maka Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) mendatangkan kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana berikut;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau daripada Zikir(lisan) serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau daripada Zikir serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga(Yaqozhoh) dengan LathifNya dan InayahNya kerana bahawasanya jaga itu ingat hati daripada mengantuk ghoflah dan tidur juhalah kepada Hadirat Al-Wafah(sempurna sebagai seorang hamba) dan Adab Al-Khidmat. Dia sanalah berpindah ia daripada zikir lisan daripada zikir qalbi yang Hudur daripada melazimkan dia (zikir lisan).
Keterangan Suluk (Tingkatan Kedua; Zikir Qalbi)
Apabila seorang hamba/Salik mengistiqamahkan dan sentiasa bersyukur dengan Zikir Lisan mereka, Insya Allah…. Allah Yang Maha Lemah Lembut dengan pertolongan dan limpah kurniaNya akan mengangkatkan martabat Zikir Lisan mereka kepada Zikir Yaqzhoh.
Dengan Zikir Yaqzhoh ini, hati hamba yang sebelum ini lalai atau ghoflah dengan gangguan-gangguan keduniaan akan terjaga dan tersedar untuk mula melihat kepada hakikat Zikir Lisan serta segala suatu yang lain. Mata hati yang sebelum ini tertutup sewaktu berzikir akan terbuka untuk memandang Keesaan dan Keagungan Allah. Zikir-zikir lisan yang diucapkan akan terlancar dan bergerak selari dengan gerakan hati di samping dapat merasai makna-makna dan rahsia zikir mengikut kadar yang dikurniakan Allah.
Hati yang sebelum ini, buta dan jahil dengan hakikat dan makrifat mula mengenali dan memahami makna-makna di Alam Malakut yang terpancar pada zhohir sesuatu. Mereka dapat melihat akan hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu yang zhohir yang mendatangi mereka. Hiduplah hati atau jiwa mereka menuju ke Hadirat Al-Wafah yang akan menyempurnakan kebersihan hati untuk layak dipanggil sebagai seorang hamba dengan tahu melaksanakan adab-adab kehambaan dan adab-adab Ketuhanan dengan pelbagai hal-ahwal hati yang merujuk kepada kepatuhan dan ketundukkan yang penuh dengan kesedaran batin.
Dengan sebab inilah Zikir serta jaga ini dinamakan juga sebagai Zikir Qalbi kerana hidup hati itu dengan mengingati dan memandang Allah pada setiap kali memandang “ghair” atau sesuatu yang zhohir; sedar dan terjaga hati itu untuk mengenal dan memahami akan hakikat bagi segala sesuatu. Dengan Zikir Qalbi inilah, bermulalah satu perjalanan hati untuk meneroka dan memasuki alam-alam batin atau alam-alam rahsia atau Alam Ketuhanan Yang Maha Tinggi.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga (Zikir Yaqozhoh) kepada zikir serta wujud Hudur serta Allah (Zikir Sir).
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga pada zikir serta oleh Hudur serta Allah. Dan adalah Hudur kepada mereka itu iaitu Hudur dengan Haq Taala tatkala ghaibnya daripada sekelian pancaindera dan daripada memandang agyar. Dan dalam Maqam ini berpindah ia daripada Zikir Qalbi kepada Zikir Sir. Zikir Sir itu ghaib ia daripada barang yang lain daripada Mazkor.
Keterangan Suluk (Tingkatan Ketiga; Zikir Sir)
Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan kasih-sayangNya Yang Maha Tinggi, Allah mengangkatkan Maqam Zikir Qalbi seorang hamba pilihanNya kepada tingkat yang seterusnya iaitu Zikir Sir. Zikir Sir ini sebagaimana keterangan Tok Pulau Manis di atas merupakan Zikir yang telah datang kehadiran hati serta Allah. Dan Zikir ini juga merujuk kepada kehadiran Rahsia diri yang terpendam sebelum ini. Hidup Sirnya dengan TuhanNya di mana seluruh ingatan, seluruh pandangan(syuhud) dan seluruh “rasa” tertumpu kepada Yang Haq. Ingat dengan Yang Haq; Syuhud kepada Yang Haq dan “merasa” dengan Yang Haq. Dengan kata lain, seluruh anggota badan yang zhohir dan batin sentiasa dalam keadaan Zikir
Inilah adalah kerana, jiwa atau hati hamba telah hapus atau hilang atau qhaib daripada pengaruh pancaindera dan memandang kepada Agyar pada pihak tidak diiktibarkan apa yang dilihat, apa yang didengar, apa yang dirasa, apa yang diucapkan; malah setiap hal-ahwal zhohir mereka adalah merupakan Zikir kerana mereka tidak melihat sesuatu itu melainkan dilihatNya Allah dan tidaklah mereka dilakukan sesuatu perbuatan atau amalan melainkan dengan “perintah” yang datang dari Allah.
Sungguhpun demikiannya hal keadaan hati yang sentiasa ingat akan kehadiran Allah dalam tiap-tiap sesuatu itu berzikir dan berzikir dengan Sirnya, namun ianya belum sampai kepada puncak kesempurnaannya yang Hakiki. Hati ini masih melihat dan memandang kepada dirinya sendiri, hati ini masih terpesona dengan keajaiban rahsia dirinya di mana hal ini menunjukkan bahawa masih ada lagi wujud yang lain iaitu dirinya. Ini merupakan satu kecacatan pada Tauhid yang menjadi intipati dan rahsia Zikir itu.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur (Zikir Sir) kepada Zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkor
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur kepada zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkor ia hingga masuklah orang yang zikir itu ke dalam MazkorNya dan ghaib Sirnya takala ZuhurNya (nyata Allah). Maka adalah ghaib zikirnya dengan zikirnya.
………….BACA SAMBUNGAN BERIKUTNYA DI RUANGAN KOMENTAR INTRI INI DI BAWAH





…SAMBUNGAN DARIPADA INTRI DI ATAS
Dan kerana inilah diisyaratkan Muallif dengan katanya;
Dan daripada Zikir serta Hudur kepada Zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkur(TuhanNya yakni Allah) hingga masuklah orang yang Zikir Allah ke dalam MazkurNya dan ghaib Sirnya tatkala ZhuhurNya(Nyata Allah). Maka adalah ghaib Zikirnya dengan Zikirnya.
Keterangan Suluk (Tingkatan Zikir Keempat/Maqam Kesempurnaan)
Setelah melalui hal-ahwal atau Maqam Zikir serta Hudur atau disebut juga sebagai “Zikir Sir”, seorang hamba dengan limpah kurnia Allah akan diipndahkan pula kepada Zikir Yang Ghaib dalam MazkurNya atau disebutkan juga sebagai “Ghaib Zikirnya dalam Zikir” atau “Zikir dengan Mazkur” pada pihak hilang atau ghaib diri/hati yang berzikir dalam Hakikat Zikir iaitu Allah. Maqam ini adalah merupakan puncak atau tingkat tertinggi bagi mereka yang seakan mabuk dengan TuhanNya Yang Ampunya Zikir. Keadaan ini digelar juga Fana dalam Fana di mana hilang segala rusum dan isyarat. Apa yang wujud ialah Wujud Yang Hakiki yakni Allah semata-mata.
Dari keterangan dan perbincangan seperti yang telah disentuh sebelum ini, sekiranya kita dapat menangkapi kefahamannya, jelaslah bahawa bagi setiap tingkat Zikir itu menunjukkan hal-ahwal hati/diri atau yang menyatakan Maqam kedudukan hamba dengan TuhanNya. Sebagai merumuskannya, Tok Pulau Manis mendatangkan keterangannya yang seterusnya sebagaimana berikut;
Keterangan oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)
Dan pada ketika itu
* dalam Zikir Lisan itu Maqam orang orang yang ahli Ghoflah daripada segala orang awam.
* Dan Maqam Zikir Lisan dengan jaga Qalbi itu Maqam orang yang Ahli Suluk.
* Dan Maqam Zikir Dalam Hadirat Mazkur itu Maqam Al-Khowas
* Dan Maqam Al-Ghaib Dalam Mazkur dari pada Zikir itu Maqam Khowasul-Khowas, orang yang alhi Fana ‘An Fana.
Maka adalah sentiasa Zikir itu atas kata “Laa ilahaillaLlah” serta ikhlas itu sebab bagi menjagakan anggota daripada wujud ghoflah serta Zikir.
Dan Zikir “Allah.. Allah” itu sebab bagi mengeluarkan engkau daripada jaga dalam Zikir kepada wujud Hudur serta Mazkur.
Dan Zikir “Hu Hu” itu sebab bagi mengeluarkan engkau daripada tiap-tiap barang yang lain daripada Mazkur.
Dan kata setengah mereka itu (Kaum Sufiah);
* bermula yang membukakan Qalbu itu (ialah) kata “Laa ilahaillaLlah”;
* dan yang membukakan Ruh itu (ialah) “Allah..Allah”
* dan yang membukakan Sir itu ialah “Hu Hu”.
* Dan “Laa ilahaillaLlah” itu makanan Qalbu dan
* “Allah..Allah” itu makanan Ruh dan
* “Hu Hu” itu makanan Sir.
Keterangan Suluk
Keterangan Tok Pulau Manis di atas menunjukkan kepada akan Maqam orang-orang yang berzikir serta lafaz-lafaz Zikir mengikut tingkatan kedudukan mereka di samping menyatakan tujuan-tujuan lafaz zikir tersebut mengikut peringkat-peringkatnya.
Apa hal pun guru suluk memberi peringatan bahawa, tidaklah patut bagi mereka yang berada pada maqam-maqam yang terkebawah mengamalkan zikir-zikir Maqam yang di atasnya. Umpama seorang awam yang ahli ghoflah…kerana terlalu ingin cepat sampai kepada Maqam tertinggi meninggalkan Zikir Lisan dan terus berzikir dengan Zikir Sir iaitu “Hu Hu”. Bandingannya seperti seorang yang memakai pakaian orang lain yang tidak sepadan/sepatutnya dengan saiz tubuhnya. Baju atau jubah yang saiznya besar jika dipakaikan pada tubuh yang kecil, maka akan tampaklah kejanggalannya. Bukankah ini satu amalan atau usaha perbuatan yang menunjukkan “kurang berakalnya” si pemakai. Menunjukkan amalan atas dorongan nafsu semata-mata dan biasanya ia tak akan bertahan lama(tidak istiqamah).
Apa yang perlu dan patut dilakukan ialah tetap pada halnya atau maqamnya dan melaksanakan hak dan adab-adab hal atau maqam tersebut di mana mereka menetap/duduk sehinggalah mereka diperintahkan untuk berpindah kepada maqam-maqam yang lain. Inilah sebahagian kecil daripada adab-adab bagi mereka yang berzikir.
Keterangan oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)
Dan kata setengah mereka itu (Kaum Sufiah); bermula segala orang yang Zikir itu atas lima martabat.
* Pertama – Yang dizikir dengan lisan tiada dengan Qalbi.
* Kedua – Yang dizikir dengan Qalbi tiada dengan Lisan.
* Ketiga – Yang zikir
dengan Aqal.
* Keempat – Yang zikir dengan Sir
* Kelima – Yang Zikir dengan Mazkur.
Keterangan Suluk
Pandangan dari setengah kaum sufiah di atas memperihalkan martabat-martabat Zikir dengan pecahan yang lebih detail lagi. Ada terselit satu martabat yang tidak disentuh lagi oleh keterangan Tok Pulau sebelum ini iaitu pada Martabat Kedua – Zikir Qalbi tiada dengan Lisan.
Menurut keterangan guru suluk, sesiapapun boleh mengamalkan dan mendawamkan Qalbi ini yang khofi/tersembunyi ini. Itu pun jika setelah mereka sentiasa melaksanakan Zikir Lisan pada Martabat yang pertama. Ini adalah kerana, zikir ini sesuai sekali untuk melatih hati supaya sentiasa ingatkan Allah di samping dapat mengelakkan sifat Riya.serta dapat menjinakkan hati supaya Hudur Hati sewaktu melaksanakan Zikir Lisan.
Demikian juga dengan Zikir dengan Aqal pada martabat ketiga. Ianya amat dituntut sekali pada seorang hamba supaya melaksanakannya. Zikir Aqal bermaksud ialah menggunakan aqal kita untuk berfikir kepada perkara-perkara yang boleh menambahkan amal perbuatan, mendekatkan diri dengan Allah, membesarkan kejadian Allah yang dilihat, memikirkan keaiban dan kejahatan diri/amalan kita serta apa sahaja yang boleh membawa kesedaran kita untuk mengingati Allah. Di lain-lain tempat Zikir serta Aqal ini dikatakan sebagai Tafakur. Kiranya anda seorang yang mengetahui, sesungguhnya di sebalik Tafakur ini, tersimpan salah satu khazanah rahsia orang-orang Sufi yang menghimpunkan kedudukan Ilmu dan hal-ahwal mereka.
Berkaitan dengan “Zikir Sir” dan “Zikir dengan Mazkur” ianya adalah suatu hal yang merujuk kepada sifat hati yang hidup dengan limpahan Cahaya Ketuhanan; yang bebas tanpa kawalan pancaindera; tanpa usaha dan ikhtiarnya; yang hidup zikir itu dengan sendirinya sebagai satu anugerah kurnia dari Allah bagi hamba-hamba pilihannya. Semuanya ini adalah tidak sukar bagi Allah seperti mana keterangan Tok Pulau Manis yang berikutnya.
Keterangan oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)
Firman Allah yang bermaksud; “Dan tiada yang demikian itu atas Allah Taala sukar” dengan KuatNya dan KuasaNya yang tiada terhenti pekerjaanNya atas sesuatu kerana Ia jua
* Yang Ghoni(Memiliki Kekayaan) lagi Karim(Pemurah);
* Yang Menganugerahi barang yang diKehendakiNya;
* dan tiada yang menegahkan dalam QudratNya
* dan tiada yang jauh daripada KaramNya.
Hanyasanya atas hamba itu Asbab dan atas Allah Yang Membukakan “bab” (pintu kurniaNya).
Dan yang demikian itu(Lima Martabat Zikir di atas) bagi mengisbatkan(menyabitkan) Hikmah dan Zhuhur(kenyataan) Ubudiyah(Kehambaan) dengan Ibadat.
* Dan tiada ibadat melainkan dengan Fadhol(limpah kurnia)Nya;
* dan tiada Zikir melainkan dengan RahmatNya;
* dan tiada Tawajjuh(berhadap hati) kepadaNya melainkan dengan KurniaNya.
Maka iaitu(Allah) Yang Mengurniai (orang) yang zikir dengan TaufiqNya; maka diTunjukiNya bagi JalanNya; maka diBukakan bagi(hamba)nya dengan anugerahNya.
Keterangan Suluk
Dari segi pandangan hakikat, seorang hamba yang dapat berzikir itu adalah kerana adanya limpah kurnia dari Allah Taala dan tidak sepatutnya seorang itu mendakwa bahawa kemampuan ia boleh memanjat ke tingkat-tingkat Zikir yang tinggi adalah kerana hasil usaha ikhtiar dari penat lelahnya bermujahadah. Namun begitu tingkat-tingkat yang tersusun itu dibeza-bezakan sebagai mensabitkan Hikmah Allah dan penyataan pembuktian seorang hamba dengan melaksanakan pelabagai ibadat terhadap TuhanNya.
Dengan itu, sebagai adab kehambaan(Ubdudiyah) seorang hamba itu perlu bersungguh-sungguh membiasakan lisan mereka dan hati mereka dengan beribadat, berzikir dan bertawajjuh kepadaNya. “Allah tiada memberati manusia melainkan sekadar tenaganya. Baginya (pahala) kebajikan yang diusahakannya dan di atasnya (dosa) kejahatan yang diperbuatnya”(Al-Baqarah: 286);
Dan apabila mereka dapat melaksanakannya dengan baik dan sempurna, maka wajib dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh pula Adab Ketuhanan iaitu dengan disyuhudkan(dipandang) bahawa amal ibadat dan semua perbuatan mereka adalah dengan taufiq, dan limpah kurnia Allah Taala. “Dan bermula Allah itulah yang menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu perbuatkan” (Surah As-Shofat: 96). “Dan tiada engkau melempar ya Muhammad tatkala engkau melempar tetapi Allah Taala jua yg melempar” (Surah Al-Anfal: 17)
Dengan melaksanakan Hak Kehambaan dan Hak Ketuhanan ini, mudah-mudahan Allah akan membukakan/menghidupkan “Sir” mereka untuk meneroka lautan makrifatullah yang tiada terhad.
Bersambung pada pengajian yang seterusnya….Tuntutan Berzikir
…SAMBUNGANNYA DI BAWAH:
Komen oleh jalanakhirat — April 18, 2010 @ 1:52 am
…SAMBUNGAN DARI KOMENTAR SATU DI ATAS
Dengan melaksanakan Hak Kehambaan dan Hak Ketuhanan ini, mudah-mudahan Allah akan membukakan/menghidupkan “Sir” mereka untuk meneroka lautan makrifatullah yang tiada terhad.
Keterangan selanjutnya oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)
Dan kata mereka itu(Kaum Sufiah); dan setengah daripada Khoshoih Zikir itu tiada berwaktu dengan suatu waktu. Maka tiada jua daripada suatu waktu(setiap nafas) melainkan hamba itu dituntut padanya(berzikir). Ada kalanya Wajib dan ada kalanya Sunat; bersalahan dengan lainnya daripada segala Taat.
Keterangan Suluk
Pandangan Ahli-ahli Sufi di atas adalah sebagai ingin menegaskan bahawa sebahagian daripada ketentuan atau ketetapan (Khoshoih) Zikir itu ialah ianya dilakukan dengan tidak mengira waktu, masa dan tempat. Dengan kata lain amalan zikir di sisi mereka ialah satu amalan yang tetap dilakukan dalam apa jua situasi atau keadaan, di mana jua tempat malah pada setiap nafas yang dihembus dan disedut menjadi tuntutan pada mereka untuk tidak melupai zikir.
Berbanding dengan lain-lain ibadat seperti Sholat, Puasa, Zakat, Haji dan lain-lain. Amalan-amalan ini hanya dituntut dan boleh dilaksanakan pada waktu-waktu dan tempat-tempat yang tertentu sahaja. Dan terdapat pada sesuatu waktu, sesuatu keadaan atau sesuatu tempat seseorang itu tidak dituntut malah ditegahkan untuk melaksanakannya walaupun ianya kebaikan. Ada tegah yang makruh dan ada tegah yang diharamkan.
Contohnya, Sholat-sholat sunat ditegah melaksanakannya pada waktu-waktu tahrim. Ada sholat-sholat Sunat itu pula hanya tertentu dan berkait dengan masa seperti Sunat Israk apabila sempurna matahari naik, Sholat Dhuha apabila matahari tinggi segalah, Sholat Witir hanya boleh dikerjakan di waktu akhir malam dan tidak dituntut pada waktu-waktu yang lain. Qiyaslah sendiri dengan amal ibadat yang lain-lain seperti Haji, Puasa dan sebagainya; di mana kesimpulannya amal ibadat tersebut hanya dituntut pada masa atau tempat yang tertentu sahaja dan ditegah pada masa atau tempat yang lain.
Berbeza dengan zikir, ianya boleh dilakukan bila-bila masa sahaja dan di mana-mana tempat sahaja. Di waktu tahrim boleh, di dalam pasar boleh, di tempat mencari rezeki boleh, di khalayak ramai boleh, bersunyi seorang diri boleh, di tengah-tengah laut atau bandar boleh malah di dalam bilik air dan tandas pun boleh yakni dengan Zikir Sir atau Zikir Aqal. Firman Allah
“Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang” [Al-Ahzab:41-42]
Orang-orang yang mengingati Allah sambil duduk atau berdiri atau dalam keadaan berbaring (semua keadaan) dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiada Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka. (Surah Al-Imran:191)
Begitulah Rasulullah (saw) pun sentiasa ingat Allah seperti didalam sabdanya
“Kedua mataku menidurkan aku tetapi hati ku tidak tidur”
“Sebutlah nama Tuhanmu Allah dan beribadahlah kepadaNya dengan penuh ketekunan”.(Surah Muzzammil: 8)
Dengan kerana tuntutan inilah, maka ramai di kalangan Penghulu Masyayeikh Thoriqat-thoriqat tertentu telah menyusun pelbagai zikir yang perlu(WAJIB) dilaksanakan oleh murid-murid bimbingan dengan kadar bilangan dan masa yang tertentu. Pun demikian ada juga di kalangan mereka yang tidak mewajibkan amalan-amalan zikir tertentu dengan hanya menjadikan zikir-zikir tersebut sebagai sesuatu amalan-amalan sunat yang sentiasa dikerjakan seperti membaca doa-doa pada setiap perbuatannya seperti doa pada waktu makan, pada waktu tidur dan sebagainya di samping mendawamkan zikir-zikir lidah atau Zikir Sir yang menjadi satu kebiasaan diri dan tabiat peribadinya sehingga tidak sunyi setiap nafas mereka melainkan dengan berzikir secara lisan atau berzikir Aqal atau berzikir Sir atau berzikir anggota lahir mereka dengan amal kebajikan yang sejalan dengan kemuliaan syarak Rasulullah SAW..
Keterangan selanjutnya oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)
Dan ceritara daripada Rasulullah SAW; bahawasanya Sabdanya;
“Perbanyak oleh kamu akan Zikir hingga dikata kamu Majnun(Gila)”.
Maka sayugianya bagi hamba itu bahawa membanyakkan daripada Zikir dalam tiap-tiap Halnya dan jangan meninggalkan dia selagi ada Aqal dan jikalau serta lalai sekalipun. Maka meninggalkan itu terlebih sangat jahatnya daripada lalainya.
Keterangan Suluk
Istilah sayugia ini memberi dua pengertian iaitu;
* makna pertamanya, Sunat bagi orang-orang awam dan
* makna keduanya, Wajib bagi orang-orang Sufi.
Dengan ini jelaslah dari tuntutan wajib menghadirkan zikir dalam setiap hal bagi orang-orang sufi menunjukkan atau memberitahu satu isyarat yang penting, menyatakan satu makna yang besar yang menjadi dasar atau nadi perjalanan mereka. ZIKIR dan BERZIKIR, mendawamkan ZIKIR dan HIDUP DENGAN ZIKIR. Zikirnya terpancar pada setiap anggota zhohirnya, Zikirnya menjelma dalam tindak-tanduknya, Zikirnya menghiasi dalam Syuhudnya dan Zikirnya bersemadi pada rahsia ruhnya. Isyarat ini boleh kita perolehan dari keterangan Tok Pulau Manis yang seterusnya;
Keterangan selanjutnya oleh Pengarang Kitab Hikam(Tok Pulau Manis)
Dan terkadang ada Zikir Lisan itu sebab bagi Hudur iaitu sifat segala Ulama dan terkadang ada Hudur itu akan sebab bagi Zikir Ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkur iaitu Martabat segala orang yang Arif dan Muhaqiqin daripada Aulia Allah.
Keterangan Suluk
Keterangan di atas menunjukkan kepada satu isyarat dengan menggunakan perkataan “terkadang”. Terkadang membawa kepada pengertian bahawa “tidak semestinya” atau “ianya bukan selalu begitu” atau lebih sesuai lagi sebagai “salah satu bahagian daripada suatu keseluruhan” dengan maksud ianya bukan meliputi keseluruhan atau yang terbaiknya sebagai “salah satu jalan/thoriq” daripada jalan-jalan/thoriq-thoriq lain yang membawa seseorang untuk sampai kepada Allah(Washil ilaLlah).
Kadang-kadang seseorang itu boleh memanjat kepada Maqam yang menyamai hal-ahwal atau Sifat para Ulama. Mereka ini ialah yang sentiasa mendawamkan Zikir Lisan sehingga akhirnya dengan tetap dan dawamnya tersebut menyebabkan datangnya Zikir serta Hudur(Zikir Qalbi atau Zikir Yaqzhoh).
Kadang-kadang pula dengan tetapnya hal Zikir Qalbi itu, akan menjadikan seseorang itu ghaib dalam zikirnya atau “tidak dingat atau tidak dilihat/musyahadah dalam zikirnya melainkan Allah Taala” jua yang Wujud. Inilah Zikir Dengan Mazkur(TuhanNya) yang menjadi Martabat segala orang yang Arif dan Muhaqiqin daripada Aulia Allah.
Ya Allah!!! Tuhan Yang Menzhohirkan Rahmat Kasih SayangNya pada hamba-hambanya terpilih. Masukkan kami ke dalam golongan mereka yang Engkau himpunkan keredhoaanMu pada jiwa mereka. Hamba ini terlalu Dhoif, Lemah, Jahil dan Papa. LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH
Tanbih..
Selesai sudah kalam hikmah yang berkaitan dengan hal-ahwal zikir yang terkandung dalam tiga bicara sebelum ini.
Seterusnya sebagai mendatangkan Kalam Hikmahnya, maka kata Sheikh r.a (Muallif Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
Komen oleh jalanakhirat — April 18, 2010 @ 2:01 am
Assalamualaikum,
Saya cuba mengekalkan amalan zikir tauhid (1000 kali) setiap hari. Saya tak pernah berguru. Jika dulu, hati dan lisan sukar untuk bersama semasa berzikir. tapi sekarang, alhamdullilah, hati sentiasa selari dengan zikir lisan. rasa rindu untuk berzikir sentiasa wujud tatkala meninggalkannya untuk masa singkat. soalan saya, adakah saya sendiri boleh MENGENALpasti makam2 zikir yang berbeza tersebut?.
Terima kasih saya dahulukan kepada Tuan.
Komen oleh hamba Allah — Ogos 9, 2010 @ 11:16 am
Assalamualaikum,
Awaluddin Makrifatullah,zikir perlu dibaiah/diizajahkan oleh Guru Mursyid Dunia yang menunjukkan jalan-jalan latihan zikir,perjalanan seterusnya mencari Guru Mursyid Akhirat melalui jalan zikir zat,sifat,asma,afaal.
Jalan nafi-isbat,fana-baqa,mati sebelum mati perlu difahami.Zikir adalah jalan membersihkan hati.
Insyaallah sampai masanya,kedengaran ditelinga seluruh anggota saling puji memuji.
Dari makam asyik meningkat ke makam tasdiq iaitu zikir itu hidup dengan sendirinya.Seperti tulisan saudara JalanAkhirat iaitu dianggap gila oleh masyarakat kerana asyiknya.
salam.
Komen oleh Guacaya — Ogos 14, 2010 @ 12:29 am
Assalamualaikum Saudara JalanAkhirat,terlebih dahulu saya memohon maaf diatas tulisan/komen tu.Saya ni baru dalam bidang ni.Tulisan saudara amat besar dan luas maknanya.salam.
Komen oleh Guacaya — Ogos 14, 2010 @ 12:41 am
assalamualaikum
sebelumnya mohon maaf,saya terkesan dengan amalan zikir oleh karena itu saya mohon ijazahnya.
terimakasih
wasalam
Komen oleh darwinsaliem — Ogos 19, 2010 @ 4:19 am
Asalamualaikum
Saudara Darwin saltem, saudara perlu menemui guru Mursyid untuk mohon Ijazahnya, dan sudah tentu tidak pantas dimohon menerusi weblog. Diantara ciciri guru mursyid itu adalah seperti berikut;
Guru Mursyid itu mempunyai beberapa ciri-ciri untuk kita ketahui bahawa dialah guru murysid. Malah, ulamak sekalipun perlu ia kepada guru murysid.
Ciri-ciri tersebut secara ringkas adalah seperti berikut:
1. Mursyid itu ilmunya bukan daripada orang lain. Jarang dia bercakap begini; “Mengikut tok guru saya”. Ilmunya pun tidak merujuk buku, dan wajarlah jarang dia bercakap “mengikut buku sekian, sekian”. Sebenarnya guru mursyid itu diajar oleh Tuhan. Tuhan ambil alih untuk didiknya, berinya ilmu. Sepertimana maksud firman Tuhan “..dan Allah akan ajar orang bertaqwa.” Maksudnya di sini guru itu mendapat ilham. Mendapat ilmu direct daripada Tuhan. Dia tidak perlu merujuk kepada sesiapa tetapi Tuhan.
Tetapi guru itu tidak membawa ajaran baru. Syariat tetap syariat Rasulullah, tinggal lagi proses dia mendapat ilmu itu tidak melalui universiti Islam atau guru biasa. Zaman berubah, tamaddun berubah, fikiran dan cara hidup manusia berubah. Oleh itu tafsiran ayat-ayat Al-Quran atau hadis perlu difahami sesuai dengan zaman yang beredar. Di sinilah peranan ilham. Ilham diberi oleh Tuhan kepada orang-orang yang dipilihNya atau wakilNya untuk menerangkan maksud ayat-ayat dan hadis di dalam konteks dan suasana zaman yang berkenaan.
Al-Quran, hadis dan hukum-hakam tidak berubah. Ia didatangkan melalui wahyu dan sudah lengkap. Tetapi fahaman terhadap ayat dan hadis itu boleh dijelaskan, dikuatkan atau ditambah dengan fahaman-fahaman baru dengan tidak menafikan fahaman-fahaman lama, sesuai dengan perubahan dan peredaran zaman dan tuntutan semasa.
2. Mursyid itu bukan cakap sahaja. Tetapi dia itu berbuat. Maksudnya apa yang diperkatakannya, yang diajarkannya itu sudah mendarah mendaging dalam kehidupannya. Orang bukan sahaja boleh belajar daripada cakapnya tetapi perbuatannya. Dia adalah living model kepada anak muridnya. Orang boleh tiru lahirnya seperti cara dia berpakaian, cara dia makan, berkeluarga, bergaul dan bermusafir. Rohaniahnya seperti sabar, kuat jiwa, kasih sayang, pemaaf dan pemurah. Ibadahnya seperti sembahyang dan puasa. Samalah dia seperti Rasulullah, di mana beliau juga contoh teladan kepada sahabat dan orang lain.
3. Mursyid itu dia dianugerahkan Tuhan kelebihan. Jika rasul itu ada mukjizat, mursyid itu ada karamah atau kemuliaan, kelebihan istimewa diberikan Tuhan kepadanya, atas ketaqwaannya. Karamah itu ada dua bentuk. Ada karamah lahir. Ada karamah maknawi. Karamah lahir itu dia boleh berjalan atas air. Boleh hilangkan diri. Tetapi ini kurang penting berbanding karamah maknawi. Karamah maknawi itu adalah seperti;
· Boleh mendidik hati manusia dari jahat kepada baik
· sangat sabar dengan karenah pengikut
· lidahnya masin yakni bila bercakap orang akan dengar
· dia boleh mengetahui penyakit hati anak muridnya sebagai panduan mendidik
· Mendapat berita-berita ghaib sebagai panduan untuk bertindak
Komen oleh jalanakhirat — Ogos 19, 2010 @ 5:59 am
tok gimana cara menghadir ka mursyid
Komen oleh juli — November 29, 2010 @ 1:04 pm
tok kata nya kalau kita masih baru mengikuti ajaran tarikat waktu mau berzikir pen tujuh menyuruh kita kenang dosa. hadir kan muryid ingat allah.gimana cara hadir kan mursyid tok tolong penjelasanya?
Komen oleh juli — November 29, 2010 @ 1:09 pm
Salam..
terima kasih kerana sudi berkongsi pengetahuan/pengalaman tuan kpd semua. Saya mendapat banyak menaafaat dari artikel tuan. Semoga Allah menzhohirkan rahmat2 nya kepada hambanya yg terpilih.
Maha suci2 Allah yg menguasai sekian alam.
Komen oleh Awang Hud — Disember 2, 2010 @ 6:57 am
Salam,
Terima kasih kpd tuan yg sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan berharga yg telah Allah kurniakan. Banyak manafaat yg saya dapati dari tulisan tuan walaupun saya belum mengalami/merasainya, semoga saya akan mendapat rahmat kasih sayang dan diredhai Allah.
Maha suci Allah tuhan yg menguasai sekian alam.
Komen oleh Awang Hud — Disember 2, 2010 @ 8:54 am