Gila Talak



Soalan ( dari Harian Metro)

SAYA lelaki yang sangat cerewet dalam memilih pasangan. Gadis idaman saya mestilah cantik dan berkulit cerah. Perkenalan saya dengan Su yang pada asalnya hanya kawan menjadi semakin intim sehinggakan kami terlanjur.
Atas rasa tanggungjawab, saya melamar Su. Kedua-dua keluarga merestui dan akhirnya kami sah menjadi suami isteri. Sebenarnya, Su bukan gadis idaman saya. Dia berkulit gelap, tetapi manis dan sentiasa ceria.

Kelebihan Su ialah dia sentiasa membuatkan orang di sekelilingnya tertarik untuk mendengar keletahnya. Mungkin sebab itu saya tertarik untuk berkawan dengannya pada awal perkenalan kami.

Selepas dua tahun berkahwin, saya ditukarkan ke selatan tanah air. Di sana saya bertemu Anis, gadis yang memiliki ciri-ciri idaman. Orangnya cantik, berkulit cerah dan pemalu. Untuk memikatnya, saya mengaku masih bujang.

Saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana dia juga menyukai saya. Tanpa berfikir panjang serta dalam keadaan mabuk cinta, saya menghantar SMS cerai kepada Su. Kelam kabut keluarga Su dan keluarga saya mencari saya.

Dalam perbincangan tegang, saya berterus terang akan melamar Anis dan melepaskan Su supaya tidak terluka. Semoga ada lelaki lain boleh membahagiakan Su memandangkan kami belum ada anak.

Berulang kali Su menelefon saya, tetapi saya tidak menjawabnya. Banyak SMS yang dia hantar bertanyakan apakah salahnya, tetapi saya tidak membalasnya. Akhirnya Su tidak lagi menghubungi saya dalam tempoh proses perceraian kami.

Selepas enam bulan bercerai dengan Su, saya dan Anis disatukan dalam majlis sederhana. Lima bulan bersama Anis, saya mula merasai kekurangan. Walaupun memiliki ciri-ciri gadis idaman saya, dia terlalu pendiam. Sepatah saya tanya, sepatah dijawab.

Anis juga sangat cemburu, menyebabkan saya menjadi rimas. Saya mula merindui keletah Su. Sepanjang dua tahun bersama Su, saya tidak pernah berasa sunyi dengannya. Satu perkara lagi yang menyebabkan saya sangat merindui Su ialah prestasi hebatnya di ranjang.

Berbanding Su, Anis sangat pemalu dan tidak dapat memberi kepuasan maksimum kepada saya. Berulang kali saya mengajarnya dengan memberi bahan bacaan yang berkaitan, tetapi jawapan Anis ialah dia malu.

Ada beberapa kali saya menghubungi Su melalui telefon dan dia tetap melayan saya dengan baik, seolah-olah tiada rasa benci dalam nada suaranya.

Setiap kali menghubungi Su, saya rasa tenang dan lega kerana celotehnya membuat saya terhibur.

Bagaimanapun, saya tahu jauh di sudut hati Su dia terluka dengan perbuatan saya kerana banyak kali dia memberi alasan sibuk jika saya mahu berbual panjang dengannya.

Baru-baru ini saya mendapat tahu Su dipinang seorang jejaka yang juga kenalan saya. Saya menjadi cemburu dan yang paling menyakitkan ialah saya tidak dapat menerima hakikat suaminya nanti akan mendapat layanan hebat daripada Su.

Kini, saya menyesali tindakan lalu. Baru saya sedar kecantikan luaran bukan kayu ukur kepada kebahagiaan. Bantulah saya menyelesaikan masalah ini kerana saya benar-benar merindui dan mencintai Su serta mahu kembali kepadanya.

ZK.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Gila Talak

  1. kasutbola berkata:

    sudah terlambat…..

  2. Ayah berkata:

    Kecantikan…kepuasan…kemesraan telah mengaburi mata saudara. Semua itu aturan Allah SWT terhadap saudara. Rupa-rupanya saudara telah leka…. Perkahwinan2 saudara bukan kerana Allah SWT…. Teruskan dengan yang ada sekarang. Allah Maha Mengasihi Lagi Maha Bijaksana. Kenapa mesti lemah…terpedaya…. pada sifat2 yang ada pada kaum hawa??? Saudara boleh mengundang kemurkaan Allah SWT…. Tetapi ianya adalah sebaliknya sekiranya saudara……. Wallahualam….

Tinggalkan komen