Pegangan Ahli sunnah wal jamaah



Istilah atau kalimah Ahli Sunnah wal-Jamaah sememangnya sudah tidak asing lagi kepada masyarakat Islam Nusantara. Namun, apabila membincangkan perihal Ahli Sunnah wal-Jamaah terlalu sedikit yang mengetahui pengertian kalimah ini. Oleh itu, perlulah terlebih dahulu difahami pengertiannya (istilah atau definisinya) sama ada disegi bahasa atau syara. Istilah “Ahli Sunnah wal-Jamaah” terdiri dari tiga kalimah, iaitu:

Pertama: Pengertian Ahli

Kedua: Pengertian Sunnah

Ketiga: Pengertian al-Jamaah.

PENGERTIAN AHLI

Perkataan “Ahli” mengikut Bahasa Arab secara ringkas boleh diertikan kepada beberapa maksud, antaranya ialah:

1. Ahli bermakusd: “Pakar, Yang Berilmu atau Yang Pandai” sebagaimana firman Allah:

فَسْئَلُوْا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ.

“Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui”. Al-Anbiya, 21:7.

2. Ahli yang bermaksud “Pengikut atau Anggota” satu-satu aliran (fahaman) atau kumpulan, contohnya sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah:

يَا اَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُوْنَ بِاَيَاتِ اللهِ

“Hai Ahli Kitab! Mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah padahal kamu mengetahui kebenarannya”. Ali Imran, 3:70.

وَاْمُرْ اَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya”. Taha, 20:132.

Pada ayat ini ahli bermaksud anggota keluarga. Antara contoh-contoh yang lain ialah: Ahli pertubuhan, ahli parlimen, ahli mahzab, ahli sukan dan sebagainya.
PENGERTIAN SUNNAH

1. As-Sunnah: Sunnah menurut pengertian bahasa ialah: Tariqah ( الطريقة) “Jalan”[1] atau sirah (السيرة) “Sirah”.[2] Sebagaimana yang dikatakan:

اَلسُّنَّةُ هِيَ الطَّرِيْقَةُ ، مَحْمُوْدَةٌ كَانَتْ اَمْ مَذْمُوْمَةٌ.

“As-Sunnah ialah jalan, sama ada yang terpuji (baik) atau yang keji (jahat)”.[3]

2. As-Sunnah: Sunnah menurut syara:

“Apa yang diambil (diterima, dinukil, dipindah dan diriwayatkan) dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda berkenaan akidah dan amal”. [4] Atau:

“Cara (jalan) yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang dibina (diambil) dari kitab Allah Ta’ala (al-Quran), sunnah RasulNya dan jalan yang ditempuh oleh para sahabat sekalian yang telah diijmakkan oleh mereka”.[5]
Pengertian Al-Jamaah

Al-Jamaah diambil dari kalimah (الجمع) yang boleh diertikan kepada beberapa maksud:

1. Al-Jamaah yang bermaksud:

(1). “Mengumpulkan atau menyatu-padukan yang berpecah-belah (bercerai-berai)”.[6]

(2). “Bersatu dan lawannya berpecah-belah.

(3). Al-Jamaah juga (diistilahkan untuk) menunjukkan perkumpulan manusia yang bersatu untuk tujuan yang sama”.[7]

2. Al-Jamaah: Golongan yang terbesar atau yang paling ramai (السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam.[8]

3. Al-Jamaah: Golongan (kalangan) para ulama yang mujtahid.[9]

4. Al-Jamaah: Setiap Umat Islam yang bersatu

di bawah satu amir (pemerintah Islam).[10]

5. Al-Jamaah: Secara khususnya ialah para sahabat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam.[11] Pengertian ini dapat difahami dari sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ

“Hendaklah kamu kembali (ittiba’) kepada sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku”.[12]

6. Al-Jamaah: Setiap mukmin yang mengikut kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam[13] walaupun seorang diri sebagaimana athar sahih di bawah ini:

اَلْجَمَاعَةُ : هِيَ الَّتِيْ مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ

“Al-Jamaah: Iaitu (sesiapa yang amal dan akidahnya mengikuti aku atau persis) serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para sahabatku (sesiapa yang sepertiku dan para sahabatku).”[14]

اَلْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَاِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ.

“Al-Jamaah (berjamaah) atau (yang dikatakan berada dalam jamaah) ialah apabila (engkau) mengikuti kebenaran sekalipun engkau hanya seorang diri (keseorangan).”[15]

Kebenaran adalah setiap apa saja yang didatangkan oleh Allah dan disampaikan oleh RasulNya yang dikenali sebagai al-Hak (al-Quran dan as-Sunnah). Maka Al-Jamaah yang dimaksudkan oleh syarak ialah sesiapa sahaja yang berittiba’ kepada manhaj para sahabat kerana mereka sentiasa memelihara dan mengikut (berittiba’) kebenaran yang telah diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Firman Allah:

اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ.

“Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu”.

Al-Baqarah, 2:147.

Penafsiran yang paling tepat tentang “Jamaah” ialah:

“Mereka-mereka yang tergolong dari kalangan para sahabat kerana mereka sentiasa di atas kebenaran, ahlinya dan golongan yang teramai (السواد الاعظم) mengikut fahaman (manhaj) salaf yang hak”.[16]

Dengan demikian, sesiapa sahaja yang mengikuti (ittiba’) manhaj para sahabat dengan baik pasti digolongkan sebagai al-Jamaah. Walaupun al-Jamaah adalah nama sebenar bagi Ahli Sunnah wal-Jamaah, tetapi antara nama-nama lain yang diberikan ialah:

1. Ahli al-Hadis atau Ahli al-Athar.

Berkata Ibn Qaiyim rahimahullah:

“Setiap individu telah mengetahui bahawa Ahli Hadis adalah golongan yang paling benar sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Mubarak: Aku dapati agama berada pada ahli hadis percekcokkan pada golongan Muktazilah, pembohongan pada ar-Rafidah dan banyak berhelah pada Ahli ar-Rakii”.[17]

2. Firqah an-Najiah (Firqah al-Mansurah) atau At-Taifah an-Najiah (at-Taifah al-Mansurah). Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah:

“Apa yang dikatakan Firqah an-Najiah ialah pengikut para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Ia adalah syiar Ahli sunnah. Dinamakan Firqah an-Najiah kerana mereka itu terdiri dari Ahli Sunnah”.[18]

3. Ahli Ittiba’. Dinamakan Ahli Ittiba’ kerana sentiasa berittiba’ (mengikuti/mematuhi/mentaati) al-Quran, as-Sunnah Rasulullah sallallhu ‘alaihi wa-sallam serta athar para sahabat radiallahu ‘anhum yang sahih.

4. Al Guraba’ (الغرباء) bermaksud: “Golongan yang anih, asing, luar biasa, dagang atau sedikit” sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا سَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأ فَطُوْبَى للغُرِبَاءِ.

“Islam itu bermula dengan keadaan aneh (asing/luar biasa) maka akan kembali menjadi aneh (asing/luar biasa) maka berbahagialah orang yang asing itu”.[19]

نُقِلَ عَنْ سُفْيَانِ الثَّوْرِيِّ اَنَّهُ قَالَ : اِسْتَوْصُوْا بِاَهْلِ السُّنَّةِ خَيْرًا فَاِنَّهُمْ غُرَبَاءُ.

“Dinukil dari Sufyian ath-Thauri beliau berkata: Berwasiatlah kamu kepada Ahli Sunnah dengan kebaikan kerana mereka guraba”.

Dengan penjelasan ini, golongan yang paling tepat dinamakan al-Jamaah atau Ahli Sunnah wal-Jamaah, Firqah an-Najiah atau nama-nama yang berkaitan dengan Jamaah Islamiyah, maka mereka ialah para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan sesiapa sahaja yang mengikut manhaj para sahabat dengan baik, terutama kalangan ulamak mujtahid yang berpegang kepada manhaj al-Kitab dan as-Sunnah.[20]

Gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah muncul diakhir zaman sahabat, ini berdasarkan keterangan yang diambil dari athar Ibn Abbas apabila beliau menafsirkian Firman Allah:[21]

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ.

“Pada hari yang diwaktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam muram”. Ali Imran, 3:106.

Menurut Ibn Abbas radiallahu ‘anhu:

“Adapun orang yang putih berseri-seri mukanya ialah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Ulul al-Ilm dan yang hitam muram mukanya ialah Ahli bid’ah atau orang yang sesat”.[22]

Dengan berpandukan dalil dan keterangan di atas, amat tepat pengistilahan yang menetapkan bahawa orang yang paling berhak dan layak digelar atau dinamakan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah sesiapa sahaja yang berpegang teguh (ittiba’) kepada manhaj para sahabat, tabiin dan tabiut at-tabiin yang diistilahkan sebagai “Manhaj Salaf As-Soleh”. Oleh itu, sesiapa yang tidak berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh adalah golongan yang berpecah (terkeluar) dari Ahli Sunnah wal-Jamaah sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَة فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ . قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَة.

“Pasti akan berpecah-belah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Baginda ditanya: Siapa mereka (yang ke syurga) wahai Rasulullah? Baginda bersabda: al-Jamaah”.[23]

Dalil yang menjelaskan bahawa hanya sesiapa yang berpegang dan kembali kepada al-Quran, sunnah Rasulullah dan athar sahabat berhak dinamakan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj salaf ialah berdasarkan hadis sahih:

مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْم وَاَصْحَابِيْ.

“(Al-Jamaah) ialah sesiapa yang seperti aku sekarang dan para sahabatku”.[24]

Adalah wajib bagi setiap mukmin menjadikan akidah dan amalannya seperti yang diyakini dan dicontohkan oleh para Ahli Sunnah wa-Jamaah yang bermanhaj salaf, iaitu manhaj yang diikuti oleh para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan baik. Firman Allah:

وَكُوْنُوْا مَعَ الصَّادِقِيْنَ

“Dan hendaklah kamu bersama orang-orang siddiqin (yang benar)”.

At-Taha, 20:119.

Orang-orang utama yang telah mendapat gelaran dan penghormatan sebagai syuhada’, solehin dan siddiqin ialah para sahabat, maka untuk digolongkan sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah yang diterima oleh syara, sewajarnya seseorang itu memenuhi pensyaratan yang ditetapkan oleh hujjah-hujjah di atas, iaitu kembali kepada manhaj yang diterima oleh Rasulullah yang telah dipegang dan diamalkan oleh para sahabat. Caranya hanya dengan mengikuti, kembali dan mentaati al-Quran, as-sunnah atau wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Suruhan atau perintah agar bepegang teguh dengan sunnah Rasulullah dan athar para sahabat sebagai manhaj yang terjamin terdapat di dalam al-Quran, hadith-hadith dan athar yang sahih, antaranya ialah firman Allah:

وَاتَّبِعْ سَبِيْلَ مَنْ اَنَابَ

“Dan ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu”.

Luqman, 31:15.

Orang-orang yang benar-benar mengikuti dan kembali ke jalan Allah Suhanahu wa-Ta’ala tentulah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda kerana mereka sentiasa mematuhi firman Allah:

اِتَّبِعُوْا مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءَ قَلِيْلاً مَا تَذَكَّرُوْنَ.

“Ikutlah oleh kamu apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikit dari kamu mengambil pelajaran (daripadanya)”. Al-’Araf, 7:3.

Pengertian “Mengikut apa yang telah diturunkan” sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah mengikut atau kembali kepada wahyu yang berupa al-Quran dan hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Hadis atau kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dinamakan sebagai wahyu berdasarkan ayat al-Quran:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْيٌ يُوْحَى

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kamahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanya wahyu yang dibawakan (kepadanya)”. An-Najm, 53:3-4.

Semasa Rasulullah ingin menyampaikan wasiat agar umat Islam benar-benar kembali kepada manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah dan meninggalkan Ahli bid’ah, tanda-tanda kesungguhan yang tergambar di wajah Rasulullah telah merubah suasana dan keadaan para sahabat di ketika itu, sehingga menggegarkan hati para sahabat dan mengalirkan air-mata mereka. Kejadian tersebut telah menunjukkan peripentingnya umat Islam berpegang dan kembali kepada pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang menjadi manhaj para sahabat sekalian. Rasulullah berwasiat:

اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّـمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ وَلَّى عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْابِهَاوَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَـلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَـلاَلَةٍ فِى النَّارِ.

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada kami sehingga membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan. Kami berkata: Wahai Rasulullah! Seakan-akan ini wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami. Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat ikhtilaf yang banyak, maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham. Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang baru kerana setiap yang baru itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat”.[25]

بِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Sebahagian dari isi kandungan kertas kerja telah dikulliahkan di Pusat Islam Singapura dan di Masjid, di beberapa masjid di Negeri Perlis dan Kampung Malaysia Tambahan, Selangor Malaysia.

[1]. Lihat: لسان العرب – مادة (سنن)

[2]. Lihat: (1). مختار الصحاح Hlm. 133. ar-Razi. (2). Inilah takrif yang diberikan oleh Ibn Athir dalam النهاية فى غريب الحديث قى مادة : (سنن) Jld. 2. Hlm. 409.

[3]. Lihat: لسان العرب – مادة (سنن)

[4]. Lihat: لمعة الاعتقاد الى سبيل الرشاد Hlm. 40. al-Uthaimin.

[5]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm 21. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.

[6]. Lihat: (1). منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm. 20. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.(2). القاموس المحيط . مادة : (حمع) Hlm. 917. Al-Fairuz Abadi.

[7]. Lihat: (1) مجموعة فتاوى Jld. 3. Hlm. 157.(2). المعجم الوسيط . مادة : (جمع) Jld. 1. Hlm. 135.

[8]. Lihat: H/R At-Tabari dalam “Al-Kabir” (1/320).

[9]. (1). Ini adalah kata-kata ‘Amru bin Qais dalam الابانة. Jld. 2. Hlm. 492. Ibn Battah (2). Perkataan Bukhari di dalam kitab sahihnya (13/328). (3). Turmizi dalam sunannya (4/467).

[10]. Lihat: الاعتصام Jld. 2. Hlm. 263. As-Syatibi.

[11]. Inilah yang dijelaskan oleh al-Barbahari dalam شرح السنةHlm. 22.

[12]. H/R Ahmad (4/162). Abu Daud (5/13). Turmizi (7/437) dan Ibn Majah (1/15).

[13]. Lihat: شرح السنة Hlm. 22. Al-Barbahari.

[14]. Lihat: تحفة الاحوذى(7/399-340). Berkata Turmizi: Hadis ini hasan dan gharib. Lihat: سلسلة الاحاديث الصحيحة No. 203 atau 1192. Syeikh Al Albani.

[15]. Lihat: Riwayat Baihaqi. al-Madkhali. الحوادث والبدعHlm. 22. Abu Syamah.

[16]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm. 23.

[17]. Lihat: Bahaya Taqlid Buta & Ta’sub Mazhab. Hlm. 81. Rasul Dahri.

[18]. Lihat: منهاج السنة Jld. 3. Hlm. 457. Ibn Taimiyah.

[19]. H/R Muslim.

[20]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالىJuz 1 Hlm 23.

[21]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz 1 hlm 23.

[22]. Ibid.

[23]. H/R Ibn Majah (2/1322). Hadith ini disahihkan oleh al-Haitimi dalam (الزوائد) Disahihkan juga oleh al-Iraqi di dalam (تلخيص الاحياء.

[24]. Lihat: H/R Turmizi. (تحفة الاحوذى) (7/399-240).

[25]. H/R Ahmad, Abu Daud, Turmizi dan Ibn Maja

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

One Response to Pegangan Ahli sunnah wal jamaah

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s