Timba Tembaga di Masjid Tok Ku Paloh

Pertama kali menjejakkan kaki di Masjid Kampung Paloh di sini, pastinya anda akan terpukau melihat sebuah timba yang begitu unik di bahagian pintu masuk masjid berkenaan.

Selepas diteliti, timba itu sebenarnya diperbuat daripada tembaga asli dan digunakan sebagai alat untuk menimba air dari perigi sebelum dimasukkan ke dalam kolah untuk kegunaan jemaah mengambil wuduk.

Menurut cerita penduduk setempat, timba tembaga itu dikatakan pernah dicuri, namun setelah beberapa ketika, si pencuri meletakkan kembali timba itu ke tempat asalnya.

Timba tembaga itu mempunyai ukiran Melayu tradisional yang menarik dan mengkagumkan.

Disebabkan isipadu timba tembaga berat, sebatang tiang didirikan untuk dijadikan sebagai alat untuk memegang tali timba.

Demikian antara beberapa keunikan dan keistimewaan Masjid Kampung Paloh yang terletak berhampiran Pekan Chabang Tiga di sini.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pembinaan masjid itu mempunyai kaitan dengan kemunculan seorang tokoh agama, Syed Abdul Rahman yang dikenali oleh penduduk setempat dengan panggilan Tok Ku Paloh.

Beliau dilahirkan pada tahun 1839 dan dikatakan menuntut ilmu dengan ayahnya sendiri iaitu Syed Muhammad.

”Keturunan ulama itu adalah daripada salasilah Hussein al-Idrus, manakala Tok Ku Paloh pula mempunyai empat adik beradik.

”Tok Ku Paloh akhirnya menjadi seorang ilmuan Islam Terengganu yang terkenal pada zaman silam,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd. Yusof berkata, berdasarkan catatan, Tok Ku Paloh banyak menabur jasa terhadap pembangunan di Terengganu dengan tugas penting yang dilakukannya sebagai penasihat kepada Sultan Zainal Abidin III.

Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa terdapat hubungan rapat antara ulama dan umara di dalam menjalankan pentadbiran di negeri Terengganu.

Menurut cerita, Tok Ku Paloh memikirkan suatu tempat yang sesuai untuk menyampaikan ilmunya dan bermula dari saat itulah terbinanya sebuah masjid pada tahun 1862 di Kampung Paloh.

90 peratus pembinaan masjid itu menggunakan kayu cengal dan tembesu.Kayu cengal dijadikan tiang utama dewan sembahyang dengan ukuran lilit 6X6 inci.

Menurut penduduk setempat, empat tiang yang lama masih dikekalkan sehingga kini, manakala pada bahagian tiang lain sudah digantikan dengan tiang yang lebih kecil.

Tinggi bahagian dewan sembahyang adalah sembilan kaki dari bahagian lantai ke bahagian bumbung.

Menurut cerita lain, pada peringkat awal pembinaan, masjid ini mempunyai ketinggian tujuh kaki dari aras tanah sebagaimana dilihat pada bahagian rumah-rumah lama orang Melayu di persekitaran kampung itu.

Menyedari betapa pentingnya masjid ini dari segi sejarah, mendorong Muzium Negeri menjadikannya sebagai tapak Muzium Negeri Terengganu dan sudah diwartakan sebagai tapak muzium.

Sebagaimana masjid tradisi yang lain, Masjid Kampung Paloh juga terdapat sebuah mimbar yang sekali imbas serupa dengan mahkota diraja, membuktikan betapa eratnya hubungan antara pengasas masjid ini dengan keluarga istana.

Sementara itu, warna hijau pada mimbar melambangkan kebersihan dan kesucian menjadikan sesiapa sahaja yang memandangnya pasti akan terpesona dengan warna yang sinonim dengan tumbuh-tumbuhan yang memayungi kawasan sekitar masjid.

Selain mimbar, terdapat juga sebuah geduk tua yang masih utuh zaman berzaman.

Geduk atau istilah lain disebut sebagai beduk atau tabuh dijadikan alat utama pihak pengurusan masjid memanggil jemaah bersembahyang dengan cara memukul pada kulit belulang.

Jarak yang dapat didengar apabila dipalu dengan pemukul adalah sejauh satu kilometer persegi.

Bunyi yang dihasilkan daripada beduk ini adalah pantulan daripada belulang sejenis kulit haiwan yang dikeringkan selama beberapa hari sebelum dimasukkan pada bahagian mulut tong yang besar.

Sementara itu tongkat yang digunakan iman masjid ini untuk sembahyang Jumaat dikatakan diperbuat daripada jenis yang tahan lama dan ringan untuk dibawa. Tongkat itu pula adalah seusia Masjid Tok Ku Paloh.

Selain itu kelainan lain masjid ini ialah setiap jemaah yang berkunjung pastinya perlu berhati-hati semasa menaiki atau menuruni tangga masjid.

Ini kerana tangga yang dibina agak curam dan tidak terdapat penghadang atau tempat untuk berpaut.

Pada awalnya tangga mempunyai sembilan anak tangga tetapi kini ia mengalami perubahan mengikut keadaan dan suasana semasa.

Lantaran itulah anak tangga di masjid itu juga turut dikurangkan kepada empat anak tangga sahaja.

Kini anak tangga kayu ini jarang digunakan lagi setelah dibina tangga simen yang lebih selesa dan selamat.

Pada permulaan masjid dibina, tempat mengambil wuduk dibina daripada batu-batu yang diambil dari sungai berdekatan tetapi kemudian kolah ini diperbesarkan dan dicantikkan dengan meletakkan marmar di sekeliling dinding.

Terasa kesejukan menggigit tulang kepada setiap jemaah yang menggunakan air di dalam kolah ini.

Selain daripada berwuduk, penduduk kampung juga menggunakan air kolah ini untuk mandi dan dijadikan ubat penawar bagi penyakit-penyakit tertentu.

Mengenai kedudukan perigi yang terletak berhampiran masjid, ia dikatakan digali oleh penduduk kampung secara bergotong-royong.

Antara keanehan utama perigi tua ini menurut penduduk setempat, ia dikatakan tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau.

Dinding pada bahagian perigi diletakkan simen supaya tidak ditimpa tanah runtuh pada musim hujan lebat.

Pada bahagian pintu masuk ke Masjid Tok Ku Paloh terpampang satu papan tanda yang menggunakan tulisan khat thulus.

Papan tanda itu bermaksud ‘Masjid Ar-Marhum Engku Syed Abdul Rahman Tok Ku Paloh.’

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan komen