Tauhid asma wa sifat



Makna Tauhid Asma Wa Sifat

Asma adalah jama’ kepada kata ism. Oleh itu asma bermaksud nama-nama. Tauhid asma wa sifat (nama-nama dan sifat) adalah pengesaan Allah melalui nama-nama dan sifat-Nya.

Dengan lebih terperinci, tauhid asma wa sifat ialah beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya, sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasul-Nya menurut apa yang sesuai bagi Allah s.w.t, tanpa ta’wil dan ta’thil(menafikan), tanpa takyif (mempersoalkan) dan tamtsil (menyerupakan). Boleh juga dikatakan bahawa tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna yang merupakan nama sekaligus sifat Allah.

Firman Allah
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS 42:11)

Allah menafikan jika ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan Dia menetapkan bahwa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Maka Dia diberi nama dan disifati dengan nama dan sifat yang Dia berikan untuk diri-Nya dan dengan nama dan sifat yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam hal ini tidak boleh dilanggar, karena tidak seorang pun yang lebih mengetahui Allah daripada Allah sendiri, dan tidak ada sesudah Allah orang yang lebih mengetahui Allah daripada Rasul-Nya.

Maka barangsiapa yang mengingkari nama-nama Allah dan semua mahupun sebahagian sifat-Nya atau menamakan Allah dan menyifati-Nya dengan nama-nama dan sifat-sifat makhluk-Nya, atau menta’wilkan dari maknanya yang benar, maka dia telah berbicara tentang Allah tanpa ilmu dan berdusta terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Allah berfirman lagi
“Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?” (QS 18:15)

Tauhid asma dan sifat adalah pernyataan ikrar bahawa sesungguhnya Allah Maha Tahu keadaan segala sesuatu, Maha Kuasa, sesungguhnya Dia Maha Hidup, Dia tidak tidur dan tidak lupa. Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Belas, Maha Kasih, Dia Maha Suci, Maha Sejahtera, Maha Memelihara dan Maha Perkasa. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang disamakan dengan-Nya.

Tauhid ini belum cukup untuk memastikan seseorang itu menjadi seorang Muslim, bahkan mesti disertai dengan tauhid rububiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam pengaturan dan tauhid uluhiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam ketuhanan.

Tauhid Asma Wa Sifat dan Orang Kafir

Orang kafir pada umumnya mengakui tauhid asma dan sifat, walaupun memang ada yang mengingkarinya, kadang kala kerana kebodohan mereka sendiri, atau memang kerana mereka golongan yang ingkar. Mereka berdalih dengan mengatakan, “Kami tidak mengetahui Ar-Rahman selain Rahmanul Yamamah.” Tentang hal ini, telah turun satu ayat.

Allah berfirman
“Padahal mereka kafir kepada Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah)” (QS 13:30)

Ibn Katsir menyatakan, “Pada lahirnya pengingkaran mereka sebenarnya adalah berisi penolakan dan iri, dalam kekafirannya mereka mengingkari Ar-Rahman.” Perihal pengakuan mereka akan kewujudan tauhid asma wa sifat jelas dalam syair-syair mereka.

“Apa yang dikehendaki Ar-Rahman mengikat dan mutlak”
“Perhatikan Sibiran Ar-Rahman Tuhanku adalah sumpah”
“Maka bagi Allah tiada tersembunyi apa dalam dirimu
Perkara apa pun yang tersembunyi Allah selalu tahu”

Perkara ini menunjukkan mereka mengetahui kewujudan Allah sebagai Ar-Rahman, namun mereka masih mengingkari-Nya. Jika mereka tidak menolaknya, pasti dari awal lagi orang kafir dan musyrik Makkah tidak menolak agama bawaan Nabi Muhammad s.a.w kerana agama Islam merupakan agama yang diturunkan Allah Ar-Rahman. Ayat-ayat Makkiyah penuh dengan tauhid ini, kerana ingin memperbetulkan penggunaan dan menyucikan nama-nama Allah dan semua sifat-Nya.

Allah berfirman
“Apakah dia menjadikan tuhan-tuhan yang banyak itu menjadi satu Tuhan sahaja? Sungguh ini memang satu kejutan!” (QS 38:5)

Sifat-Sifat Allah

Sifat Maksud

Sifat Wajib

Wujud Allah itu Ada

Qidam Allah itu Sedia

Baqa’ Allah itu Kekal

Mukhalafatuhu Lilhawadisi Bersalahan Allah dengan yang baru

Qiyamuhu Binafsih Berdri Allah dengan sendiri

Wahdaniyah Allah itu Esa

Qudrah Allah itu Berkuasa

Iradah Allah itu Berkehendak

Ilmu Allah itu Berilmu

Hayyun Allah itu Hidup

Sama’ Allah itu Mendengar

Basar Allah itu Melihat

Kalam Allah itu Berkata-kata

Kaunuhu Taala Qadiran Allah keadaan-Nya Berkuasa

Kaunuhu Taala Iradan Allah keadaan-Nya Berkehendak

Kaunuhu Taala Aliman Allah keadaan-Nya Berilmu

Kaunuhu Taala Hayyan Allah keadaan-Nya Hidup

Kaunuhu Taala Sami’an Allah keadaan-Nya Mendengar

Kaunuhu Taala Basiran Allah keadaan-Nya Melihat

Kaunuhu Taala Mutakalliman Allah keadaan-Nya Berkata-kata

Sifat Maksud

Sifat Mustahil

‘Adam Tiada

Hudus Baru

Fana Tidak kekal

Mumasaluhu Lilhawadis Bersamaan dengan yang baru

Ihtiyaju Lighairih Tidak berdiri dengan sendiri

Ta’addud Berbilang-bilang

‘Ajzun Lemah

Karahiyah Terpaksa

Jahlu Bodoh

Mautu Mati

Shaumu Pekak

‘Amaa Buta

Bukmun Bisu

Kaunuhu Taala ‘Ajizan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Lemah

Kaunuhu Taala Mukrahan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Terpaksa

Kaunuhu Taala Jahilan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Bodoh

Kaunuhu Taala Mayyitan (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Mati

Kaunuhu Taala ‘Ashamma (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Pekak

Kaunuhu Taala ‘Amaa (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Buta

Kaunuhu Taala Abkam (Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Bisu

Terdapat satu lagi sifat Allah, iaitu sifat jaiz (harus) kepada Allah. Allah bebas berbuat sekehendak-Nya, yakni jikalau Allah mahu, boleh saja Dia membuatkan hari ini hujan sepanjang hari, atau boleh saja Dia menghalang hujan dari turun. Inilah sifat jaiz bagi Allah.

Syirik dalam Penamaan Allah dan Sifat-Nya

Syirik peng-Esaan nama dan peng-Esaan sifat-sifat Allah kurang berat jika dibandingkan dengan syirik rububiyah atau uluhiyah. Namun, perlulah diingat bahawa semua syirik adalah sama. Hal ini boleh disamakan dengan tangga. Rang tangga yang dibawah sekali ialah syirik peng-Esaan nama dan peng-Esaan sifat-sifat Allah manakala rang tangga yang paling tinggi ialah syirik ta’thil, namun ia tetap merupakan tangga, tidak kira di atas atau di bawah. Syirik ini juga ada dua jenis:

1. Syirik penyerupaan Khaliq dengan makhluk Syirik penyerupaan Khaliq dengan makhluk ialah seperti mana seseorang yang menyatakan pendapatnya bahawa Allah itu mempunyai tangan yang sama dengan tangan manusia, atau deria dan cara Allah mendengar adalah seperti manusia. Syirik ini ialah syirik golongan Musyabbihat yang dikenali dengan nama Mujassimah atau Karamiyah.

Pada penghujung abad pertama hijrah, telah muncul fahaman Jahmiyah yang menolak sifat-sifat Allah yang menyerupai manusia seperti Ilmu dan Hayyun kerana ingin membezakan Allah dengan manusia, dan fahaman ini dikuatkan oleh fahaman Mu’tazilah yang muncul dizaman Abbasiyah. Maka Muhammad ibn Karam Abu Abdullah As-Sijistaniy telah muncul untuk melawan fahaman yang sesat ini. Namun dalam melawan golongan Jahmiyah dan Mu’tazilah, mereka menetapkan secara berlebih-lebihan sehingga menyerupakan Allah itu berjisim. Maka mereka yang berpegang dengan hujah ini telah dihukum syirik oleh Ahlu As-Sunnah wa Al-Jamaah.

2. Syirik penamaan Allah secara batil (salah) Syirik ini memberikan Allah nama yang batil ataupun menyingkirkan Allah dari nama-nama yang hak kepada-Nya. Golongan musyrik sering melakukan perkara ini. Mereka merubah Ar-Rahman kepada Rahmanul Yamamah seperti yang telah disebut di atas. Mereka juga memberi nama berhala mereka dengan nama-nama Allah yang telah mereka ubah. Ibn Abbas berkata:

“Mereka (orang Jahiliyah) mengumpat Allah pada nama-Nya, mereka menyekutukan-Nya. Daripada-Nya mereka namakan Latta dari kata Ilah dan Uzza dari kata Aziz.”

Hal ini amat dibenci Allah. Dalam Al-Quran, beberapa kali Allah menyentuh tentang perkara ini.

Allah berfirman
“Dialah Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Dia mempunyai asma al-husna (nama-nama yang baik).” (QS 20:8)

Dan Allah berfirman
“Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai asma ul-husna, dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solat dan janganlah pula kamu rendahkan dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.” (QS 17:110)

Sampai kepada firman Allah
“Allah mempunyai asma ul-husna, maka bermohonlah kamu kepada-Nya dengan menyebut asma ul-husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam menyebut nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (QS 7:180)

Hamka menulis dalam tafsirnya mengenai ayat surah Al-A’raf ayat 180. Menurut beliau, ayat tersebut bermaksud ‘janganlah dihiraukan orang-orang yang menyembah Allah dengan nama-nama yang tidak sesuai dengan sifat-sifat dan keagungan Allah, atau memakai asma ul-husna, tetapi dengan maksud menodai nama Allah atau menggunakan asma ul-husna untuk selain Allah’.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

1 Responses to Tauhid asma wa sifat

  1. nadeem ilyas berkata:

    very nicely described…keep it up and well done!

Tinggalkan komen