Kelambu Kaabah

Setiap tahun pada 9 Zulhijah iaitu hari wukuf bagi mereka yang mengerjakan haji dan sehari sebelum Aidiladha, kelambu Kaabah atau kiswah ditukar baru. Tahun ini, kiswah diturunkan pada 8 Zulhijjah atau 25 November apabila jemaah berhimpun di Mina dan kiswah baru dipasang pada hari berikutnya.

Rabu lalu, penjaga Kaabah paling tua, Sheikh Abdul Aziz ibn Abdullah Al-Shaibi menerima kiswah daripada Pengerusi Majlis Penjaga Dua Masjid Sheikh Saleh ibn Abdul Rahman Al-Hussain di kilang membuat kain berkenaan di Makkah.

Sheikh Abdul Aziz ialah keluarga Al-Shaibi yang mewarisi tugas menjaga kiswah dan mencuci Kaabah sejak Nabi Muhammad SAW menyerahkan kuncinya kepada keluarga beliau.

Sejak dibina 74 tahun lalu oleh Raja Abdul Aziz, setiap tahun, kilang menghasilkan kiswah tidak pernah berhenti melaksanakan tugas menggunakan kepakaran warga Saudi sendiri.

Kain sutera asli berwarna hitam 670 kilogram dan berharga RM15.21 juta (AS$4.5 juta) itu dihiasi ayat suci al-Quran yang ditenun menggunakan 150 kilogram emas serta perak. Ia berukuran 658 meter persegi dan mengandungi 47 kain yang setiap satu berukuran 14 meter panjang dan 95 sentimeter lebar.

Kiswah terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu sitaar (langsir) yang menutup pintu Kaabah, tirai menutup dinding dan hizam (tali pinggang) Kaabah.

Langsir pintu Kaabah setinggi 6.5 meter dan 3.5 meter lebar menggunakan kain sutera dengan lapisan kain hijau nipis yang dihiasi ayat al-Quran dengan corak keislaman menggunakan sulaman dan tenunan benang emas serta perak.

Tirai menutup badan Kaabah dihiasi tenunan dan sulaman tangan. Ia dihasilkan dengan merendam kain sutera dengan pewarna hijau kemudian dilukis untuk menghasilkan rekaan tenunan.

Masa paling lama diambil ialah menyudahkan sulaman dan tenunan. Sutera hijau dijahit untuk menutup dinding dalam Kaabah dan lelangit. Kebiasaannya, lapisan berkenaan berubah setiap tiga hingga lima tahun.

Hizam atau sabuk Kaabah adalah kerja seni yang sangat indah. Sabuk mengikat dua pertiga daripada tirai dan bahagian atas Kaabah, sekali pandang hizam seakan mahkota untuk rumah Allah berkenaan kerana ia disulam indah dengan benang emas.

Tenunan dan ikatan hizam sepanjang 47 meter dan lebar 95 sentimeter itu menggunakan reka bentuk berunsur keislaman menggunakan kabel perak yang padat disaluti emas.

Kaabah dibasuh dua kali setahun iaitu pada Syaaban dan Zulhijah. Sejak dulu Kaabah dibasuh dengan air Zamzam dan minyak atar.

Tidak diketahui tarikh sebenar tradisi memasang kiswah mula dilaksanakan, namun ada beberapa pendapat menyatakan ia bermula sejak zaman Nabi Ismail.

Diriwayatkan, orang pertama yang meletakkan kiswah Kaabah ialah Tubbak al-Himyariyy Asad Abi Karb atau Raja Yaman kira-kira 220 tahun sebelum Hijrah yang menggunakan kain buatan Yaman ditenun benang perak. Ada pendapat menyatakan datuk Nabi Muhammad, Adnan Ad ialah orang pertama berbuat demikian.

Tradisi itu diteruskan raja dan pembesar Arab yang menyediakan kelambu Kaabah daripada pelbagai warna antaranya putih, kuning, hijau dan hitam menggunakan kain sutera kasar.

Bagaimanapun, ketika itu mereka tidak membuka kelambu Kaabah yang lama sebaliknya terus meletakkan kain baru di atasnya dan membiarkan kelambu lama hancur sendiri. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, kelambu Kaabah ditukar dua kali setahun iaitu sebelum Ramadan dan hari wukuf ketika musim haji.

Sebelum kedatangan Islam iaitu ketika Kaabah di bawah penguasaan kaum Quraisy, mereka menggunakan kain sutera sebagai kiswah. Selepas penaklukan kota Makkah oleh orang Islam pada tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW memasang kiswah menggunakan kain tenunan Yaman, diikuti Khalifah Abu Bakar dan Umar Ibn Khattab. Bagaimanapun, Saidina Uthman menggunakan kain qibti ketika pemerintahannya. Kain sutera digunakan semula untuk kiswah pada pemerintahan Khalifah Abdul Malik Marwan.

Selepas itu Kerajaan Mesir dipertanggungjawabkan untuk menghasil dan membekalkan kiswah serta memastikan ia dihantar ke Makkah setiap tahun sebelum Ramadan dan sebelum 9 Zulhijah.

Ketika zaman Uthmaniah, pemerintah ketika itu memastikan kiswah dihiasi sulaman dan tenunan benang emas. Ketika itu, penggunaan kain sutera hitam diperkenalkan dan sehingga ke hari ini ia kekal berwarna hitam.

Pada 1342 Masihi, Raja Mesir, Sultan al-Malik as-Saleh Ismail yang prihatin dengan penyediaan kiswah membeli tiga kampung, Basus, Sandabis dan Abil Ghit di daerah Qalyub untuk dijadikan wakaf bagi mendapatkan hasil tenunan membuat al-kiswah.

Sultan Salim Al Usmani kemudian membeli pula tujuh kampung bagi tujuan sama.

Ketika Mesir diperintah Mohammad Ali Basya, diwujudkan pula jawatan khusus bagi urusan pembuatan kiswah. Kelambu Kaabah yang dihasilkan di Mesir dikirim ke Makkah melalui Sinai menjelang musim haji setiap tahun.

Bagaimanapun, ketika peperangan pemerintah Mesir tidak menghantar kelambu Kaabah seperti lazimnya pada 1924 dan 1925. Pemerintah Arab Saudi waktu itu Raja Abdul Aziz sangat terkejut, sedangkan ketika itu mereka sudah bersiap sedia menyambut jemaah yang mahu menunaikan haji.

Raja Abdul Aziz kemudian mengarahkan kelambu Kaabah buatan Iraq yang sudah siap, tetapi belum dipakai dan disimpan dalam gudang dikeluarkan dan diletakkan pada Kaabah.

Tindakan Raja Abdul Aziz dapat menyiapkan kelambu Kaabah yang cukup lengkap dalam tempoh 10 hari begitu menghairankan pemerintah Mesir waktu itu.

Rentetan itu, Raja Abdul Aziz mengambil keputusan mendirikan kilang khusus untuk membuat kiswah dan pada 1926 (1346 Hijrah) dengan Sheikh Abdul Rahman Muzhar dilantik menjadi pengurus pertama kilang berkenaan.

Kerajaan Mesir mengeluarkan larangan penghantaran kiswah ke Makkah menyebabkan Raja Abdul Aziz segera mengumpulkan pakar kaligrafi, tukang tenun, tukang jahit dan pakar pencelup yang bertungkus-lumus menyiapkan kelambu Kaabah dalam beberapa bulan saja.

Kiswah hasil kerja tangan anak tempatan berjaya disiapkan setahun kemudian. Menariknya, kiswah itu diperbuat daripada kain tebal bermutu tinggi, diperindahkan dengan kaligrafi daripada benang perak bersadur emas, manakala tabir pintu Kaabah diperbuat daripada sutera asli bersulamkan benang perak bersadur emas.

Pada musim haji tahun itu dan tahun seterusnya hingga ke hari ini, Kaabah dipasang dengan kiswah buatan Arab Saudi.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s