Sejarah pembinaan Kaabah

Binaan Nabi Ibrahim:

Binaan Nabi Ibrahim a.s merupakan satu-satunya binaan yang disebut di dalam al-Quran

Meninggikan Asas (Tapak):

1. Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah pergi ke Mekah untuk menunaikan perintah Allah s.w.t supaya membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s: Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku dengan satu perkara, lalu Ismail a.s berkata: Lakukanlah apa yang telah diperintahkan Allah kepada kamu. Nabi Ibrahim a.s bertanya: Adakah kamu akan menolongku? Nabi Ismail a.s menjawab: Aku akan menolongmu, lalu beliau berkata: Sesungguhnya Allah memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di sana, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya. Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawakan hajar ini dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas hajar tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah s.w.t:

(رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ، وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ، وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ، رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ ءَايَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ، إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ.)
Yang bermaksud: (Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa mereka) dari (syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana).
Sehinggalah Allah menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua.

2. Tidak terdapat riwayat sahih yang menyatakan Baitullah telahpun dibina sebelum Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s. Sesiapa yang berpegang kepada firman Allah s.w.t:

(وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ)
Yang bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Baitullah (untuk membinanya), ataupun Firman Allah s.w.t:

(وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ)
Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, maksud yang dikehendaki pada ayat-ayat tersebut ialah tempat pembinaan Kaabah tersebut telahpun tetap dalam pengetahuan Allah semenjak menciptakan langit dan bumi. Ini menunjukkan tempat pembinaan Kaabah itu telahpun dimaklumi, manakala pembinaan Baitullah pula telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim Al-Khalil dan anaknya Nabi Ismail a.s. Khabar-khabar yang menyatakan Baitullah telah dibina sebelum Nabi Ibrahim a.s adalah diriwayatkan daripada Bani Israel, kita tidak boleh membenarkannya dan mendustakannya, hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

3. Ketika Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah tersebut beliau menjadikan:
* Tingginya sembilan hasta.
* Panjang di paras bumi dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam 32 hasta.
* Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat 22 hasta.
* Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman 31 hasta.
* Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad 20 hasta.

Beliau membina pintu rapat ke bumi, tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba’ Al-Himyari telah membina sebuah pintu dan meninggikannya.
Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah binaan yang sempurna, mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun, hanya Allah sahaja Yang Amat Mengetahui.

Binaan Malaikat:
Allah s.w.t berfirman kepada Malaikat:

(إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً)
Yang bermaksud: Sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang khalifah di muka bumi.

Malaikat bertanya: (Wahai Tuhan kami,) Adakah Engkau ingin menjadikan khalifah selain daripada kami yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, dengki mendengki dan benci membenci?

(وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ)
Yang bermaksud: Padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu.

Mentaati Engkau dan tidak memaksiati Engkau.

Allah s.w.t berfirman:

(إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ)
Yang bermaksud: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Malaikat menyangka Tuhan mereka menolak pertanyaan tersebut. Sesungguhnya Allah membenci mereka disebabkan kata-kata mereka. Mereka berlindung di bawah Arasy dengan mengangkat kepala dan mengisyaratkan dengan jari memohon sesuatu serta menangis kerana takutkan kebencianNya.

Mereka Tawaf mengelilingi Arasy sangat lama. Allah memandang mereka kemudian menurunkan rahmat kepada mereka. Allah membina sebuah rumah di bawah Arasy yang diberi nama Baitulma’mur. Allah memerintahkan para Malaikat supaya tawaf di Baitulma’mur dan tinggalkan Arasy. Para Malaikat telah melakukan tawaf di Baitulma’mur sehingga jumlah yang memasukinya siang dan malam seramai tujuh puluh ribu malaikat. Mereka tidak kembali lagi buat selama-lama. Kemudian Allah mengutuskan para Malaikat turun ke bumi dan berfirman kepada mereka: Binalah sebuah rumah untukKu di bumi sepertinya. Allah s.w.t memerintah seluruh makhlukNya di bumi supaya tawaf mengelilingi Baitullah sebagaimana penghuni langit tawaf mengelilingi Baitulma’mur.

Binaan Nabi Adam a.s:

1. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t telah mengutuskan Jibril kepada Nabi Adam a.s serta Hawa membawa firman kepada keduanya: Binalah untukKu sebuah rumah. Jibril telah menggariskan (rangka) kepada keduanya lalu Nabi Adam a.s menggali tanah manakala Hawa mengangkutnya sehinggalah air menyahut serta menyeru dari bawah beliau meminta agar berhenti menggali dengan kata-kata: Cukuplah wahai Adam!
2. Setelah selesai membinanya, Allah mewahyukan kepada beliau supaya tawaf mengelilinginya dan dikatakan kepada beliau: Engkau adalah manusia pertama. Inilah rumah pertama yang dibina sehinggalah setelah beberapa kurun, Nabi Ibrahim a.s telah meninggikan tapak Kaabah tersebut. Orang pertama yang mengasaskan Kaabah kemudian menunaikan sembahyang serta tawaf mengelilinginya ialah Nabi Adam a.s.

Binaan Syith:
1. Setelah Nabi Adam a.s wafat, anak-anaknya telah membina Kaabah dengan menggunakan tanah dan batu. Diriwayatkan bahawa orang yang membinanya ialah Syith a.s. Mereka sentiasa mendiami dan memakmurkan Baitullah dan begitulah juga dengan orang-orang yang selepas mereka sehinggalah tiba zaman Nabi Nuh a.s. Kawasan tersebut ditenggelami air dan tidak dapat dikesani.
2. Mengikut sesetengah israiliat (tokok tambah) sebagaimana yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih bahawa Nabi Adam a.s telah membina khemah pada Kaabah. Apabila beliau wafat, khemah tersebut telah diangkat oleh Allah. Anak-anaknyalah yang membuat pembinaan pertama terhadap Kaabah.

* Ketiga-tiga pendapat yang lepas iaitu binaan para Malaikat, binaan Nabi Adam a.s atau binaan Syith a.s tidak mempunyai dalil yang jelas. Kami dapati ketiga-tiga pendapat tersebut terbukti kedhaifannya. Para ulama telah bersepakat bahawa orang pertama yang membina Kaabah ialah Nabi Ibrahim a.s.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

One Response to Sejarah pembinaan Kaabah

  1. Habibullah says:

    Mohon tuan menyediakan no. Hadis bg hadis nabi yg menceritakan pembinaan kaabah dr nabi adam

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s