Hikmah bersuci atau taharah

Pada bahasa taharah bermaksud nazafah ia itu bersih daripada kotoran.

Pada istilah: Menghilangkan hadas dengan berwudhu`, mandi dan tayammum. Taharah juga disebutkan sebagai melakukan perbuatan yang mengharuskan sembahyang atau sesuatu yang hukumnya sama denan dengannya. Ia merujuk penggunaan air atau alat bersuci yang lain seperti tanah.

Hadas pula ialah keadaan tidak suci diri yang menghalang seseorang itu mengerjakan sembahyang. Adanya hadas menyebabkan sembahyang batal.

Taharah juga bermaksud menyucikan badan, pakaian dan tempat daripada kekotoran dan kumuhan badan.

Al-Qur`an Dan Taharah

Terdapat banyak ayat al-Qur`an yang menyebutkan keutamaan bersuci. Antaranya ialah:

Allah s.w.t. memuji orang yang menjaga taharah

فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah al-Taubah: 108)

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَ يُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)

Ayat ini menunjukkan taharah atau suci mempunyai dua jenis, suci diri daripada dosa dan daripada kotoran hadas. Kotoran dosa itu disucikan dengan taubat manakala kotoran hadas disucikan dengan mandi junub.

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (Surah al-Muddathir: 4)

Bersih pada pakaian bererti tubuh badan juga mesti bersih. Tidak ada ma’na jika hanya bersih pakaian sahaja tetapi tubuh kotor.

Taharah Salah Satu Daripada Maqasid Shari’ah Yang Utama

Hukum-hukum yang ditaklifkan kepada manusia bertujuan untuk mendatangkan kebaikan kepada mereka dan menghindarkan dari sebarang kemudharatan.

Matlamat utama didatangkan peraturan syariat ialah supaya manusia mengabdikan diri kepada Allah, taat dan patuh mengerjakan perintahnya dan keluar daripada tunduk kepada hawa nafsu.

Sebagai salah satu ibadat, taharah mempunyai beberapa rahsia yang ma’nanya itu boleh dicapai dan difikir oleh aqal. Taharah disyariatkan bukan untuk menyusahkan manusia tetapi supaya manusia itu berada dalam keadaan suci dan bersih daripada kotoran ma’nawi dan hissi.

مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. (Surah al-Ma`idah: 6)

Kesempurnaan ni’mat akan dicapai dengan beradaanya seseorang itu dalam keadaan suci. Kesihatan dan kesejahteraan dalam kehidupan berpunca daripada kehidupan yang suci pada dua aspek penting ma’nawi dan hissi, rohani dan jasmani. Oleh kerana itu, sepatutnya seseorang bersyukur kepada Allah s.w.t. dengan mengerjakan ibadat. Ya’ni setelah dia mempersiapkan dirinya dengan taharah maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang yang merupakan ibadat yang paling besar dan sembahyang tidak akan diterima tanpa taharah.

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ

Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya. (Surah al-Anfal: 11)

Taharah Dan Fitrah

Pada fitrahnya manusia suka kepada kebersihan dan merasa tidak selesa terhadap kekotoran. Disyari’atkan taharah kerana ia bersesuaian dengan fitrah manusia. Ini kerana manusia yang sempurna sifatnya cenderung kepada kebersihan dan tidak suka kepada kekotoran. Sebagai agama fitrah, Islam memerintahkan supaya seseorang itu menjaga kebersihan.

عن أَبي هريرة رضي الله عنه عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : الفِطْرَةُ خَمْسٌ ، أَوْ خَمْسٌ مِنَ الفِطْرَةِ : الخِتَانُ ، وَالاسْتِحْدَادُ ، وَتَقْلِيمُ الأظْفَارِ ، وَنَتْفُ الإبطِ ، وَقَصُّ الشَّارِبِ. متفقٌ عَلَيْهِ .

Daripada Abu Hurayrah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: Fitrah itu lima perkara atau lima perkara daripada fitrah: berkhitan, istihdad (menggunakan penyukur untuk bulu ari-ari), mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan memotong misai. (al-Bukhari, no: 847, Muslim no: 252)

عن عائشة رضي الله عنها ، قالت : قَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم : عَشْرٌ مِنَ الفِطْرَةِ : قَصُّ الشَّارِبِ ، وَإعْفَاءُ اللِّحْيَةِ ، وَالسِّوَاكُ ، وَاسْتِنْشَاقُ المَاءِ ، وَقَصُّ الأظْفَارِ ، وَغَسْلُ البَرَاجِمِ ، وَنَتف الإبْطِ ، وَحَلْقُ العَانَةِ ، وَانْتِقَاصُ المَاءِ )) قَالَ الرَّاوِي : وَنَسِيْتُ العَاشِرَةَ إِلاَّ أنْ تَكُونَ المَضمَضَةُ. رواه مسلم .

Daripada ‘A`ishah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sepuluh perkara daripada fitrah: memotong misai, melebatkan janggut, bersugi, memasukkan air dalam hidung, mengerat kuku, membasuh lipatan jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, menggunakan air untuk intinja` dan perawi berkata, saya lupa yang kesepuluh, tetapi mungkin ia adalah berkumur. (Muslim no: 261)

Taharah Dan Kemuliaan Insani

Taharah bererti menjaga kemuliaan diri sebagai seorang yang manusia kerana sesungguhnya orang yang disenangi oleh orang lain ialah orang yang menjaga kebersihan diri, pakaian dan tempat tinggal. Oleh kerana Islam menekankan penjagaan kemuliaan diri maka ia menyuruh penganutnya menjaga kebersihan supaya menjadi seorang yang mulia dan terhormat di kalangan saudaranya.

Taharah Dan Kesihatan

Kedua-dua perkataan ini saling berkaitan rapat. Tidak ada kesihatan melainkan dengan menjaga kebersihan. Kebanyakan punca penyakit ialah kekotoran dan pencemaran yang berlaku. Anggota seperti muka, tangan dan kaki seringkali terdedah kepada kekotoran. Sebab itulah disyari’atkan supaya beristinja`, berwudu’ sekurang-kurangnya lima kali sehari dan mandi.

عَنْ جَابِرٍ وَهُوَ ابْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ كَمَثَلِ نَهْرٍ جَارٍ غَمْرٍ عَلَى بَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ

Daripada Jabir iaitu bin Abdullah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perumpamaan sembahyang lima waktu itu seperti sebatang sungai yang mengalir dengan banyaknya di hadapan pintu rumah seseorang daripada kamu, di mana dia mandi lima kali sehari. (Muslim, no: 668)

Hadis ini walaupun menunjukkan perbandingan orang bersembahyang itu bersih daripada kotoran batinnya tetapi juga menunjukkan pentingnya apa yang dibuatkan perbandingan sepertinya iaitu mandi lima kali sehari atau berwudu` lima kali sehari.

Taharah Dan Munajat Di Hadapan Allah S.W.T.

Sudah menjadi peraturan di kalangan umat manusia apabila mahu mengadap raja atau pihak yang berkuasa maka orang itu diwajibkan menghilangkan segala kotoran badan dan bau yang tidak menyenangkan kemudian memakai pakaian kemas dan lengkap. Jika tidak pasti ia akan diusir keluar atau tidak dibenarkan masuk sama sekali. Jika begini keadaannya dengan raja yang seorang manusia, bagaimana pula adab dengan Raja kepada sekalian makhluk.

Apabila seseorang itu bersuci dengan berwudu` dan sebagainya kemudian memakai pakaian yang sebaiknya bererti dia telah bersiap sedia untuk berdiri di hadapan Allah s.w.t.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَ يُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)

Pembahagian Taharah

Pertama, taharah zahir yang dapat dilihat pada tubuh badan, pakaian dan tempat. Kedua, taharah batin iaitu mensucikan batin daripada kotoran batiniah merangkumi syirik, kufur, ma’siat kefasikan dan dosa.

Mensucikan batin merupakan maksud yang terpenting pengutusan Rasulullah s.a.w. kepada umat manusia.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syara’). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Surah al-Jumu’ah: 2)

This entry was posted in Uncategorized and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s