Seks dalam ajaran sesat

Salah satu tugas pemimpin negara adalah menjaga keselamatan akidah umat Islam dan kesucian agama daripada dicemari oleh ajaran sesat atau penyelewengan dalam agama Islam terutama berkaitan dengan akidah. Tidak dinafikan, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), telah berusaha menangani persoalan ini walaupun diakui masih terdapat 34 lagi ajaran sesat yang masih aktif.

Persoalannya, ajaran sesat tidak boleh diambil ringan dan perlu diberi keutamaan oleh kepimpinan negara kerana ia membabitkan akidah umat Islam.

Terdapat isu nikah secara batin yang dilakukan secara orang perseorangan atau secara berkumpulan yang berselindung di sebalik nama institusi perbomohan. Walaupun perkembangan teknologi yang serba canggih dan pembangunan manusia yang serba moden dan kompleks, perkhidmatan bomoh, pawang dan dukun masih lagi menjadi tumpuan masyarakat.

Bagaimanapun, dalam kerancakan ini, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana yang harmoni dengan mencampur-adukkan pelbagai rencah yang dicedok daripada acuan yang sama sekali berlainan dengan nilai-nilai masyarakat Islam. Dari dahulu lagi isu nikah batin ini sukar untuk ditangani kerana mereka pandai menyembunyikannya dan sesetengahnya berselindung di sebalik ajaran tasawwuf.

Atas dasar kepentingan diri sendiri, institusi perbomohan dan perdukunan dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Atas dasar yang sama juga, ada pihak yang cuba menyebarkan ajaran sesat dan membuat pengikut taksub kepada pemimpin mereka sehingga rela mengorbankan apa sahaja hatta isteri yang dicintai untuk kepuasan pemimpin mereka.

Walaupun perlakuan segolongan ini tidak dapat diterima oleh akal yang sihat, tetapi ketaksuban ini menjadikan mereka lupa diri sehingga menimbulkan masalah yang berpanjangan kepada masyarakat sekeliling.

Biasanya gejala penipuan daripada bomoh palsu melibatkan jenis perbomohan seperti rawatan kebatinan, ilmu guna-guna dan azimat, sehinggalah kepada soal nikah batin yang sudah lama wujud dalam masyarakat Islam, tetapi jarang yang menyedari kewujudannya.

Nikah batin muncul dalam masyarakat penganut Islam gara-gara ajaran tarekat sesat daripada guru-guru ajaran tarekat palsu. Biasanya, nikah batin dihubungkaitkan dengan makam kasyaf guru tarekat sesat itu yang kononnya mendapat ilham rabbani. Kononnya, seseorang perempuan (muridnya) telah dikahwinkan oleh Tuhan dengannya. Nikah batin ini lebih sesat daripada nikah mutaah. Jika nikah mutaah pernah dibenarkan dalam Islam yang kemudiannya dimansuhkan oleh Nabi s.a.w, sebaliknya nikah batin tiada sebarang hujah dalam Islam.

Oleh kerana pengikutnya sudah diindoktrinasi (dirasuk fikiran) menerima gurunya sebagai orang yang memperoleh ilmu kasyaf dan ilmu ladunni (ilmu terus daripada Allah), maka soal nikah batin itu dianggap pencapaian taraf guru yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Lalu guru mursyid tarekat sesat itu boleh berzina dengan sesiapa sahaja dari kalangan murid perempuan yang cantik dan memberahikan, sehingga berlaku pula isteri kepada murid lelaki bernikah batin dengan gurunya.

Di Malaysia sahaja, setiap ajaran sesat mengumpan mangsa-mangsa mereka dengan “syurga rahsia”,’ iaitu dengan istilah lain “nikah batin”. Untuk mengenali ciri-ciri ajaran sesat di Malaysia, di antaranya ialah golongan ini memansuhkan syariat Islam dan mengadakan syariat baru, meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamal suluk, penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin, menghalalkan nikah adik-beradik, semua manusia boleh melihat Allah di dunia ini, nikah menurut syariat hanyalah mengikut adat, sebab itu dikehendaki dinikahkan sekali lagi dengan nikah batin, murid-murid tidak boleh mengahwini wanita-wanita yang diminati oleh gurunya dan bagi mereka Islam itu ada zahir dan batin, zahir itu kulit dan batin itu isi. Apabila dapat isi, maka kulit tidak berguna lagi.

Kebanyakan ajaran sesat di Malaysia, guru-guru mereka mengaku diri mereka sebagai Imam Mahadi dan boleh melakukan upacara nikah batin. Jelas bahawa kebanyakan ajaran sesat di Malaysia menggunakan seks sebagai tarikan kepada ajaran mereka dan kebanyakan yang menjadi mangsa mereka adalah wanita.

Di kalangan wanita Islam yang sering tertipu oleh perangkap guru tarekat dengan nikah batin ini adalah dari kalangan mereka yang jahil dan tiada pengetahuan asas agama.

Dari hakikat ini, kerjasama dari semua pihak amat diperlukan bagi menangani masalah itu yang timbul akibat kegiatan ajaran sesat yang muncul bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Jakim sebagai agensi pusat yang menyelaras semua perkara yang berkaitan dengan agama Islam haruslah meningkatkan lagi usaha membanteras gejala ajaran sesat ini di samping peranan pihak berkuasa agama negeri menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas tanpa kompromi dengan golongan ini.

Perbomohan palsu yang dipelopori oleh orang perseorangan atau berkumpulan juga merupakan sebahagian daripada ajaran sesat yang boleh membawa ancaman kepada umat Islam di negara ini. Tujuan sebenar kumpulan mereka ini adalah untuk menghancur dan merosakkan ajaran Islam yang suci ini. Untuk mencapai matlamat tersebut, mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mempengaruhi masyarakat Islam yang tidak mempunyai pegangan akidah yang kukuh.

Mereka memperkenalkan ajaran baru yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Dengan cara ini mereka dapat melemahkan dan merosakkan pegangan umat Islam terhadap akidah Islamiah. Alam mistik dan kebatinan kepada orang Melayu sebenar bukan sesuatu yang baru untuk diperkatakan.

Semenjak permulaan kependudukan masyarakat Melayu di sini, mereka telah mula melihat alam sekeliling yang mempunyai kaitan dengan kehidupan mereka walaupun tidak ada pengkhususan ilmu ketika itu. Perkaitan ini telah menjadikan mereka sebagai manusia yang peka dan sensitif serta mengaplikasikannya dalam cara dan budaya hidup sehingga menjadi satu cara hidup yang sukar dipisahkan.

Tetapi masyarakat Melayu sendiri sebenarnya telah mengalami evolusi yang mengagumkan. Sehingga sekarang nilai-nilai Islam telah begitu sebati dan menjiwai setiap etika hidup orang Melayu.

Dalam hal ini, masih ada yang mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri. Kewujudan ajaran sesat sedikit sebanyak menjejaskan akidah dan juga perpaduan di kalangan orang Melayu. Mereka ini berselindung di sebalik agama demi kepentingan diri sendiri.

Demikian jugalah dengan bomoh palsu yang berselindung di balik takbir pengubatan tradisional untuk mengaut keuntungan, memperdayakan pesakit, dan sebagainya, sehingga ia dipandang serong oleh masyarakat. Ibarat kata, akibat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sesungguhnya, bukankah syaitan itu telah berjanji di depan Allah akan menyesatkan manusia dengan apa cara sekali pun. Mereka akan terus mengganggu atau mencederakan jasad atau roh manusia dengan izin Allah sama ada secara halus mahupun tidak disedari oleh manusia itu sendiri sehingga hari kiamat.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s