Diantara Yoga Hindu dan Tarikat

MATLAMAT yoga Hindu dan tarekat tasauf seakan-akan sama iaitu mahukan mystical union atau fang atau lebur diri. Latihan pernafasan ada dalam yoga juga dalam tasauf tarekat Naqsyabandiyah. Isu ini bukanlah baru.

Kedengaran banyak rungutan kebelakangan ini kerana orang ramai amat tidak senang dengan program televisyen di negara ini yang menggalakkan orang ramai bersenam cara yoga. Mereka ingin tahu tentang yoga dan Islam.

Penulis berpendapat memang ada pengaruh yoga Hindu dalam doktrin tasauf Islam. Matlamat yoga dan tasauf seakan-akan sama iaitu mahu mencapai mystical union dengan Allah atau nirwana. Ini adalah hampir menyamai fana dalam tasauf Islam.

Jika perkara ini hanya kebetulan, tasauf sudah mengadakan bidaah; jika memang hakikat ini adalah pengaruh wahat al-wujud Hindu (bermaksud Brahma atau Tuhan ialah segala-galanya). Ini bererti tarekat dan tasauf adalah Islam kehinduan.

Hakikat ini boleh disaksikan dengan jelas apabila mengkaji matlamat senaman yoga termasuk pentingnya berlatih cara pernafasan. Tarekat Naqsyabandiyah juga ada latihan pernafasan.

Penulis pernah terlihat sekumpulan pelajar duduk di tanah lapang dan bersama mereka seorang Sikh menyebut ‘om’ atau ‘aum’ jelas kedengaran beberapa kali. Selepas itu penulis lihat bagaimana mereka berlatih melakukan pelbagai gaya senaman yoga (pelbagai gaya kedudukan badan dalam mengamalkan senaman yoga).

Buku-buku yoga dalam bentuk saiz poket dengan pelbagai judul boleh didapati di kedai-kedai buku, sama ada di dalam atau di luar kampus universiti itu. Ini menunjukkan yoga mendapat perhatian masyarakat setempat.

Masyarakat Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) adalah masyarakat mengejar kebendaan yang tidak mengenal puas menjadikan rohaniah mereka kekosongan.

Semasa di Universiti Columbia, New York, penulis sempat memerhati aktiviti di sebuah gereja di pinggir kampus. Hanya beberapa orang berumur yang berulang-alik sembahyang pada hari Ahad di gereja itu. Pemuda dan pemudi tidak kelihatan. Gejala ini menunjukkan bahawa gereja tidak dapat mempengaruhi jiwa muda mereka.

Penulis juga berkesempatan memerhati dan mendengar ramai pemuda dan pemudi rancak menyeru: ‘Hare Krisna Hare Rama Hare Hare’ di jalan-jalan terbuka, berpakaian kuning membalut badan seperti sari Buddha dengan memalu gendang dan alat-alat muzik India yang lain.

Kumpulan ini mempunyai 26 cawangan termasuk di luar AS iaitu Hamburg, London, Paris, Toronto dan Vancouver. Itu pengalaman tahun 1970-an.

Melihat yoga dari dekat ialah mencantum dan mengaitkan roh individu dengan roh universal di mana sekali imbas pandangan itu adalah janggal, tetapi apabila kita renungi matlamat asas Kristian, kenyataan tersebut adalah munasabah.

Perbezaan asas di antara kedua-dua kenyataan ini ialah bagi Kristian, kesatuan itu selepas mati, manakala bagi yoga, dengan latihan yang gigih semasa hidup di dunia ini dapat mencapai penyatuan roh ketuhanan.

Apabila disebut yoga ialah mencantum dan mengaitkan roh individu dengan roh universal (Union of the Personal Spirit of God), ini menyerupai ajaran tasauf yang digelar ittihad dan/atau wahdat al-wujud dan atau al-fana.

Manakala apabila kita renungi matlamat asas Kristian iaitu penyatuan abadi roh dengan Tuhan bererti yoga sesuai dengan akidah Kristian.

Jika ini ada dalam Kristian maka konsep seperti itu tidak ada dalam Islam kecuali tasauf yang mereka gelar fana. Fana tidak ada dalam Quran dan sunah. Adakah kaum tasauf mencipta sendiri?

Adakah ini bererti bidaah diambil daripada Hindu? Ini dakhil al-Islam, bererti mereka menambah ajaran Islam. Memang Hindu agama wahdat al-wujud. Fakta ini pun sudah cukup bagi menunjukkan bahawa yoga itu ajaran agama Hindu yang menyalahi akidah Islam, tetapi tidak menyalahi ajaran tasauf Islam.

Di antara falsafah yoga adalah untuk mendapatkan ketenteraman jiwa dan kesihatan badan. Erti asal kata yoga ialah ‘kok’ atau ikat. Yoga adalah satu cara disiplin dan ikatan seseorang dengan roh alam.

Bhagavad Gita sebuah kitab suci Hindu adalah sumber utama ajaran yoga.

Dalam mencari ketenteraman jiwa di antara lain ialah menerima ajaran falsafah Hindu yang mengutuk kebendaan. Kerana inginkan kebendaan inilah yang menyebabkan manusia hidup gelisah dan kecewa. Buangkan keinginan tiadalah kecewa.

Mengamalkan

Berusahalah dengan sedaya upaya supaya keinginan itu dapat dikikiskan. Yang bersikap begini ialah falsafah Hindu ortodoks dan Theravada Buddhism. Mereka perlu mengamalkan yoga yang antara lain termasuklah sikap menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menarik berahi nafsu dengan pergi bertapa ke dalam gua-gua atau dalam rimba belantara. Kosongkan fikiran daripada sebarang keinginan.

Insan idola bagi Hindu-Buddha ialah orang yoga; orang yang berusaha membasmikan perbezaan di antara diri dan objek-objek, malah basmikan perbezaan di antara objek-objek itu sendiri.

Terdapat banyak risalah yang menerangkan bagaimanakah cara mengamal dan melakukan ansana yoga. Semua ini dengan tujuan dapat bersatu dengan roh alam.

Di antaranya sebelum melakukan ansana, yoga ini adalah dianggap penting mengetahui cara melakukannya yang betul: (a) melakukan dan menguasai cara-cara bernafas (bukan lagi seperti cara bernafas biasa sehari-hari); (b) berdoa, termasuk menyebut kalimah suci ‘om’ atau ‘aum’; dan (c) bermeditasi. Kesemuanya ini adalah cara agama Hindu.

Cara meditasi utama ketika hendak mengamalkan yoga ialah konsentrasi pada satu titik. Ini mungkin merupakan perkara fizikal, seperti titik cahaya di dinding, memusatkan perhatian mata kepada batang hidung sendiri atau boleh jadi satu buah fikiran atau kewujudan Tuhan sendiri. Semua fikiran yang bertaburan dan perhatian yang berselerak jadi tersusun rapi ditujukan kepada maha satu.

Tujuannya ialah supaya boleh dikuasai, boleh dihapuskan atau semua fikiran yang bercelaru, sama ada datangnya dari pancaindera atau kesedaran batin diikat-sekat dengan melakukan konsentrasi. Pengamal yoga sebenar mengamalkan konsentrasi ini ke atas satu titik pada bila-bila masa, dan terhapuslah kecelaruan fikiran.

Mengamal yoga adalah keriangan sejati yang tiada taranya. Jika ada amalan pernafasan di kalangan orang Islam seperti dalam tarekat tasauf Naqshabandi, kemungkinan semuanya itu berasal dari yoga Hindu atau bidaah rekaan sendiri. Tidak boleh disebut amalan agama Islam kerana tidak ada asal dalam Quran dan sunah.

Sehingga kini tiada terdengar yoga Islam tetapi ada sebuah buku bertajuk Christian Yoga ditulis oleh seorang paderi Katholik, J. M. Dechanel. Buku ini mengatakan mengamalkan yoga digalakkan sebagai jalan ke arah merealisasikan ajaran Kristian.

Yoga sebagai ‘sambungan’ atau ‘kok’ Roh Individu dengan Roh Alam, (Atma dengan Brahma) iaitu kesatuan Roh Individu dengan Tuhan. Matlamat terakhir dalam ajaran Kristian ialah bersatu roh dengan Tuhan selepas matinya jasad, tetapi bagi Hindu dalam Hindu pun sudah boleh dicapai. Mereka gelar Tuhan itu Brahma: Atma bersatu dengan Brahma.

Bezanya dengan Kristian bersatu itu selepas mati tetapi bagi Hindu tercapainya kesatuan itu semasa nyawa masih dikandung badan di dalam dunia ini lagi.

Terdapat di kalangan orang Melayu apabila mengeluarkan nafas sebut Allah dan apabila menarik nafas sebut Hu. Amalan seperti ini digelar zikir nafas. Dalam kitab Pati Rahsia ada mengandungi bab membicarakan ilmu nafas dengan panjang lebar.

Jika ada orang yang mengamalkan senaman asana-asana tanpa memikirkan falsafahnya dan kehinduannya, jika dia berjaya sampai ke peringkat dapat beribadat dengan Brahman, dan mengalami serta mendapat keriangan yang tiada taranya, dia akan menjadi seperti kebanyakan ahli tasauf mulhid atau menganut wahdat al-wujud, syariat Islam akan menjadi ejekannya.

Hakikatnya, kurang senaman adalah salah satu penyakit kemajuan dunia moden: perang merebut hasil minyak dari dalam tanah, memaksa orang menggunakan sebarang alat bermotor bagi membolehkan minyak dijual. Hidup bernadikan segala-galanya dengan kuasa minyak, terhakislah senaman badan secara natural. Lalu orang Islam ditawarkan senaman yoga.

Secara tidak langsung dan tanpa disedari, senaman yoga ini mendorong orang Islam bakal jadi murtad menganut wahdat al-wujud Hindu. Agama Kristian ada bersefahaman dengan Hindu dalam masalah amalan senaman yoga. Islam tidak.

Semasa penulis hidup di kampung, tidak ada siapa yang merungut perlukan senaman. Kerja-kerja kampung yang pelbagai itu semuanya dilakukan dengan tenaga manual dan fizikal, bukan mesin dan enjin. Rungutan kurang senaman tidak pernah terdengar semasa penulis hidup di kampung.

Semasa hidup di kampung pada zaman itu tidak ada siapa yang memiliki kenderaan empat roda tetapi ke sana sini dengan berbasikal sahaja. Didorong oleh rasa nostalgia hidup di kampung, penulis mengayuh basikal dari rumah ke tempat kerja. Hanya mengambil masa 10 minit.

Dengan cara ini, cukuplah senaman yang diperlukan oleh badan, fikir penulis. Pada mulanya ada mata terbeliak kehairanan (barangkali) melihat penulis menunggang basikal. Penulis peduli apa.

Tetapi pada akhirnya terpaksa juga mengalah kerana laluan pejalan kaki dan orang berbasikal tidak disediakan oleh pihak berkuasa. (Tiada suara yang menggalakkan rakyat berbasikal untuk senaman, ekonomi, mengurangkan sebab-sebab pencemaran udara).

Penulis berbasikal terpaksa berkongsi jalan yang sama dilalui oleh kenderaan empat roda yang memacu seperti peluru. Pernah nyaris- nyaris dilanyak oleh peluru empat roda itu.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s