Isteri merintih tak puas disetubuhi suami

PERSOALAN :
Bismillah…
Assalamualaikum wbt…

Maaf ustaz saya ingin berkongsi masalah agar ada sedikit nasihat untuk menjernihkan hati dan jiwa ini…

Alhamdulillah saya sudah berkahwin XXXXX bulan lepas. Nikmat yang masih belum disyukuri sepenuhnya… namun ada seperkara yang saya mahu bertanya seseorang tapi tak tahu siapa dan saya rasa ustaz dapat menilainya.

Malam pertama saya sebenarnya tidak berjaya, maksud saya kami gagal melakukan seks dengan baik kerana sukar menembusi faraj/selaput dara. namun Allah izinkan selepas XXXXX hari. Persoalan saya sebenarnya saya seperti tidak menikmati hubungan suami isteri ini.

Syukur suami pandai mencari posisi tetapi saya rasa hanya dia yang tercungap dan lega selepas pancut namun saya tak sampai puncak, namun rasa sedap itu ada. Timbul rasa adakah ini akibat tabiat buruk saya yang suka melancap dahulu? Maaf.

Dahulu saya fikir selepas dapat menikmati seks halal saya akan lupakan melancap itu namun tidak. saya diam2 suka melancap lagi kerana ada nikmat yang tersendiri di situ.

Ah malu nak bicara tentang ini namun saya juga malu bila suami kata kamu tak puas kan? Tak akanlah saya nak pura2 mengerang nikmat…. saya rasa bersahaja je….

Dan ada satu perkara yang agak mendukacitakan bila suami mengaku sebenarnya dia bukan teruna dan pernah banyak kali melakukan itu dengan kekasihnya sebelum ini. Ini menambahkan resah saya kerana dia pernah menikmati seks yang mungin dinikmati oleh wanita itu berbanding saya yang tidak ketemu suis ini.

Saya tekadkan hati untuk redha memandangkan saya juga bukanlah baik sangat… terutama bila suami sebenarnya mahu berubah. Tapi saya terkilan juga, ini dosa besar.

Ustaz,
inilah fenomena yang sedikit mengusik jiwa naluri seorang isteri ini.
Saya mohon doa ustaz agar perkahwinan saya ini diberkati dan bahagia sehingga ke Syurga, impian setiap pasangan….
Mohon sedikit nasihat atas dua masalah ini ustaz. Syukran jazilan.

JAWAPAN :
Wlskm puan,

Pertamanya, ucapan tahniah dari saya atas kejayaan mendirikan ‘masjid’ bersama-sama suami tercinta, yang kita sedia maklum apabila terbinanya ‘masjid’ ini membuatkan syaitan-syaitan sangat tidak gembira kerana gagallah sudah banyak rancangan mereka khususnya untuk menjerumuskan umat manusia ke arah yang tidak baik.

Keduanya, tahniah sekali lagi kerana puan terus berusaha gigih untuk mencemerlangkan ‘masjid’ yang dibina dengan mencari jalan-jalan membahagiakan lagi hubungan suami isteri.

Baiklah, saya akan terus kepada maklumat-maklumat penting dalam tulisan puan dan akan cuba memberikan serba sedikit perkongsian ilmu sebagai panduan atau pembuka jalan kepada puan suami isteri untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

USIA PERKAHWINAN

Perkahwinan puan baru berusia XXXXX bulan. Dari segi hubungan batin, dalam tempoh sebegini memang ada pasangan yang maju dan memang ada yang lewat sedikit. Ada pasangan yang memakan masa berbulan-bulan sebelum mereka dapat mengecapi nikmat berjimak yang sebenar. Oleh itu saya sarankan puan dan suami bersabar dan ambillah masa. InsyaAllah pengetahuan, kemahiran dan persefahaman akan meningkat pesat dalam tempoh itu.

Sebenarnya dalam hubungan batin suami isteri, akan sentiasa ada perkara baharu yang diperolehi dari semasa ke semasa. Ini salah satu cara Allah mengindahkan perkahwinan berterusan. Kenikmatan pada tahun ketiga tidak sama dengan tahun pertama. Begitulah seterusnya. Biasa saja orang (terutamanya lelaki, kerana saya tidak pernah bualkan hal ini dengan wanita-wanita lain selain isteri, tapi saya rasa sama saja keadaannya) yang sudah bersama dengan pasangannya lebih daripada 10 tahun, tapi masih mendapat kenikmatan-kenikmatan baru dalam berjimak. Kita sangkakan sudah habis, rupa-rupanya ada lagi.

Jadi, sebaiknya ambillah masa lagi dengan banyak berharap kepada Tuhan dan bersabar. InsyaAllah berjaya.

KEMAMPUAN MENILAI

Saya bukanlah orang yang ahli dalam hal ini sekalipun saya mengamalkan rawatan dan perubatan Islam. Walaupun saya ada merawat kes-kes berkaitan tenaga batin (dengan izin Allah, saya pernah menyihatkan semula pesakit yang sudah mati pucuk) dan kekeluargaan, tapi pengkhususan saya tidaklah dalam bidang ini. Jadi saya tidaklah mampu menilai dengan cemerlang, sekadar berkongsi pengetahaun yang ada sikit-sikit. Itu sahaja.

Saranan saya, selepas membaca jawapan saya ini, sangat sesuai untuk puan bertanyakan juga kepada mana-mana wanita yang difikirkan layak, yang berpegetahuan dan berpengalaman. Saya tidak arif ilmu tentang wanita, maka yang akan saya sentuh di sini tentunya lebih banyak kepada pihak lelaki. Gabungan jawapan saya dengan jawapan dari kaum wanita sendiri itu nanti akan memberi gambaran yang lebih baik kepada puan, insyaAllah.

HANYA SELEPAS XXXXX HARI

Saya petik semula ayat puan :
“malam pertama saya sebenarnya tidak berjaya, maksud saya kami gagal melakukan seks dengan baik kerana sukar menembusi faraj/selaput dara. namun Allah izinkan selepas XXXXX hari.”

Juga ayat yang berbunyi :
“timbul rasa adakah ini akibat tabiat buruk saya yang suka melancap dahulu.”

Berdasarkan dua maklumat ini, saya beranggapan dulunya tabiat itu dilakukan dengan cara membuat rangsangan dari kawasan luar sahaja, tidak sampai jauh ke dalam. Hal ini kerana jika tabiat itu dilakukan dengan merangsang kawasan dalaman (seperti memasukkan sesuatu agak jauh ke dalam faraj), sudah tentu selaput itu sudah pecah sebelum berkahwin lagi.

Sekiranya kawasan dalaman belum pernah dicerobohi, sepatutnya pengalaman bersama suami akan lebih nikmat lagi berbanding ketika melakukan tabiat itu. Mungkin puan dan suami memerlukan sedikit masa lagi untuk lebih serasi.

Jadi ada beberapa kemungkinan di sini :
1. Ia memang belum pecah. Sebab itu hubungan pada malam-malam awal itu menjadi sukar. Ada pasangan yang mengambil masa berminggu-minggu malah berbulan-bulan untuk si suami memasukkan keseluruhan alat kelaminnya ke dalam faraj isteri.
2. Ia sudah pecah tanpa puan ketahui. Kesukaran melakukan hubungan pada malam-malam awal itu bukan kerana masalah selaput dara, tetapi ada masalah lain.
3. Ia sudah pecah tetapi hanya sebahagian. Sebab itu pada malam-malam awal itu hubungan menjadi sukar.

TIDAK MENCAPAI KLIMAKS/ KEMUNCAK

Kegagalan untuk mencapai klimaks (inzal) ini boleh terjadi atas banyak faktor. Bahagian ini akan saya jelaskan lebih lanjut di bawah nanti.

AKIBAT MELAKUKAN TABIAT BURUK

Ya, memang ada kemungkinan masalah yang puan alami sekarang akibat tabiat lama itu. Saya tidak kata pasti, tapi ada kemungkinan.

Hal ini kerana ketika melakukannya, pelaku boleh mengawal sendiri jenis/bentuk rangsangan, kawasan rangsangan, tempo rangsangan, kekuatan rangsangan dan sebagainya. Hasilnya, ia memuaskan hati pelaku.

Contoh mudah – kita berasa puas jika makan nasi sendiri kerana kita menentukan jumlah nasi, jenis lauk, kuantiti nasi dan lauk, dan lain-lain mengikut selera kita. Suatu hari kita terlantar di hospital, patah kedua-dua belah tangan, mata bertampal dan tak boleh bersuara. Kita bergantung pada orang lain untuk menyuapkan makanan. Sudah tentu tidak puas kerana penyuap tidak tahu jumlah nasi dan lauk yang kita mahu, jenis lauk, tempo suapan dan sebagainya. Penyuap memberi dengan mengagak berdasarkan reaksi kita yang dapat dikesannya sahaja.

Sebab itu tabiat ini memang tidak baik untuk diamalkan. Ia boleh mempengaruhi kepuasan seseorang ketika berjimak. Namun begitu, jika si suami seorang yang berpengetahuan dan kemampuan tentang hubungan suami isteri, sepatutnya si isteri akan tetap berasa lebih puas bersama suaminya berbanding tabiat lama itu. Antara faktornya, suami boleh merangsang seluruh tubuh isteri sedangkan tabiat itu hanya merangsang kawasan yang terhad sahaja.

Saranan kepada penyelesaian untuk bahagian ini :
1. Semua hal termasuklah segala kenikmatan adalah milik Allah. Begitu juga dengan nikmat melakukan hubungan seks. Oleh itu, kita minta kepada Tuannya iaitu Allah SWT. Kalau kita tidak memohon kepada-Nya, bagaimana Dia hendak menganugerahkan kenikmatan itu kepada kita? Tambahkan amal-amal soleh, lakukan solat sunat hajat dan banyakkan berdoa mohon Dia kurniakan kenikmatan itu kepada kita.
2. Banyakkan bertaubat. Jika sudah sedia banyak, tambahkan. Kita faham tabiat itu memang mendatangkan dosa dan kemurkaan Tuhan. Boleh jadi Dia menyekat nikmat itu kerana dosa-dosa kita. Maksudnya dosa-dosa itu menjadi penghalang. Tapi apabila kita bertaubat dan merintih kepada-Nya dan Dia terima, dosa-dosa kita akan diampunkan-Nya. Maksudnya penghalang itu akan hilang dan kenikmatan yang kita inginkan akan diperolehi.
3. Dalam usaha bertaubat, tentunya keinginan untuk melakukan tabiat itu datang sesekali. Sekiranya dapat dihentikan terus, memang itulah yang terbaik. Tapi kita faham, bukan semua orang mampu begitu. Samalah halnya dengan orang yang berusaha untuk berhenti merokok. Sekiranya belum mampu, cuba atasinya dengan mengurangkan kekerapan. Contoh : Jika sebelum ini ia dilakukan seminggu sekali, bertahanlah dan jadikannya dua minggu sekali. Kemudian jadikannya sebulan sekali. Teruskan bertahan, jadikannya dua tiga bulan sekali. Lama-kelamaan kita akan mampu meninggalkannya terus insyaAllah.
4. Bawa berbincang dengan pasangan agar rangsangan tidak terhad kepada kawasan alat sulit sahaja sebagaimana ketika melakukan tabiat itu. Umumnya, seluruh anggota isteri merupakan kawasan rangsangan, cuma perlu dikenalpasti kawasan-kawasan yang terbaik untuk dirangsang. Lain orang lain kawasan-kawasan utama terangsangnya. Apabila anggota-anggota lain dirangsang sebelum dan ketika berjimak, dari situ akan datang kepuasan yang melebihi kepuasan melakukan tabiat lama itu. Hal ini memang akan memakan masa namun ia hendaklah diusahakan. Sebab itu saya katakan sebelum ini, kenikmatan pada tahun ketiga tidak sama dengan tahun pertama. Dari semasa ke semasa pengetahuan, kemahiran dan pengalaman akan bertambah. Memang jauh berbeza permainan orang baru dengan dengan permainan orang lama.

PENGETAHUAN MENCARI POSISI

Posisi ketika berjimak ada sekurang-kurangnya 3 jenis iaitu posisi tubuh, posisi alat kelamin dan posisi waktu. Kebanyakan golongan muda yang saya temui hanya tahu posisi tubuh sahaja dan sangat kurang tahu dua posisi lagi.

1. Posisi tubuh – Maksudnya kedudukan suami dan isteri. Bahagian ini saya kira hampir semua orang tahu. Lebih-lebih lagi remaja zaman sekarang yang banyak terdedah dengan media-media lucah seperti gambar dan video. Ada pelbagai ragam gaya/ ‘style’.
2. Posisi alat sulit – Walaupun suami isteri itu berada dalam satu posisi tubuh sahaja (contohnya posisi biasa iaitu suami di atas dan isteri di bawah secara berhadap-hadapan), alat kelamin suami hendaklah bijak mencari posisi-posisi/ruang-ruang/makam-makam dalam faraj isterinya. Tapi ini bukan bermaksud si suami main tikam sahaja ke serata arah. Jika hal ini berjaya dilaksanakan, tanpa perlu mempraktikkan banyak ‘style’ (posisi tubuh) pun memang sudah cukup memuaskan. Pengetahuan tentang hal ini juga akan datang dalam bentuk pengalaman. Ia dibina dari semasa ke semasa, maka harap bersabar. Memang ada juga ilmu tentangnya (iaitu kemahiran mencari posisi dalam faraj dan merangsangnya) tapi perlulah bertanya kepada orang tua-tua/ mereka yang ahli tentangnya.
3. Posisi waktu – Aktiviti berjimak sebaiknya dimulakan dengan muqaddimah/ set induksi/ istimta, bukannya apabila terasa bernafsu lalu terus sahaja berjimak. Isteri perlulah dirangsang terlebih dahulu buat seketika sebelum aktiviti berjimak dilakukan agar perasaan dan tubuh isteri bersedia secukupnya. Inilah yang dimaksudkan dengan posisi waktu. Orang hari ini banyak yang hidup dalam kesibukan dan terkejar-kejar. Begitu juga apabila mereka mahu berjimak. Mereka mahu terus kepada aktiviti utama dan mahu selesai segera. Biasanya suami akan puas manakala isteri berasa tidak cukup kerana posisi waktunya tidak kena.

PENGALAMAN SILAM SUAMI

Puan tidak perlu ambil pusing sangat tentang pengalaman silam suami. Sebaliknya sepatutnya suami yang perlu lebih risau. Hal ini kerana dia ‘kalah’ dengan puan. Dia yang sepatutnya tertekan untuk memuaskan puan dan dia mesti mencari jalan ke arah itu.

GAGAL MENCAPAI KLIMAKS

Ada banyak kemungkinan. Antaranya :
1. Diri belum cukup bersedia (belum cukup terangsang). Masalah ini boleh diselesaikan dengan melakukan muqaddimah dan berjimak hanya setelah sampai ketika yang sesuai.
2. Suami menghadapi masalah lemah tenaga batin, atau istilah yang sesuai di sini ialah lemah keupayaan berjimak. Bahagian ini akan dihuraikan sebentar nanti.
3. Isteri menghadapi masalah terlebih tenaga batin, atau terlebih keupayaan berjimak, terutamanya isteri yang sukar diinzalkan (diklimakskan) walaupun tempoh berjimak sudah cukup lama. Masalah ini boleh diusahakan dengan mendapatkan rawatan daripada perawat.

KELEMAHAN KEUPAYAAN BAGI LELAKI

Antara kelemahan yang dimaksudkan ialah :

1. Tidak cukup keras/tegang. Akibatnya faraj isteri tidak menerima rangsangan yang mencukupi. Penyelesaiannya – suami kena menjaga pemakanan, bersenam, berurut dan berubat.
2. Keras/tegang tetapi hanya pada minit-minit awal. Kemudiannya akan sedikit mengendur atau terus lembik. Usahanya – suami kena menjaga pemakanan, bersenam, berurut dan berubat.
3. Mati pucuk. Tidak boleh menegang/mengeras. Baru hendak naik, terus jatuh. Begitulah berulang kali. Usahanya – suami kena menjaga pemakanan, bersenam, berurut dan berubat.
4. Mati terus. Memang tidak mampu menegang/mengeras langsung. Usahanya – suami kena menjaga pemakanan, bersenam, berurut dan berubat.
5. Terlalu pendek. Akibatnya zakar tidak mampu menusuk jauh ke dalam dan kurang memuaskan isteri. (Agakan saya, ukuran normal bagi lelaki Melayu adalah antara 4 inci ke 6 inci. WaAllahua’lam). Antara usaha yang boleh dilakukan – suami isteri bersyukur dengan apa yang ada, dan suami boleh memahirkan ‘permainan’ berjimak sebagai pengganti kepada kekurangannya.
6. Terlalu panjang juga satu masalah. Ia membuatkan isteri kurang selesa manakala si suami pula kurang puas kerana tidak dapat menusuk habis.
7. Terlalu kecil ukur lilitnya. Akibatnya gagal merangsang faraj isteri dengan baik. Antara usaha yang boleh dilakukan – suami isteri bersyukur dengan apa yang ada, dan suami boleh memahirkan ‘permainan’ berjimak sebagai ‘cover’ kepada kekurangannya.
8. Terlalu besar ukur lilitnya. Isteri kurang selesa dan suami tidak puas bebas bermain/bergerak. Biasanya lama-kelamaan isteri akan terbiasa juga.
9. Cepat klimaks. Baru beberapa minit bermain, sudah terpancut. Hasilnya isteri tidak puas. Usahanya – suami kena menjaga pemakanan, bersenam, berurut dan berubat. Sumai juga kena pandai mengawla emosi ketika berjimak.
10. Terlalu lambat klimaks. Contohnya, ada kes di mana sudah satu setengah jam bermain, tapi si suami masih belum terasa hendak inzal sedangkan isteri sudah lemah keletihan. Antara usahanya – si isteri perlu pertingkatkan kemampuannya manakala si suami perlu mengurangkan sedikit. InsyaAllah jurang antara kedua-duanya makin mengecil.
11. Zakar terlalu bengkok. Bengkok sedikit ke kiri, kanan, atas atau bawah adalah perkara biasa. Tapi jika bengkoknya keterlaluan sampai hendak jadi huruf C atau huruf J, memang akan mengganggu. Ada kes zakar yang berbentuk L. Dari pangkal ke tengah normal, dari bahagian tengahnya terkepak terus naik ke atas. Bengkok yang terlalu teruk tidak dapat dipulihkan lagi. Bengkok sedikit boleh dikurangkan dengan berubat, urutan dan senaman. Bengkok yang terlalu sedikit, tidak mengganggu aktiviti berjimak.

Sekiranya puan mengesan mana-mana masalah di atas pada suami puan, ambillah langkah-langkah yang sesuai untuk memulihkannya.

PENUTUP

Sekadar itu sahaja ilmu yang dapat saya kongsikan. Saya sudah mendoakan agar rumahtangga puan bahagia hingga ke akhirat. Banyakkan berdoa kepada Tuhan.

Wassalam.

This entry was posted in Uncategorized and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Isteri merintih tak puas disetubuhi suami

  1. Sirap Limau says:

    terima kasih atas ulasan panjang lebar..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s