Fadhilat mengerjakan solat terawih di setiap malam Ramadhan

FADHILAT SOLAT TERAWIH

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan :

Malam 1 – Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam 2 – Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam 3 – Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4 – Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam 5 – Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah(Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.

Malam 6 – Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Mamur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih poda malam ini.

Malam 7 – Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi Alaihissalam menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamman.

Malam 8 – Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam.

Malam 9 – Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

Malam 10 – Allah Subhanahuwataala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11 – Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

Malam 12 – Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13 – Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14 – datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

Malam 15 – Semua Malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16 – Allah subhanahuwataala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 – Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 – Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19 – Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 – Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21 – Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.

Malam 22 – Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huruhara di Padang Masyar).

Malam 23 – Allah Subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.

Malam 24 – Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 – Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.

Malam 26 – Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27 – Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

Malam 29 – Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30 – Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:
“Hai hambaKu : makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau dariapda air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar.”

Semoga amalan kita dalam bulan ini diterima-Nya..Amin

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

14 Responses to Fadhilat mengerjakan solat terawih di setiap malam Ramadhan

  1. Azhar says:

    Kepalsuan hadith berkenaan kelebihan malam tarawih:-
    Sila baca dan fahamkan. terima kasih.

    http://www.youropportunityplace.net/laman-nurani/umum/623-kepalsuan-hadis-kelebihan-tarawih-setiap-malam.html

  2. jalanakhirat says:

    Dikeluarkan oleh: Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

    Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, Selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya.
    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

    Solat Tarawih

    Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : “Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

    Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
    Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-quran.
    Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
    Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
    Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
    Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
    Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

    Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

    Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

    Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

    Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

    Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di

    antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: {Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.} (An-Najm: 3-4).

    Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah..

    Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

    Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: {Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang.} (Al-Muddatsir)

    Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

    Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:

    Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
    Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.
    Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
    Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih. Yang lainnya adalah palsu.

    Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

    Sumber rujukan: http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=10&parent=06

  3. Tablighster says:

    Astaghfirullah al-azhim.. sesungguhnya daku memohon ampun kepada Allah s.w.t

    Terlalu mudah bagi orang zaman sekarang ini melabelkan sesuatu hadis ini dan hadis itu sebagai palsu.. sesungguhnya fadhilat-fadhilat ini boleh dibaca dalam kitab-kitab lama karya ulama Melayu silam, dan ulama-ulama silam yang muktabar. Adakah mereka (ulama-ulama silam) itu jahil dalam bidang hadis? Tidak, bahkan mereka jauh lebih aula dari ustaz-ustaz(Wahabi) zaman sekarang yang hanya menimba ijazah selama 5 tahun dan kemudiannya bekerja di Jabatan Agama Islam. Ketahuilah bahawa mereka (ustaz-ustaz Wahabi) ini berselindung disebalik nama Jabatan Agama Islam Negeri.. Adakah kalian semua lupa bahawa ulama-ulama itu pewaris Nabi?

    Insaflah, wahai pemuda-pemudi zaman sekarang, janganlah sewenang-wenangnya mengatakan hadis di atas sebagai hadis palsu. Sebelum dikau mengatakan bahawa hadis di atas itu palsu, Daku ingin bertanya kepada mu, Pernahkan dikau menjejakkan kaki ke madrasah? Pernahkah dikau menelaah kitab-kitab yang muktabar? Jika tidak pernah, jangan dikau sekali-kali menyebarkan perkara yang tidak dikau ketahui. Oleh itu, daku menyeru kepada dikau semua supaya bangkitlah!, janganlah duduk di kerusi malasmu itu sambil berinternet, pergilah mengikuti pengajian agama di madrasah, dan janganlah dikau belajar agama secara online, sesungguhnya belajar agama secara online itu adalah sebesar-besar bid’ah pada zaman sekarang..

    Wahai para pemuda dan pemudi, janganlah hanya disebabkan oleh satu hadis palsu itu, kita membuang isi kandungan hadis berkenaan dan kita menafikan kebenarannya itu, kerana sesungguhnya ada sesetengah hadis itu hanyalah palsu dari segi sanadnya tidak pada matannya (isinya), bahkan disokong oleh hadis-hadis sahih yang lain yang sama maknanya, (walaupun bertaraf dhaif) yang diriwayatkan dari rantaian sanad dan jalan yang berlainan.. Rajin-rajinlah dikau menelaah kitab-kitab muktabar sebelum dikau menyebarkan fitnah di dalam internet.

    Jika Dikau masih keliru lagi, dikau boleh lihat permasalahan ini dalam hadis-hadis mengenai Doa Qunut.. kerana sesungguhnya sebahagian hadis palsu itu ada yang meriwayatkan tentang pembacaan Qunut dan sebahagian hadis sahih yang lain pula ada juga meriwayatkan tentang kesunnahan Qunut Rasullullah s.a.w, jika dikau seorang yang terburu-buru, sudah tentu dikau akan menghukumkan pembacaan Qunut sebagai batil itu dengan hanya melihat sebelah mata sahaja, jika dikau berbuat demikian, ketahuilah bahawa dikau sudah berlaku zalim dengan agama Allah s.w.t. Perlu diingat, sebelum dikau menghukumkan sesuatu perkara itu sebagai bathil kerana bersandarkan hadis palsu, rujuklah kitab-kitab muktabar yang lain, kerana di situ dikau akan ketemu dengan “the second opinion” yang mengesahkan sesuatu amalan itu. Perlu dikau ingat, jika benarlah pembacaan Qunut itu berdasarkan hadis palsu semata-mata, sudah tentulah Imam Shafie’ r.h tidak akan berani mengeluarkan hukum pembacaan Qunut dalam solat Subuh.

    Wahai pemuda dan pemudi yang gemar beronline, ketahuilah kamu bahawa di dalam bidang hadis ini ada dua mazhab hadis yang berselisihan, Satu pihak menganggap palsu akan sesuatu hadis itu manakala pada satu pihak yang lain pula menganggap sahih sesuatu hadis itu. Sebagai contoh untuk renungan mu,ketahuilah bahawa Imam Ibnu Taimiyahr.h. pernah menganggap bahawa hadis “Barang siapa yang mengenal dirinya, maka kenallah tuhan-Nya” itu sebagai satu hadis yang bathil lagi palsu, bahkan berdosa mempercayainya sebagai satu hadis.. tetapi ulama-ulama yang tidak sependapat dengan Ibnu Taimiyah pula seperti Imam As-Sayuti r.h. mengesahkan bahawa ada hadis yang dianggap palsu oleh masyarakat Islam itu sebenarnya sahih kedudukannya, dan sebahagian besar ulama menganggap bahawa hadis “Barang siapa yang mengenal dirinya, maka kenallah tuhan-Nya” itu memang sah sebuah hadis Nabi s.a.w. Jika dikau ragu-ragu akan hal ini, rujuklah penerangan mendalam oleh Sahibul Samahah Allahyarham Tuan Guru Wan Sahgir dalam kitab-kitabnya.

    Wahai pemuda-pemudi yang gemar mengaji agama secara online, ketahuilah kamu bahawa Imam Al-Ghazali sendiri ada menyebut tentang kelebihan amal dalam kitab-kitabnya yang muktabar.. Pertanyaanku kepadamu, Pernahkah dikau semua menelaah kitab-kitab Imam Al-Ghazali? Jika tidak pernah, maka janganlah dikau semua berani mengatakan bahawa hadis ini dan hadis itu suatu hadis yang palsu. Nasihatku kepada mu, Janganlah dikau terpengaruh dengan dakyah yang mengatakan bahawa Imam Ghazali banyak menukil hadis-hadis palsu di dalam kitab Ihya-nya yang terkenal itu.. lantas kalian menolak Imam Al-Ghazali dari hatimu.. sesungguhnya Imam Al-Ghazali r.h itu seorang ulama hadis yang besar..! jika tidak masakan beliau mendapat taraf Hujjatul Islam.. ketahuilah wahai saudaraku bahawa gelaran Hujjatul Islam itu hanya boleh diberi kepada seseorang yang sekurang-kurangnya menghafal hadis Rasullullah s.a.w sebanyak 300 000 hadis beserta dengan sanadnya yang berantaian hingga ke baginda Rasullullah s.a.w.. ketahuilah bahawa Imam Al-Ghazali r.h. itu sebenarnya seorang ulama hadis yang besar!

    Wahai pemuda-pemudi yang banyak “berqiyamullail” di hadapan internet, insaflah.. janganlah terlalu mudah dan dangkal mendakwa bahawa sesuatu hadis itu ialah hadis palsu, adalah berdosa besar jika anda mengatakan sesuatu hadis yang benar itu (walaupun dhaif) sebagai palsu.. kerana perbuatan anda itu sama seperti perbuatan kaum Quraish ketika mereka menafikan dakwah Rasullullah s.a.w.

    Insaflah wahai pemuda-pemudi Islam yang rajin “berqiyamullail” di hadapan internet, janganlah mempelajari agama dengan hanya duduk dihadapan skrin komputer, Lawan nafsumu yang gemar berinternet itu, rajin-rajinlah menggerakkan dirimu itu ke majlis ilmu dan ke madrasah.. berdampinglah dengan para ulama, jangan dikau berdamping dengan internet.. sesungguhnya berdamping dengan internet itu ibarat berdamping dengan syaitan laknatullah

    Insaflah wahai pemuda-pemudi yang gemar berinternet, janganlah ber”tarawih” di alam siber, ber”tarawih”lah di rumah Allah s.w.t, rebutlah pahala-pahala besar yang dijanjikan oleh Allah s.w.t seperti mana yang terdapat dalam hadis yang dianggap palsu seperti di atas..

    Insaflah wahai pemuda-pemudi internet, janganlah dikau menganggap para ulama silam itu sesat kerana zaman mereka jauh lebih dekat dengan baginda Rasullullah s.a.w berbanding dengan ustaz-ustaz internet dan ustaz-ustaz proWahabi yang hanya lahir 30 tahun yang lalu, kerana sesungguhnya mereka lahir pada zaman yang amat jauh dari baginda Rasullullah s.a.w, mereka amat jauh dari cahaya baginda Rasullullah s.a.w.

    Pesanan akhir daripadaku, wahai pemuda-pemudi internet, janganlah dikau rakus dan gelojoh sekali melabelkan hadis ini dan hadis itu sebagai palsu. Rujuklah ulama-ulama yang muktabar janganlah dikau merujuk kepada internet, sesungguhnya internet itu adalah sebesar-besar fitnah akhir zaman,

    Salam daripada,
    Tablighster

    • Azhar says:

      Wahai sedara,
      Melabelkan org itu org ini sebagai wahabi, khawarij dan sebagainya bukanlah dalam kategori disiplin ilmu. Tiada bukti yg boleh mengatakan mereka sedemikian. Rujukan itu juga adalah rujukan ulama’. Sila lihat link ini pula: http://www.jais.gov.my/ramadhan/fadhilatterawih.php. Sekiranya tidak benar maka anda juga perlu merujuk kepada pihak yang berkaitan dan kemukan hujah anda. Sekian….:) Wallahu a’lam….

    • Azhar says:

      Maaf sekali lagi sedara,

      Tambahan, menisbahkan orang lain wahabi & sebagainya tanpa bukti dan sewaktu dengannya adalah satu perkara yang sangat dashat dan memalukan. Mungkin apa yg diperkatakan memberi rasa tidak selesa dan kurang senang sedara. Maaf kalau terasa sedemikian. Untuk rujukan sedara boleh baca ini: http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/982-mengapa-peminat-agama-berpecah-sebegitu.html

      dan satu perkara lagi, jgn terus melabelkan org disini sebagai ‘berterawih’ di internet shj, sedangkan perkara yg sebenarnya kita tidak ketahui. Jgn mudah menghukum org yg ‘berinternet’ tidak ke rumah ALLAH juga.

      Satu lagi, maaf kalau disebut, tiada satu perkataan pun mengatakan ulama’ dahulu adalah sesat. Harap maklum.

  4. Tablighster says:

    Assalamualaikum wbt, sekali lagi kepada tuan blog dan pelayar-pelayar yang sedang mencari maklumat tentang Fadhilat Tarawih Bulan Ramadhan,

    Kalau di atas, saya menulis dengan gaya yang bersajak, menyeru pemuda-pemudi supaya mempelajari agama dari sumber yang sah. Pada posting ini pula izinkan saya membuat penjelasan tentang desas-desus yang mengatakan bahawa Fadhilat Ramadhan ini berdasarkan hadis palsu dari sudut keilmuan. Bagi saya sebenarnya artikel inilah yang palsu, dan bukannya hadis ini.

    Jika dilhat, sebenarnya isu ini berpunca dari satu artikel yang dikeluarkan laman web mufti.islam.gov/terengganu. Disebabkan artikel ini, ramai pembaca yang tidak mempunyai asas kukuh dalam bab ilmu usul hadis dan shariah, dan yang hanya menilai sesuatu perkara berdasarkan khabar berita internet dengan terlalu cepat menyebarkan artikel ini dengan penuh emosi. Saya akan menjawab isu ini satu persatu supaya isu ini jelas.

    Memang tidak dinafikan lagi, sudah terang lagi bersuluh bahawa haram beramal dengan hadis palsu kerana hadis itu bukan bersumber daripada Rasullullah s.a.w, namun kita harus ingat, ilmu mustalahah hadis ini bukanlah suatu ilmu yang hanya membahaskan hadis sahih dan hadis maudhuk semata-mata, bukan hanya merujuk kepada sunan sittah (6 kitab hadis yang terkenal), bukan sekadar merujuk kepada ulama dari satu aliran tertentu dan meninggalkan ulama-ulama lain, bukan sekadar merujuk kepada tesis-tesis Ph.D dan pensyarah di Jabatan Hadis, bukan sekadar memetik hadis ini dan hadis itu untuk disecocokkan dengan pendapat kita yang bersifat terlalu peribadi, bukan semata-mata membaca buku-buku teks asas mustalahah hadis, bukan sekadar menghafal matan (isi) hadis semata-mata daripada Sahih Bukhari dan Muslim, sebaliknya ilmu hadis itu memerlukan kematangan dalam selok belok agama, kefahaman mendalam yang diluar batas aqal orang-orang awam seperti kita ini. Jika hadis boleh dipelajari secara begini dan, dinilai oleh sesiapa sahaja dengan bebasnya, maka sudah tentu sesiapa sahaja boleh mengeluarkan hukum tentang sesuatu hadis. Sesiapa sahaja yang rajin berinternet atau sesiapa sahaja yang bekerja di Jabatan Agama Negeri mempunyai “lesen” untuk mengecop palsu sesuatu hadis itu.

    Untuk pengetahuan umum, hadis di atas boleh dipetik daripada banyak kitab yang kebanyakannya kitab-kitab lama, dan yang termasyhur meriwayatkan hadis di atas ialah kitab Duratun Nasihin (Mutiara Nasihat) yang ditulis oleh Sheikh Usman bin Hasan Al-Khaubawi pada abad ke-13 hijrah. Di dalam kitab ini Sheikh Usman Al-Khaubawi memulakan penulisannya dengan rasa yang merendah diri:

    “Aku adalah seorang hamba yang haus akan rahmat Allah swt, menetap di sebuah kota bernama Konstantinopel, berharap semoga Allah swt selalu melindungi negeri kami dan negeri-negeri lainnya dari segala bencana dan bahaya. Ameen.”

    Secara ringkasnya, di dalam kitab ini disentuh pelbagai fadhilat amal yang tidak lain tidak bukan untuk meningkatkan motivasi beramal dan digunakan secara meluas baik dalam kalangan masyarakat Melayu nusantara mahupun masyarakat ahlul bait (yakni keturunan Rasullullah s.a.w).Yang menjadi kesedihan kepada saya dan mungkin kepada pelayar internet yang lain ialah pada masa kini muncul golongan yang mendakwa diri mereka lebih sunnah berbanding orang lain, lebih Islam diri mereka, lebih iman mereka itu berbanding dengan orang lain. Mereka ini dengan begitu mudah mendakwa bahawa banyak kitab-kitab yang dikarang ulama silam mengandungi hadis-hadis palsu..Astaghfirullah al-adzhim. Jadi, inilah yang kita lihat berlaku dalam isu fadhilat tarawih dalam bulan Ramadhan. Bagi pelayar-pelayar yang berjiwa muda sudah tentu akan merasakan ini ialah satu penemuan terbaru yang harus digembar-gemburkan kepada seluruh masyarakat dunia, namun bagi saya, perbuatan ini lebih menjurus kepada dakyah jahat musuh dalam selimut yang ingin menjauhkan umat Islam daripada sunnah baginda Nabi s.a.w yang sebenarnya.

    Baiklah, tanpa membuang masa lagi, mari kita kupas “fatwa” ini satu persatu dan kita lihat apa kelemahannya..ada 9 kelemahan dan keraguan yang terdapat dalam artikel “fatwa” tersebut..

    1) Kelemahan Pertama: Artikel ini dikeluarkan atas nama Jabatan Mufti Negeri Terengganu. Ada sesuatu yang janggal di sini. Setiap fatwa yang dikeluarkan wajib mendapat pengesahan Sultan, harus bertarikh, ditanda tangani, dicop, dan disertakan dalam bentuk surat rasmi.
    Namun, apa yang saya lihat di dalam artikel ini tidak ada langsung ciri-ciri di atas. Oleh itu, saya ragu dengan status “fatwa” di atas.Di mana copnya? Dimana letter head-nya?

    2) Kelemahan Kedua: Artikel tentang hadis “palsu” ini dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu, namun satu persoalan boleh ditanya, “Mengapakah artikel ini diedarkan secara percuma atas nama “DARUL QURAN WAS-SUNNAH, Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2, Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan” dan bukannya atas nama Jabatan Mufti Negeri Terengganu?
    Jika benar pihak mufti negeri Terengganu ini mengedarkan artikel ini ke negeri lain, ia harus mendapat pengesahan dan keizinan dari negeri berkenaan. Namun, dalam kes ini, artikel tersebut tidak mendapat sebarang pengesahan dari pihak Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Dari segi ini, nampaknya penyebaran artikel ini tidak mengikut prosedur yang sah. Mengapakah terjadi sedemikian? Adakah pihak Darul Quran Was Sunnah takut tembelang dakyah Salafi mereka diketahui oleh pihak berwajib? Renung-renungkan wahai saudara sekalian.

    3) Metodologi yang digunakan untuk menilai hadis ini ternyata amat lemah, cuba kita lihat perenggan ini:

    a) “Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan.”
    Adakah kita menilai sesuatu hadis itu dengan “diajukan pertanyaan” semata-mata?

    Hanya bertanya kepada “beberapa tokoh agama tanah air”? Siapakah tokoh-tokoh tersebut? Adakah “tokoh-tokoh itu dari kalangan golongan Salafi atau hanya ustaz dan pensyarah dari Jabatan Hadis semata-mata? Bagi saya, kredibiliti “tokoh-tokoh” diragui. Untuk pengetahuan semua, dari sudut ilmu hadis seorang ustaz dan pensyarah yang memiliki ijazah Ph.D dalam bidang hadis belum tentu layak menilai sesuatu hadis. Hanya yang layak menilai sesuatu hadis itu sahih atau palsu ialah ulama-ulama hadis yang menghafaz hadis lengkap dengan rantaian sanadnya sehingga bersambung ke baginda Rasullullah s.a.w.

    Klausa “Semuanya tidak dapat memberikan penjelasan” – Apakah jika mereka (tokoh-tokoh) tidak dapat memberi penjelasan pihak Jabatan Mufti Terengganu (atau mungkin sebenarnya pihak Darul Quran Was Sunnah” sudah mampu menghukum hadis ini hadis palsu? Jika benarlah cara ini digunakan untuk menilai hadis, sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak-pihak tersebut tidak menilai sesuatu hadis itu mengikut disiplin ilmunya. Dalam hal ini, mereka sudah berlaku zalim ke atas ungkapan yang mungkin sebenarnya berasal dari Rasullullah s.a.w. Mereka telah menafikan kebenaran yang disampaikan oleh Rasullullah s.a.w.

    Klausa “Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini.”

    Astaga… jika tidak ditemui hadis ini dalam himpunan Sunan Sittah, kitab lain malah kitab maudhuaat, mengapa tidak dirujuk kepada ulama hadis yang banyak menetap di Yaman dan Jordan, yang rata-rata mereka merupakan cicit-cicit Rasullullah s.a.w? Alangkah dangkalnya metodologi yang digunakan oleh mereka ini!

    Klausa “Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. “

    Astaghfirullah al-adzhim.. mudahnya penulis artikel atau pengeluar fatwa ini memperlekehkan ulama hadis dahulu. Jika dibandingkan diri mereka ini dengan ulama hadis silam, ulama hadis silam ini sebenarnya lebih dekat lagi jarak masa mereka dengan baginda Rasullullah s.a.w berbanding mereka di Jabatan Mufti Terengganu atau di Darul Quran Was Sunnah.

    Untuk pengetahuan saudara semua, pada masa sekarang ini sudah menjadi “trend” untuk melabelkan ulama-ulama silam sebagai “bodoh” dalam ilmu hadis sehingga tidak mampu membezakan antara hadis sahih dan hadis palsu. Saya ingin bawakan satu contoh fitnah kubra yang dilemparkan ke atas Imam Al-Ghazali r.h. Kebanyakan ustad-ustad moden dan ulama dari Arab Saudi suka mencaci-cerca kitab Ihya’ Ulumuddin kerana pada anggapan mereka kitab itu penuh dengan hadis palsu. Sebenarnya yang mula mengatakan kitab Ihya’ itu penuh dengan hadis palsu ialah Ibnu Taimiyah r.h (bukan ulama hadis). Kemudian diikuti oleh beberapa kerat ulama sahaja, termasuklah ulama-ulama Arab Saudi seperti Sheikh Abdul Aziz Bin Baz dan rakan-rakan Salafinya. Sedangkan banyak ulama hadis mempertahan kedudukan hadis kitab tersebut. Untuk pengetahuan saudara sekalian, Imam Al-Ghazali r.h. bukannya ulama yang “bodoh” hadis, bahkan sebenarnya beliau adalah antara ulama hadis yang ulung. Ini dapat dilihat dengan gelarannya sebagai Al-Hujjah, gelaran ini hanya diberikan oleh ulama yang menghafaz hadis lengkap dengan rantaian sanadnya sebanyak 300 000 hadis. Sesetengah ulama mengatakan gelaran Al-Hujjah diberikan kepada mereka yang menghafaz 1 juta hadis.
    Jadi, sidang pelayar sekalian janganlah kita dengan begitu mudah mempercayai dakwaan-dakwaan yang mengatakan hadis ini dan hadis itu palsu. Siasat terlebih dahulu kedudukan perkara tersebut.

    Klausa “Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya”

    Astaghfirullah al-adzhim.. begitu dangkalnya mereka mengatakan bahawa pahala-pahala yang dijanjikan dalam hadis di atas itu “janji palsu”. Sesungguhnya “janji-janji” itu dikuatkan dan disokong dengan banyak dalil dari Al-Quran dan hadis-hadis sahih, hasan, Ahad dan juga daif! Apakah mereka tidak mempelajari rukun iman? Apakah penulis artikel atau pengeluar fatwa ini tidak percaya dengan perkara yang bersifat ghaib? Hmm..

    4) Kelemahan Keempat – Tidak membuat hujahan yang membuktikan hadis tersebut palsu.
    Selepas perenggan di atas, penulis artikel membincangkan tentang amaran Rasullullah s.a.w tentang mereka yang memalsukan hadis. Bagi saya benar semuanya itu, tetapi pada pandangan saya penulis artikel itu sudah lari dari tajuknya, sepatutnya dia harus membuat penghujahan terperinci bagi membuktikan bahawa “Hadis Fadhilat Tarawih” itu palsu, tetapi ini tidak.. dia telah lari dari tajuk perbincangan isu ini.

    Dalam konteks ini, penulis artikel itu memberi satu contoh hadis palsu yang tersebar luasdengan tujuan untuk mengaitkannya dengan hadis fadhilat tarawih (dengan harapan selepas pembaca membaca huraiannya, para pembaca akan cenderung menyetujui pendapatnya) iaitu
    “hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah”.

    Apakah kelemahan hujahan ini? Baik, kelemahan yang pertama ialah hadis ini HANYA dipetik daripada satu kitab sahaja iaitu kitab karangan Mulla Ali Qari berjudul Al-Asrarul-Marfu’ah. Dari sudut disiplin ilmu, kita tidak boleh membawa satu hujahan dari satu sumber sahaja dan dari satu pihak sahaja. Kita perlu menyajikan hujahan kita dengan bahan rujukan yang banyak. Mana boleh gunakan satu hujah sahaja! Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, ada hadis-hadis lain yang bertaraf daif (walaupun Daif, tetapi banyak sehingga mencapai mutawatir) yang menguatkan matan hadis tersebut.

    Saya berikan satu contoh yang jelas iaitu hadis yang sering diputar belitkan sebagai hadis palsu, “Barang siapa yang mengenal dirinya, maka kenallah tuhan-nya”,
    mengikut Ibnu Taimiyah r.h. dan yang sealiran dengannya (tidak ramai) hadis ini batil dan palsu, bahkan berdosa bagi sesiapa yang mempercayainya. Tetapi sebenarnya ulama-ulama lain yang memang merupakan para Muhadsin seperti Imam As-Sayuti dan ramai lagi menyatakan bahawa hadis itu sah berasal daripada baginda Rasullullah s.a.w. Begitu juga dengan isu Doa Qunut, ada hadis palsu tentangnya dan ada hadis sahih tentangnya. Oleh itu, saya berharap sidang pelayar internet tidak terburu-buru membuat kesimpulan. Bertanyalah kepada mereka yang ahli.

    5) Kelemahan Kelima – Cuba mengaburi isu ini dengan ciri-ciri hadis palsu supaya para pembaca cenderung menyetujui pandangannya.
    Ini dapat dilihat pada beberapa perenggan akhir isu ini, penulis artikel ini sudahpun lari daripada asas tajuknya.

    6) Kelemahan Keenam – Tidak ada nama penulis artikel.
    Bagi saya, artikel ini tidak boleh dipertanggungjawabkan kerena tidak ada nama penulis, mufti dan panel-panel yang terlibat dalam menghukum palsu hadis ini. Bagi saya, artikel ini bersifat surat atau “fatwa” layang.

    7) Kelemahan Ketujuh – Bahasa yang digunakan oleh penulis bukan bahasa persuratan fatwa tetapi bahasa lisan. Saudara cuba lihat, beginikah laras bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi apatah lagi sebagai fatwa? Sudah tentu tidak. Oleh itu, status artikel ini diragui.

    8) Kelemahan Kelapan – Fatwa atau artikel ini jika benar diwartakan, mungkin telah dipengaruhi oleh panel-panel pro-Salafi.
    Saya berpendapat jika sekiranya benar Majlis Mufti Terengganu mengeluarkan fatwa ini, sudah tentu ahli-ahlinya panelnya daripada golongan pro-Salafi. Saya mengandaikan sudah tentu ahli panel perujuk menyandarkan hujahan mereka dengan fatwa “Salafi” yang diwartakan oleh Jabatan Mufti Arab Saudi yang dikeluarkan oleh Sheikh Abdul Aziz bin Baz, kerana sepanjang sejarah penulisan literature Islam, tidak ada ulama-ulama terdahulu yang lebih berkaliber mempertikaikan kitab Duratun Nasihin. Perkara ini hanya muncul kebelakangan ini sahaja oleh ulama-ulama comot-comotan ini sahaja.

    9) Kelemahan Kesembilan – Tidak ada Ijma’ (Kesepakatan – Konsensus) Mufti dalam isu ini.
    Setakat ini, tidak ada pula saya mendengar Majlis-majlis Mufti negeri-negeri lain sepakat menghukumkan hadis ini sebagai hadis palsu, yang kita lihat hanya Jabatan Mufti Terengganu, Selangor (betulkah?) dan negara Brunei (muftinya yang pro-Salafi?) sahaja yang menguar-uarkan isu ini. Tidak pula saya dengar sebarang komen daripada mufti Negeri Sembilan yang terkenal dengan ketegasannya itu. Pada pendapat saya, dakwaan dan “fatwa” yang mengatakan bahawa hadis ini palsu amat lemah dan tidak mendapat Ijma’ mufti di tanah air kita ini.

    Ini belum lagi Ijma’ ulama hadis yang banyak menetap di Mesir, Yaman dan Jordan. Setakat ini tidak didengari langsung bahawa ada Ijma daripada mereka. Bahkan, kitab Duratun Nasihin masih lagi disyarahkan di masjid-masjid Mesir dan majlis ilmu yang disampaikan oleh ulama ahlul bait (keturunan Rasullullah s.a.w).

    Sebagai kesimpulannya, saya menyeru kepada semua sidang pelayar internet yang sejujurnya ingin meningkatkan amalan dalam bulan Ramadhan ini supaya mengamalkan sikap kritis terhadap artikel ataupun “fatwa-fatwa” yang cuba mengatakan bahawa hadis ini dan hadis itu palsu. Sekian daripada saya. Yang buruk itu daripada saya, yang baik itu daripada Allah s.w.t. Wallahu a’lam.

    Salam Ramadhan,
    Tablighster

    • hashim says:

      diriwayatkan.oleh sydna ali ra drpd rasulullah saw sbg jawaban kpd shbt ttg kelebihan terawih

      sama sprt hadis .diatas

      dpetik dr fadhilat rejab .syaaban ramadhan

      oleh budiman radzi
      percetakan siaran sdn bhd
      alor setar
      tel; 739454

  5. MANSHA says:

    MAAF HADIS INI PALSU…

  6. azra says:

    Assalamualaikum…
    Sudah 40 tahun tok dengar hadis fadhilat mengerjakan solat terawih ni.
    Kenapa baru2 ini sahaja ada majlis ulama yang mengatakan hadis ini palsu ?. Kenapa ulama dahulu tidak pernah mengatakan hadis ini palsu ?. Adakah ulamak dahulu bodoh tentang hadis atau ulamak sekarang yang bodoh tentang hadis ?.

    Tok boleh lah dikatakan dalam golongan yang bodoh bab hadis ni.
    Tapi jika nak membicarakan bab Hadith tok rasa perlu ada ilmu Musthalah Hadith.

    Sebodoh bodoh tok. Banyak kitab kitab hadith yang tok ikuti tapi semuanya tak pernah tamat melainkan kitab pengajian hadith 40 buku karangan Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif Al- Nawawi. Yang mengambil masa 3 tahun untuk ditamatkan.
    Masih banyak kitab kitab Hadith yang perlu tok pelajari sebelum tok menutup mata mengadap Allah SWT.

    Yang buruk dari tok dan yang baik semuanya dari Allah SWT.( yang ni Hadith tok dan di guna pakai oleh semua orang) Segala pujian hanya untuk Allah SWT. Semoga Allah SWT merahmati kalian semua. Aminnn

  7. Haji Li says:

    Salam kepada semua pembaca blog. Rasulullah sudah berpesan bahawa umatnya nanti akan berpecah kepada 73 puak. Hanya satu puak sahaja yang masuk syurga, manakala 72 lagi akan menuju ke neraka. Jadi beringat-ingat lah kita dengan pesanan itu.

  8. jalanakhirat says:

    Asalamualaikum

    Kadangkala sedih juga dihati ini membaca komentar mereka yang sikapnya melebihi Iblis, jika Iblis sombong dengan ilmunya, terdapat pula manusia yang sombong dengan kebodohannya memberikan komentar di weblog ini.

    Jika kita perhatikan dalam kitab Imam Al Ghazali ra pun banyak hadis hadis yang daif, mereka yang makrifat kepada Allah swt, boleh bertemu dengan rohani Rasulullah saw untuk bertanyakan sesuatu hadis itu sahih atau daif. oleh itu jangan memberi komentar sewenang wenangnya jika kail cuma sejengkal, kerana lautan ilmu Allah swt maha luas tidak sesempit hati kita.

    Harap maaf, selamat berpuasa di bulan Ramadan ini.

    Wasalam.

  9. MOHD IZAMUDDIN IZAM says:

    segala yang benar akan daPat Pertolongan daripada ALLAH

  10. ros says:

    yang mana sebenarnya yang shahih.. sangat keliru

  11. Hulubalang Diraja says:

    Salam,

    Saya sgt bersetuju dgn hujah saudara Tablighster. Di dalam Dunia akhir zaman ini, sekiranya kita ingin mencari kebenaran maka carilah fitnah terlebih dahulu kerana di dalam fitnah itulah tertimbusnya kebenaran. Cumanya kita terpaksa membuka balutan-balutan fitnah itu satu per satu sebelum berjumpa dgn kebenaran. Bagaimana caranya? Salah satu caranya adalah dgn mengamalkan Surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat (bermula selepas terbenam matahari pada hari Khamis dan berakhir selepas terbenam matahari pada hari Jumaat). Insya Allah, Allah akan menyelamatkan kita drp fitnah akhir zaman…Wallahu’alam.

    Semoga bermanfaat…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s