Sifat sifat ahli syurga

Sifat-Sifat Ahli Syurga
Perbincangan berkenaan tanda-tanda atau sifat-sifat ahli Syurga semasa hidup mereka di dunia ini telah dilakukan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya “al-Fawaid”. Secara sepintas lalu marilah kita berkongsi dua fakta yang telah ditulis olehnya (rahimahullah) untuk sama-sama kita hayati dan amalkan dalam kehidupan seharian bagi mencari bekalan terbaik untuk kita di akhirat kelak.

Awwab

Sifat pertama yang menjadi tanda seseorang itu ahli Syurga di akhirat adalah “Awwab”. Iaitu seseorang yang selalu mengingati akan kesalahan-kesalahannya kemudian ia bertaubat. Said ibn al-Musib (seorang tabien) mengatakan: Awwab adalah sifat seorang yang melakukan kesilapan atau dosa kemudian bertaubat dan apabila berdosa kemudian bertaubat lagi.

Antara kelemahan manusia adalah sering terlupa, lalai, tergoda dek hasutan syaitan seterusnya melakukan dosa terhadap Allah SWT. Tetapi setelah itu, Allah membantunya mengingati tentang dosa tersebut maka dengan segera dilakukan taubat. Selang beberapa ketika (oleh kerana kerja syaitan menyesatkan manusia tidak terhenti) maka dilakukan kembali dosa. Maka sekali lagi ia bertaubat setelah mengingatinya.

Sebab itu pentingnya kita melakukan amalan menghitung atau menghisab setiap amalan seharian sebagaimana yang dianjurkan oleh Saidina Umar al-Khattab: Hitunglah (Hisablah) dirimu sebelum kamu dihitungkan (pada hari Akhirat) kelak. Kerana kita sebagai manusia mudah dihasut dan mudah pula terlupa. Namun sekiranya kita selalu melakukan amalan “muhasabah diri” ini, insyaAllah kita akan tersedar kembali ataupun teringat bahawa kita telah melakukan dosa kepada Allah.

Ujian (dosa) tersebut didatangkan untuk menguji keimanan kita sebenarnya. Sekiranya kita bertaubat nescaya Allah akan mengangkat kita ke suatu darjat yang lebih tinggi. Kerana setiap sesuatu yang Allah tentukan untuk kita adalah kebaikan. Walaupun melakukan dosa, tetapi oleh kerana kesedaran kita (kerana sering melakukan amalan muhasabah) maka kita bertaubat. Setelah bertaubat kita pula perlu menyangka baik terhadap Allah iaitu Allah akan mengampunkan kita.

Namun perlu diingati bahawa, tidak dikira bertaubat sekiranya kita tidak berniat di dalam hati untuk tidak mengulangi lagi kesalahan yang sama secara sengaja. Dengan itu, kita akan lebih berhati-hati. Sabda Nabi SAW yang mafhumnya: Bukan daripada golonganku mereka yang dipatuk dalam satu lubang yang sama (iaitu melakukan kesalahan yang sama).

Hafiz

Iaitu seorang yang sering menjaga agamanya (melakukan setiap suruhan dan menegah diri daripada terjerumus ke lembah maksiat). Dua perkara yang menjadi kekuatan semulajadi (bekalan Allah) kepada manusia. Iaitu kekuatan meminta dan kekuatan menahan. Tidakkah kita perhatikan bahawa setiap kita suka meminta. Dari kecil lagi kita akan meminta sesuatu yang dikehendaki. Apabila dewasa kita meminta untuk melakukan pekerjaan bagi menyara hidup. Kita juga belajar bagi menguatkan kadar permintaan kita agar kita diterima. Ekonomi juga akan terhenti sekiranya tiada permintaan daripada pengguna.

Selain itu, kita juga memiliki kekuatan untuk menahan sesuatu yang menjadi milik kita. Seorang suami dianugerahkan “talak” bagi menahan isterinya daripada dimiliki oleh orang lain. Hak pemilikan harta juga menjadi bukti bahawa kita berhak menahan sesuatu yang sudah kita miliki daripada diganggu gugat oleh orang lain. Selain itu, agama Islam juga menjamin lima hak seseorang iaitu nyawa, harta, keturunan, darah dan maruahnya yang tidak boleh dicabuli oleh orang lain secara sesuka hati.

Begitu juga seorang yang memiliki sifat hafiz ini berupaya menggunakan dua sumber kekuatan dirinya bagi menjaga agama yakni imannya. Beliau sedaya upaya menggunakan kekuatan meminta untuk meminta dirinya melakukan ketaatan kepada Allah. Apabila tiba waktu solat diminta diri untuk bersolat. Apabila tiba bulan Ramadhan diminta dirinya agar berpuasa dan begitulah seterusnya.

Beliau juga menggunakan kekuatan keduanya iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang terlarang pada pandangan agama. Walaupun pada pandangannya ia adalah menguntungkan (seperti rasuah) tetapi dengan menggunakan kekuatan menahannya, beliau tidak mengambil rasuah kerana ia dilarang keras dalam agama.

Kesimpulan

Semoga kedua-dua sifat ini akan selalu kita perhatikan di dalam kita mencari sebuah kehidupan yang diredhai dicelah-celah masyarakat hari ini yang rata-rata kehidupan mereka diragui atau sama sekali dimurkai (wal iya zubillahi min zaalik).

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s